Ahad, 20 Ogos 2017 | 10:07pm
PEMAIN pemain Malaysia mengucapkan terima kasih kepada penonton setelah seri 1 -1 menentang Vietnam pada aksi futsal lelaki Sukan SEA KL2017 di Stadium Panasonic Shah Alam. - Foto Eizairi Shamsudin

Malaysia teratas carta futsal lelaki

SHAH ALAM: Skuad futsal lelaki negara naik ke kedudukan teratas carta acara itu pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) selepas terikat 1-1 dengan Vietnam di Kompleks Sukan Panasonic, sebentar tadi.

Biarpun hanya meraih satu mata, kekalahan 4-2 Thailand kepada Indonesia pada sebelah petang, membolehkan Malaysia naik ke tangga teratas dengan mengumpul empat mata.

Dalam perlawanan itu, Malaysia mendapat peluang terbaik untuk berada di depan menerusi Muhammad Azri Rahman pada minit kelima, namun percubaan sedikit melepasi tiang ketika hanya berdepan penjaga gol, Nguyen Van Huy.

Bagaimanapun, dua minit kemudian giliran Vietnam pula mencemaskan benteng Malaysia dengan rembatan padu Pham Duc Hoa yang menggegar tiang gol.

Permainan terus rancak dengan kedua-dua saling berbalas serangan dan Malaysia melepaskan peluang untuk meledak gol pertama apabila cubaan Mohammad Shamsul Akmar Zamri pada minit ke-17 sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol Vietnam.

Tiang sekali lagi menjadi penyelamat pintu gol Malaysia pada minit ke-25 ketika penjaga gol, Mohd Firdaus Razali sudah pun tertewas.

Selang tiga minit, Vietnam sekali lagi hampa untuk berada di depan apabila percubaan Le Quoc Nam pula singgah di palang gol.

Hasil satu serangan balas, Mohd Ridzwan Bakri menceriakan penyokong Malaysia apabila meledak gol pertama negara dengan menyudahkan hantaran Mohd Khairul Effendy Bahrin pada minit ke-29.

Bagaimanapun, tiga minit sebelum tamat, Vietnam berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Puc Hoa yang mudah menolak masuk bola hantaran Vu Xuan Thuan dan kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat.

Berita Harian X