Ahad, 30 Julai 2017 | 10:52am
DANI Alves pacu Paris Saint-Germain (PSG) meraih gelaran sulung musim ini dengan menewaskan Monaco 2-1 pada pentas Trofi Juara-Juara Perancis, pagi tadi. - Foto AFP

Alves bantu PSG julang trofi pembuka tirai Ligue 1

TANGIERS, Maghribi: Pemain baharu ditandatangani, Dani Alves memacu Paris Saint-Germain (PSG) meraih gelaran sulung musim ini dengan menewaskan Monaco 2-1 pada pentas Trofi Juara-Juara Perancis, pagi tadi.

Ia adalah gelaran kelima berturut-turut buat gergasi Perancis itu pada saingan pembukaan musim liga Perancis sekali gus meletakkan mereka kini menyamai rekod kemenangan tujuh kali milik Lyon.

Perlawanan itu dijadikan sebagai misi membalas dendam buat kedua-dua kelab selepas PSG terlepas genggaman gelaran Ligue 1 kepada Monaco sebelum skuad kendalian Unai Emery bangkit memenangi kejuaraan Piala Liga dengan mengetepikan musuhnya itu 4-1.

Sambil disaksikan kira-kira 45,000 penyokong di sini, aksi lebih dibayangi spekulasi mengaitkan perpindahan Neymar daripada Barcelona ke PSG dan penyerang muda Monaco, Kylian Mbappe ke Real Madrid.

Malah, setiap kali Mbappe, 18, memegang bola, ia membawa kepada tepukan gemuruh penyokong dengan pembesar suara juga memberi kredit jaringan Djibril Sidibe pada minit ke-30 kepada sensasi muda itu.

Namun, Alves yang lebih mencuri tumpuan tatkala dia menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada minit ke-51 sebelum merancang kepada ledakan kemenangan Adrien Rabiot 12 minit kemudian.

Alves muncul pemain kedua ditandatangani gergasi Paris itu pada musim panas ini selepas menyertai PSG dengan ikatan dua tahun selepas enggan menyambung kontrak bersama Juventus.

Kelibat Mbappe masih berbahaya tetapi dengan penghijrahan pemain seperti Bernardo Silva, Tiémoué Bakayoko, Benjamin Mendy dan Valere Germain menyebabkan Monaco tampak kurang bermaya.

"Secara teorinya kami lebih rapuh tetapi saya percaya dengan kemasukan beberapa pemain remaja akan membantu kami," kata pengendali Monaco, Leonardo Jardim.

Ia terbukti apabila Youri Tielemans, yang baru menyertai daripada Anderlect menjadi penggerak kepada jaringan pembukaan Sidibe dan sayap kiri baharu Terence Kongolo membantu pertahanan dengan baik bagi menyekat gerakan Thomas Meunier dan Alves.

AFP

Berita Harian X