Rabu, 23 Ogos 2017 | 9:51pm
JURGEN Klopp (kiri) sedia menyenaraikan Coutinho dalam skuad The Reds sebaik saja pulih daripada kecederaan. - Foto AFP
JURGEN Klopp (kiri) sedia menyenaraikan Coutinho dalam skuad The Reds sebaik saja pulih daripada kecederaan. - Foto AFP

Klopp bersedia senaraikan Coutinho

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp tidak mempunyai sebarang masalah dengan sasaran utama Barcelona, Philippe Coutinho selain bersedia untuk menyenaraikan pemain dari Brazil itu kembali ke dalam skuad sebaik saja pulih daripada kecederaan.

Liverpool menolak tiga tawaran dari kelab Sepanyol itu termasuk yang terbaru pada minggu lalu dengan media British melaporkan nilainya mencapai 125 juta euro (RM630 juta).

Klopp kekal dengan pendiriannya untuk tidak menjual Coutinho, yang terlepas tiga aksi pertama Liverpool musim ini kerana kecederaan belakang.

Pemain tengah itu juga dijadual tidak disenaraikan untuk aksi kedua playoff Liga Juara-Juara menentang Hoffenheim, awal pagi esok.

"Kamu bertanya adakah semuanya baik antara kami berdua? Saya jawab sudah tentu. Ia sememangnya 100 peratus," kata Klopp kepada wartawan.

Klopp juga tidak dapat menjangkakan bilakah pemain berusia 25 tahun itu akan kembali cergas sepenuhnya.

"Phil tidak boleh beraksi esok kerana selain daripada kecederaan belakang, dia juga sedang sakit ketika ini. Sekiranya dia kembali berlatih esok, ia mungkin mengambil masa kerana dia sudah lama tidak menjalani latihan."

Liverpool mempunyai kelebihan 2-1 ke atas Hoffenheim daripada aksi pertama di Jerman dan Klopp berkata, barisannya kini bersedia untuk memanfaatkan kelebihan di laman sendiri bagi menempah tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

"Anfield akan memainkan peranan penting, kita semua mengetahuinya, ia tempat yang sangat istimewa. Tidak ada apa yang berlaku secara sendiri - kami harus menunjukkan prestasi, kami perlu melakukannya - tetapi kemudiannya kita semua tahu atmosfera boleh membantu kamu," katanya.

"Saya sangat berharap semua pihak bersedia untuk perlawanan ini, semua harus bersedia. Saya hanya bimbang sekiranya mereka memikirkan ia adalah sebuah pasukan lemah dari Hoffenheim."

Selepas melayan kunjungan Hoffenheim, Arsenal juga dijadual berkunjung ke Anfield untuk perlawanan Liga Europa Ahad ini. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X