PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) menandatangani bintang muda, Kylian Mbappe dalam perjanjian yang boleh menjadikan ia sebagai pemain kedua termahal dalam sejarah bola sepak.
Mbappe menyertai PSG secara pinjaman untuk jangka panjang, kurang sebulan selepas kelab itu menggegarkan bola sepak dunia dengan menandatangani bintang Brazil, Neymar membabitkan perjanjian bernilai 222 juta pound sterling (RM1.22 bilion).
Bintang Perancis itu dijangka menandatangani kontrak tetap bernilai 180 juta euro (RM916.2 juta) pada tahun depan, dalam usaha untuk mengelak PSG melanggar peraturan `UEFA's Financial Fair Play'.

"Saya benar-benar ingin menjadi sebahagian daripada projek kelab, iaitu satu daripada kelab bercita-cita besar di Eropah," kata Mbappe yang meraikan perpindahannya dengan menjaringkan gol pertama untuk Perancis dalam kemenangan 4-0 ke atas Belanda pada aksi kelayakan Piala Dunia semalam.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi turut menjulang Mbappe yang namanya meledak musim lalu ketika Monaco memburu kejuaraan liga dengan menganggapnya sebagai bintang masa depan.
"Di kalangan pemain seusianya, dia tanpa ragu-ragu adalah pemain paling menyerlah di dunia, " katanya. - AFP