Rabu, 6 Mei 2020 | 7:04am
PKPB mendidik masyarakat berdisiplin mengawal diri dan patuh kepada peraturan. - Foto hiasan
PKPB mendidik masyarakat berdisiplin mengawal diri dan patuh kepada peraturan. - Foto hiasan

PKP ajar sesuaikan hidup ikut keadaan semasa

PERINTAH Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri pada 1 Mei adalah langkah yang harus dibuat oleh kerajaan.

Cuma persoalan yang mungkin berlegar dalam pemikiran rakyat, bilakah masa terbaik melaksanakannya. Selepas mengambil kira semua faktor berdasarkan kapasiti semasa, kerajaan menetapkan seperti yang kita semua sedia maklum hari ini.

Sudah tentu ia mengundang perdebatan pelbagai pihak berdasarkan pro dan kontra keputusan kerajaan ini.

Sebagai seorang doktor yang bekerja dalam bidang kesihatan mental, antara perkara sering kami ingatkan kepada pesakit apabila dalam keadaan tertekan ialah perlu mengenal pasti apa yang dalam lingkungan kawalan dan bukan dalam kawalan kita.

PKPB adalah dalam kawalan kerajaan yang bertanggungjawab menentukan polisi negara. Apa yang dalam kawalan kita adalah bagaimana kita sebagai rakyat, memainkan peranan atas kapasiti sebagai individu, ahli keluarga dan anggota segmen tertentu dalam masyarakat untuk memastikan PKPB berjalan lancar.

Satu perkara besar yang kita belajar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga fasa sebelum ini adalah kemampuan beradaptasi dalam kehidupan berdasarkan situasi. Adaptasi memerlukan kita menimbang antara manfaat dan mudarat sesuatu keputusan, berkorban dan mengawal kehendak diri.

Ia adalah keperluan asas sebarang benda bernyawa untuk terus bermandiri. Gagal beradaptasi bermakna kita gagal mengatasi masalah.

Inilah antara nilai yang kita perlu bawa keluar daripada PKP untuk ke fasa seterusnya ketika PKPB. Ia memerlukan komitmen semua untuk terus beradaptasi dan berdisiplin mengawal diri.

Sebagai contoh, normal baharu sosial seperti penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka jika bergejala, etika batuk, kewaspadaan dalam bersosial adalah tindakan yang tiada tarikh luput.

Budaya baharu ini tidak berakhir dengan tamatnya PKP. Ia memerlukan kita kekal mengamalkannya serta mendidik anak untuk mematuhinya.

PKPB juga menuntut kita hidup lebih bersederhana dan mengurangkan aktiviti yang tidak bersifat keperluan mendesak. Sebelum ini kita mungkin menganggap kunjungan ke bazar Ramadan, berjalan-jalan di pasar raya dan riadah beramai-ramai sebagai keperluan sosial.

Namun, hari ini kita perlu membina definisi baharu terhadap keperluan sosial. Hidup pada fasa PKPB lebih sederhana berbanding sebelum PKP.

Pergerakan kita mungkin lebih bebas, namun kunci kawalan pergerakan terletak pada kita. Bukan lagi pada penguasa semata-mata. Kita perlu lebih memikirkan masa depan, berbanding keinginan jangka masa pendek.

Kita perlu berjimat, menahan kehendak membeli kereta baharu, menukar perabot, melancong dan berhabis duit dengan hobi yang mahal.

Kita perlu memikirkan kelangsungan hidup berbanding kemudahan. Ini mungkin bermaksud kita perlu memulakan kebun mini di rumah dan kitar semula barang keperluan berbanding mengambil jalan mudah membeli secara maya.

Kita mungkin perlu mengutamakan ekonomi tempatan berbanding pasaran bebas yang bersifat global. Biarpun bermakna harganya dua tiga ringgit lebih mahal.

Pemacu industri pula perlu bersifat inklusif dan bukan kompetitif semata-mata. Ekonomi berganding dan bukan bersaing. Ini bagi memastikan sama-sama dapat terus hidup, bukan siapa yang lebih banyak dapat untung.

Semua ini tidak akan mampu jadi dalam masa satu, dua hari. PKP sudah menyediakan latihan dalam kuliah, PKPB akan menjadi latihan dalam lapangan.

Kita adalah pemainnya. Kita yang menentukan kita melepasi fasa seterusnya atau tidak.

Dr Rozanizam Zakaria,
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Berita Harian X