Selasa, 15 Ogos 2017 | 10:59pm
PEMAIN Malaysia, Nor Athirah Mamat (kiri) diasak pemain Filipina, Lemoran Charisa Marie ketika perlawanan bola sepak Wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium UiTM Shah Alam. - Foto Hairul Anuar Rahims

Malaysia kecundang 1-2 di tangan Filipina

SHAH ALAM: Skuad bola sepak wanita negara berdepan laluan sukar dalam misi untuk meraih pingat gangsa selepas kecundang 2-1 di tangan Filipina pada aksi pertama bola sepak wanita Sukan SEA 2017 (KL2017) di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Meskipun bangkit mengikat kedudukan selepas ketinggalan pada babak pertama, anak buah Mohd Asyraaf Abdullah gagal meneruskan momentum untuk memburu jaringan tambahan apabila dibolosi gol mudah, sekali gus meranapkan impian mereka untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

Kemenangan ini menyaksikan skuad bimbingan Marnelli Dimzon itu memecah badi kemenangan pertama dalam empat pertemuan di Sukan SEA sebelum ini, namun skuad negara seharusnya berbangga apabila mampu memberi tentangan ke atas pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi (75) berbanding Malaysia di tangga ke-80.

Selepas keciciran tiga mata, Malaysia seharusnya bangkit untuk meraih mata penuh ke atas Myanmar pada aksi kedua dan perlu mengharapkan keajaiban apabila bertemu Vietnam dan Thailand untuk kilauan pingat gangsa.

Pada babak pertama menyaksikan Filipina lebih banyak menguasai bahagian sayap sementara Malaysia gemar mencipta serangan menerusi bahagian tengah namun corak berhati-hati menyaksikan tiada percubaan tepat dilakukan kedua-dua pasukan dalam tempoh 20 minit pertama.

Perangkap ofsaid Filipina sering kali memerangkap barisan depan negara dan tuan rumah nyaris mengejutkan pelawat apabila hantaran lintang Usliza Usman di hadapan pintu gagal disambut Dadree Rofinus pada minit ke-28 sebelum rembatan deras Nor Athirah Mamat memaksa penjaga gol, Palacios Inna Kristianne menepis keluar percubaan itu pada minit ke-39.

Bagaimanapun, penjaga gol negara, Nur Azurin Mazlan yang cemerlang menepis percubaan Lemoran Charisa Marie untuk menghadiahkan sepakan sudut akhirnya tertewas menerusi tandukan Impelido Patrice Mae San ketika masa tambahan untuk kelebihan kepada Filipina 1-0 menjelang babak kedua.

Usaha keras pemain negara yang menukar corak lebih agresif di babak kedua nyata berbalas apabila mereka menyamakan kedudukan berpunca tampanan Palacios yang menghalang percubaan Ji Fedallah Claritta Jaimin melantun ke kaki Dadree yang tenang menyumbat masuk ke gawang kosong.

Namun, kealpaan benteng pertahanan yang membiarkan pergerakan Rodriguez Kathleen Camille Muldong mengundang padah apabila pemain Universiti Ateneo de Manila itu melambungkan bola daripada jarak 35 meter untuk menewaskan Nur Azurin buat kali kedua pada minit ke-74.

Berita Harian X