Rabu, 6 September 2017 | 7:24pm
SKUAD B-19 negara berjaya menewaskan Singapura pada aksi kedua Kejuaraan Bawah 18 (B-18) Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017. - Foto FAM

Skuad B-19 mudah benam Singapura

KUALA LUMPUR: Singapura menjadi mangsa kedua skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, selepas mereka membenam seteru seberang tambak itu, 3-1 pada aksi kedua Kejuaraan Bawah 18 (B-18) Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017, hari ini.

Selepas unggul menundukkan Laos 4-1 pada aksi pertama Kumpulan A, anak buah Bojan Hodak itu nyata berada pada kelas tersendiri apabila terus cemerlang meraih kemenangan kedua daripada dua perlawanan yang diharungi setakat ini.

Jadual padat dengan aksi setiap dua hari memaksa Hodak merombak kesebelasan utama untuk bertemu Singapura, yang menyaksikan lawan memberi tentangan sengit dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Bagaimanapun, Malaysia memperaga rentak lebih kemas pada separuh masa pertama dengan Zafuan Azeman muncul selaku penjaring pertama negara menerusi gol pembukaan pada minit ke-58, sebelum Ammar Akhmal Alias meledak gol kedua pada minit ke-68.

Hadi Fayyadh Abdul Radzak yang menjaringkan dua gol ketika bertemu Laos meneruskan prestasi cemerlangnya apabila mencetak gol ketiga Malaysia pada minit ke-89 sekali gus menyaksikan dia kini sudah mengumpul tiga gol dalam dua perlawanan.

Hasrat Malaysia untuk menamatkan perlawanan tanpa dibolosi akhirnya lebur apabila kelekaan barisan pertahanan pada minit akhir dihukum Singapura yang menjaringkan gol sagu hati menerusi Katz Saul Ellison pada minit ke-90.

Malaysia akan meneruskan aksi menentang Timor Leste, pada Jumaat sebelum menentang Kemboja (10 September) dan menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Thailand (12 September).

Berita Harian X