Selasa, 14 April 2020 | 6:47am
Pekerja menyediakan katil tambahan di sebuah hospital di New York. Kelewatan AS bertindak membendung pandemik menyebabkan jumlah kes di AS melonjak ke tahap tertinggi di dunia. - Foto AFP
Pekerja menyediakan katil tambahan di sebuah hospital di New York. Kelewatan AS bertindak membendung pandemik menyebabkan jumlah kes di AS melonjak ke tahap tertinggi di dunia. - Foto AFP

Politik populisme jejas usaha bendung pandemik

MENJELANG 8 April, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 1.2 juta kes disahkan dan 72,000 kematian COVID-19.

Setakat ini, 211 negara dan wilayah terjejas. Senario kes terburuk mencadangkan potensi pertumbuhan ekonomi negatif termasuk di Asia Timur dan Pasifik.

Namun, kebangkitan ideologi politik populisme di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain, menyumbang kepada kegagalan global untuk memberi respons mencukupi terhadap COVID-19 dan menyebabkan dunia mengalami kemelesetan lebih cepat daripada dijangkakan. Tentu, ada akan bertanya apakah Malaysia ada ideologi politik populis?

Populisme difahami sebagai ideologi disusun berdasarkan dua kepercayaan utama, iaitu masyarakat yang antigolongan berkuasa dibahagikan kepada dua kelompok yang bertentangan sama ada rakyat (murni) dan elit (korup).

Kepercayaan kedua ialah politik harus mengambil kira ‘kehendak umum’ dari ‘rakyat.’

Pemimpin populis sering mencanangkan mereka mewakili kehendak rakyat dan dapat selesaikan ancaman ditempuhi masyarakat demi kepentingan rakyat.

Disebabkan ia ideologi politik nipis, pemimpin spektrum kiri dan kanan politik menyatakan variasi populisme berbeza. Mereka kononnya mengenal pasti ancaman sosiobudaya kepada masyarakat.

Bagaimanapun, kita mengamati sifat dan ciri pemimpin mengendalikan COVID-19 seperti kecenderungan optimis dan kepuasan, kekaburan serta kelemahan dalam pengetahuan sains.

Kualiti ini membuat mereka tidak dapat menguruskan krisis baru muncul. Sama ada sedar atau tidak, mereka mudah puas hati atau memandang ringan, iaitu kecenderungan kognitif yang membuat seseorang percaya bahawa kita tidak akan dilanda krisis.

Donald Trump (Amerika Syarikat) dan Boris Johnson (United Kingdom) bersikap terlalu ‘optimis’ COVID-19 tidak akan menjejaskan negara mereka.

Pemimpin populis dikesan menangguhkan dan melambatkan pengwujudan dasar fiskal, peruntukan sumber dan langkah pengurangan menyebabkan jumlah kes di AS melonjak ke tahap tertinggi di dunia.

Pentadbiran yang hampir tidak mempedulikan amaran pada permulaan wabak, sambil lewa menyediakan sistem kesihatan, termasuk kemudahan ujian kesihatan menyebabkan Indonesia memiliki salah satu angka kematian COVID-19 tertinggi (melebihi 8 peratus) di dunia.

Sebaliknya, kerajaan seperti Jerman, Kanada dan New Zealand bertindak pantas melakukan ujian dan berjaya mengawal kadar kematian sekitar 1.6, 1.8 dan di bawah 1 peratus.

Kesilapan kepemimpinan populis, adalah mereka mampu menyalurkan berita palsu dan maklumat salah kerana tidak mampu menerapkan musyawarah berdasarkan bukti sebagai strategi.

Kejahilan ilmu pengetahuan sains menyebabkan mereka tidak pasti akan kebenaran dan pembohongan, sekali gus tidak mempunyai sempadan jelas.

Dalam malapetaka ini, maklumat kabur digunakan untuk memperhebatkan agenda politik mereka. Seharusnya pemimpin hendaklah menunjukkan komitmen kepada keterangan dan mendengar nasihat pandangan daripada pakar, tetapi pemimpin populis akan mengalihkan permasalahan kepada perkara lain.

Ada juga menggunakan teks keagamaan dan harapan kosong untuk menenangkan orang ramai, sambil melambatkan langkah menangani wabak itu.

Ada melabelkan COVID-19 sebagai selesema kecil, helah media dan kempen tidak masuk akal.

Pemimpin populis agak jahil mengenai sains dan terkenal dengan ilmu ‘membilas.’ Dasar berasaskan bukti tidak sesuai dengan pendekatan mereka terhadap dasar awam.

Penyelidikan mendapati kecenderungan pemerintah populis untuk menafikan pengetahuan saintifik mengenai isu kompleks seperti kesihatan dan alam sekitar, untuk keuntungan ekonomi dan politik sangat kukuh.

Ramai pemerhati, termasuk ahli akademik dari seluruh dunia, menganggap AS yang mempunyai Center for Disease Control and Prevention sepatutnya boleh memberi inspirasi kepada kepemimpinan global mengenai pengurusan dan respons pandemik.

Namun, keupayaan luar biasa itu tidak membawa kepada daya tahan kerana kepemimpinan lemah mendorong institusi dan masyarakat dalam arah lemah.

Kepemimpinan lemah berpotensi membawa kegagalan dan mengulangi kepuasan dalam keselamatan kesihatan global pada masa depan. Ia juga akan cuba memanfaatkan krisis untuk keuntungan politik mereka.

Pemimpin populis boleh memanfaatkan ketidakpastian pengetahuan di sekitar COVID-19 dan menggunakannya untuk memperkasakan naratif diskriminasi mengenai isu penghijrahan serta sempadan untuk menjejaskan lawan yang progresif.

Kita harus menolak taktik pemimpin populis untuk memecahbelahkan masyarakat terancam daripada mempercayai institusi mampan dan mempunyai penyelesaian berkesan.

Azizi Ahmad,
Segambut Luar, Kuala Lumpur.

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X