Sabtu, 26 Ogos 2017 | 7:23am
JURGEN Klopp (kiri) dan Arsene Wenger. - Foto Reuters
JURGEN Klopp (kiri) dan Arsene Wenger. - Foto Reuters

Adakah Klopp atau Wenger yang akan menangis?

Tumpuan minggu ini adalah membabitkan pertemuan antara Liverpool dan Arsenal di Anfield, dengan kedua-dua pasukan sudah pasti meletakkan sasaran untuk terus mencabar Manchester United di puncak liga selepas dua aksi.

Selepas mengharungi dua aksi awal yang dilihat kurang meyakinkan, kemenangan sudah pasti menjadi buruan Jurgen Klopp dan Arsene Wenger. Keputusan aksi ini diharap jadi penawar untuk mereka kembali sebagai calon pilihan juara musim ini.

Minggu lalu, The Reds menang ke atas Crystal Palace di Anfield, namun dengan keputusan merisaukan Klopp. Mereka hanya mampu menang 1-0, selepas seminggu sebelum itu diikat 3-3 oleh Watford, di laman lawannya itu.

Bagi Wenger pula, beliau bagaikan hilang punca apabila The Gunners dikejutkan Stoke City, 1-0 di tempat lawannya itu. Pada aksi pembukaan seminggu sebelum itu, mereka juga hampir diaibkan Leicester City di Emirates sebelum menang 4-3.

Dengan kedua-dua pasukan seperti masih tidak stabil, saya menjangkakan keputusan luar dugaan mungkin berlaku. Pada aksi terakhir di Anfield, 4 Mac lalu, Liverpool mudah mengatasi Arsenal, 3-1.

Apakah malam esok, Klopp dan barisannya mampu mengulangi pencapaian terakhir itu, atau sebaliknya? Dengan Philippe Coutinho dijangka kembali memperkuatkan barisan The Reds, saya melihat Klopp mampu sedikit ceria.

Bagaimana pula dengan Arsenal? Selepas diaibkan Stoke, saya percaya Wenger ada ramuan mengecewakan penyokong The Reds. Kehadiran semula, Alexis Sánchez. sudah pasti memberi tonik kepada Gunners mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

Dalam pada itu, United sudah pasti memburu kemenangan hatrik aksi liga musim ini apabila menerima kunjungan Leicester di Old Trafford tengah malam ini, waktu Malaysia.

Dengan tonggak utama, Romelu Lukaku dan Paul Pogba berada di tahap terbaik selain penyerang sensasi, Zlatan Ibrahimovic kembali ke pangkuan mereka, tentunya semangat Red Devils terus membuak untuk cipta kemenangan.

Selepas dua perlawanan United yang diundi bersama Benfica, Basel dan CSKA Moscow dalam Kumpulan A saingan Liga Juara-Juara, mereka mendahului EPL dengan enam mata, menerusi dua kemenangan meyakinkan.

Dalam pada itu, penyandang juara, Chelsea berdepan tugas berat apabila menyambut kunjungan Everton yang dikemudi Wayne Rooney. Kemenangan ke atas Tottenham Hotspur minggu lalu sudah pasti membangkitkan semangat mereka berdepan Rooney yang kembali mendapat sentuhan di depan gawang.

Saya juga suka menarik perhatian mengenai pencapaian Huddersfield dan West Brom yang berjaya memenangi kedua-dua aksi pertama mereka untuk sekali gus menghuni tempat kedua dan ketiga liga hasil himpunan enam mata.

Seperti juga United, mampukah mereka memenangi aksi ketiga dengan Huddersfield bakal melayan kunjungan Southampton 10 malam ini, manakala West Brom menyambut kedatangan Stoke, pada waktu sama.

Dalam masa sama, mampukah Newcastle United dan West Ham mengenepikan badi kekalahan untuk mencipta kemenangan sulung apabila membuat perhitungan sesama sendiri di St James Park selepas tewas dalam dua aksi awal? Selamat menonton

* Penulis - Amirullah adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Ramalan Minggu Ini

Bournemouth 1 Manchester City 3

Crystal Palace 1 Swansea 1

Huddersfield 2 Southampton 2

Newcastle 3 West Ham 1

Watford 1 Brighton 1

Manchester United 4 Leicester City 0

Chelsea 2 Everton 2

West Brom 2 Stoke City 2

Liverpool 1 Arsenal 1

Tottenham 3 Burnley 0

Berita Harian X