Sabtu, 2 September 2017 | 10:52am
PASUKAN Nigeria meraikan kemenangan . - Foto AFP
PASUKAN Nigeria meraikan kemenangan . - Foto AFP

Laluan Nigeria ke Piala Dunia 2018 selesa

JOHANNESBURG: Nigeria membelasah juara Afrika, Cameroon untuk kedudukan semakin selesa dalam kelayakan Piala Dunia 2018, manakala peluang Ghana dan Afrika Selatan semakin tipis apabila masing-masing sekadar seri dan tewas.

Pemain tengah Chelsea, Victor Moses, dan bekas pemain kelab London itu, John Obi Mikel, masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-0 Nigeria ke atas Cameroon.

Jaringan lewat permainan Thomas Partey dari Atletico Madrid memberikan keputusan 1-1 untuk Ghana dalam perlawanan menentang Congo Brazzaville.

Pemain berpangkalan di Russia, Nuno Rocha, memusnahkan harapan Afrika Selatan apabila meledak dua gol dalam kebangkitan Cape Verde untuk meraih kemenangan 2-1.

Kepulangan Moses dan Mikel ke pangkuan skuad Super Eagles menghasilkan persembahan terbaik Nigeria ketika menewaskan juara Piala Negara-Negara Afrika 2017.

Nigeria mampu mengesahkan kelayakan dalam kumpulan maut ini jika mereka menang di Cameroon Isnin ini - dengan syarat Zambia dan Algeria seri di Lusaka malam ini.

Malah, satu mata sudah mencukupi buat Nigeria layak ke Russia, sekiranya Zambia dan Algeria seri dua kali.

Nigeria ketika ini mengumpul sembilan mata, Cameroon dua dan Zambia serta Algeria masing-masing satu dalam saingan secara mini liga itu.

Uganda mendahului Kumpulan E dengan tujuh mata, satu mengatasi Mesir selepas menewaskan mereka 1-0. Ghana mengumpul dua manakala Congo satu.

Dalam Kumpulan D, Burkina Faso dan Afrika Selatan masing-masing mengutip empat mata dengan Senegal dan Cape Verde berada pada tujuh mata. Senegal akan bertemu Burkina Faso awal pagi nanti. - AFP

Berita Harian X