X
Isnin, 6 April 2020 | 4:24pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tumpu perangi wabak bahaya, usah sibuk dengan isu tidak ancam nyawa

Dalam Surah al-Hujrat, ayat 12, Allah SWT berfirman yang sebahagiannya bermaksud: "... Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."

Ayat suci di atas secara nyata memberi peringatan terhadap mereka yang suka mencari keburukan dan kelemahan orang lain, sejenis obsesi yang memang melekat kuat dalam diri rata-rata manusia.

Apabila dapat mengesan perkara seperti itu, maka dengan pantas dan lantang sekali mereka mengutuk dan menghebahkannya, apatah lagi dalam zaman dunia tanpa sempadan sekarang. Lebih menggembirakan adalah jika yang melakukan kesalahan itu individu yang mereka tidak senangi.

Memang sukar atau jarang sekali kita melihat atau mendengar individu yang rela mengaku kesalahan atau kelemahan dalam diri sendiri dan sifat ini sememangnya berakar dalam diri manusia, sama ada orang Melayu, Islam atau apa juga bangsa dan kepercayaan mereka.

Bagi orang Melayu, ada peribahasa popular bagi menggambarkan perlakuan demikian, iaitu “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.”

Dalam era dunia tanpa sempadan sekarang, penindasan beralih secara maya namun 'ganasnya' masih sama, seperti masyarakat Barat zaman dahulu kala yang bersenjatakan obor dan pencakar rumput berserampang tiga, memburu dan membunuh mereka yang dituduh mengamalkan sihir.

Apabila emosi menguasai diri, apa pun kebaikan yang pernah dilakukan orang yang dibenci tidak ada gunanya lagi. Kesalahan walau kecil pun, itulah yang akan terus-menerus disebut dan lantang dilaung-laung.

Lebih buruk lagi adalah apabila sikap berat sebelah dan prejudis dibenar mengaburi penilaian.

Perihal ini, teringat saya insiden baru-baru ini yang membabitkan sebuah jabatan kerajaan yang 'diserang' kerana sedikit kekhilafan yang dilakukan.

Ketika isu itu hangat diperkatakan, saya terfikir membuat semakan di Facebook (FB) Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan mendapati laman sosial berkenaan hanya ada sekitar 70,000 'likes' ketika itu.

Semakan seterusnya mendapati platform media sosial JPW itu dari semasa ke semasa mengebahkan nasihat dan panduan kepada golongan wanita, bimbingan apa yang boleh dilakukan mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pada pandangan peribadi, saya melihat jabatan berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Namun, hanya kerana dua 'posting' yang didakwa merendah-rendahkan wanita, menteri yang menjaga organisasi itu 'diserang' dari segenap penjuru, tidak ubah seperti masyarakat di ceruk dunia tertentu pada zaman dahulu yang menyerang wanita-wanita dituduh mengamalkan ilmu hitam, sihir atau 'voodoo'.

Hanya kerana dua 'posting' daripada berbelas-belas yang lain.

Saya bukan mahu mempertahankan 'posting berkenaan' kerana ia memang tidak wajar dan wanita tidak seharusnya dilayan seperti objek, namun perlukah kita menghabiskan masa, tenaga dan tumpuan berbicara hal kartun ketika negara dilanda krisis yang mengancam nyawa?

Jika laman sosial JPW dipenuhi kandungan-kandungan yang baik dengan hanya dua kesalahan, bagi saya itu juga adalah kejayaan yang boleh dibanggakan.

Kita boleh menegur kesalahan yang dilakukan dan kemudian terus bergerak ke hadapan. Dalam mengkritik, setiap daripada kita juga harus bermuhasabah.

Bermuhasabahlah selalu, usah terlalu pantas dan ghairah mengkritik kelemahan dan kesalahan orang lain, mengumpat dan memburuk-burukkan mereka sewenang-wenangnya sedangkan diri kita juga pada bila-bila masa boleh melakukan kesalahan sama.

Ingatlah peribahasa Melayu, 'satu jari menuding kesalahan orang, empat jari akan menuding kembali'.

Ingat juga sabda Rasulullah SAW melalui hadis Riwayat Abu Daud yang bermaksud: "Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya dan akan mendedahkannya meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri”.

Putri Zaiton Khushairi

Puchong, Selangor

Berita Harian X