X
Selasa, 5 Mei 2020 | 6:15am
Sungai Melaka lebih bersih dan jernih selepas PKP. - Foto BERNAMA
Sungai Melaka lebih bersih dan jernih selepas PKP. - Foto BERNAMA

PKP beri impak positif alam sekitar

COVID-19 yang menyerang seluruh dunia sangat digeruni semua kerana kesannya yang boleh membunuh. Malaysia tidak terkecuali dalam radar jangkitan wabak ini.

Di negara kita, kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia penting untuk menghalang wabak COVID-19 daripada terus tersebar.

Pada masa sama, PKP turut memberi impak positif kepada alam sekitar. Dalam tempoh pelaksanaan PKP, pencemaran di Malaysia semakin berkurang. Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang dahulu terkenal dengan isu pencemaran toksik dan dipenuhi tompokan minyak sehingga tiada hidupan di dalamnya, semakin pulih dan jernih.

Kilang diarahkan berhenti beroperasi sepanjang tempoh PKP, dengan denda berat dikenakan kepada mereka yang ingkar.

Oleh itu, tiada lagi sisa toksik dibuang ke dalam sungai, menyebabkan sungai semakin bersih dan terjaga.

Di Sungai Klang juga, pencemaran semakin berkurangan apabila jumlah sampah dikeluarkan daripada sungai itu berkurangan sebanyak 43 peratus.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn hd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin, menyatakan 580 tan sampah dikumpul antara 15 Mac hingga 15 April lalu di bawah projek 'Selangor Maritime Gateway' (SMG) berbanding purata 900 hingga 1,200 tan sebulan dalam tempoh enam bulan lalu.

Dalam pada itu, bacaan indeks kualiti air Sungai Klang juga mencecah 90 peratus sepanjang tempoh PKP dijalankan. Ini petunjuk jelas bahawa dengan pengurangan pergerakan rakyat dan operasi perniagaan, sungai di Malaysia boleh dipulihkan.

PKP sememangnya membawa impak sangat positif kepada alam sekitar. Justeru, semua rakyat Malaysia perlulah mengekalkan kebersihan sungai yang dicapai sepanjang tempoh PKP.

Rakyat boleh mengambil inisiatif dengan memastikan semua sampah dibuang ke dalam tong dan tidak dilempar ke dalam sungai. Premis perniagaan seperti kilang pula perlu memastikan sisa toksik tidak dibuang ke dalam sungai dan diuruskan dengan rapi agar tidak mencemari alam sekitar.

Semua rakyat perlu berganding bahu memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan terjaga supaya generasi akan datang boleh melihat dan menikmatinya.

Siti Maslina Abdul Rashid,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X