X
Jumaat, 27 March 2020 | 10:39pm

Keluar RM6,000 caruman KWSP langkah drastik selamatkan ekonomi

Awal minggu ini, sejurus selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat dalam mengharungi krisis wabak Covid-19, satu insentif paling menonjol dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pengumuman bahawa ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah boleh mengeluarkan RM500 sebulan dari Akaun 2 selama tempoh 12 bulan, menerima pelbagai reaksi, dari pimpinan politik, pencarum KWSP sendiri, malah bukan pencarum pun galak memberikan pendapat.

Penulis berpendapat, langkah kerajaan memberi pilihan kepada pencarum membuat keputusan sendiri adalah langkah yang bijak dan praktikal berbanding menjadikannya satu perkara mandatori.

Penulis juga faham kenapa ada pencarum yang mengkritik keputusan kerajaan ini, tetapi kita mesti ingat sekarang adalah waktu yang cukup mencabar, penangan wabak maut yang pantas merebak ini membuatkan tiada sesiapa pun terkecuali daripada menerima kesannya.

Hakikat bahawa harga minyak terus menyusut angkara perang harga di antara dua pengeluar utama bahan api itu, Arab Saudi dan Russia menyebabkan Malaysia bakal kehilangan kira-kira separuh daripada hasil kewangannya menerusi Petronas.

Pada masa yang sama, menular pula wabak berbahaya Covid-19 yang memberi impak teruk kepada industri pelancongan, sumber kewangan kedua terbesar negara kita.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermakna kemasukan rakyat atau pelancong dari luar disekat, menyebabkan pusat-pusat pelancongan dan hotel kosong, memaksa kerajaan pula menyuntik dana bagi merangsang serta membantu penggiat industri yang terkesan.

Ada juga suara menyarankan kerajaan menggunakan rizab yang ada kira-kira RM400 bilion, namun dalam konteks pengurusan kewangan sesebuah negara bersaiz Malaysia, ia bukan jumlah rizab yang besar.

KWSP mempunyai dana yang besar. Setakat Oktober 2019, dana caruman terkumpul KWSP dilapor mencecah RM864.7 bilion dan mencapai RM924.7 bilion berdasarkan laporan terkini pada Februari lalu.

Mengambil kira jumlah ahli-ahli KWSP yang layak mendapat kemudahan pengeluaran Akaun 2 seperti diumumkan Perdana Menteri, berkenaan, nilai yang terbabit adalah sekitar RM40 bilion.

Perlu diingat, dalam keadaan yang sukar sekarang, kecairan di pasaran tidak boleh dibiarkan terhenti tetapi perlu dipertingkatkan. Caranya adalah menerusi perbelanjaan pengguna.

Jika orang ramai tidak berbelanja, makin banyak perniagaan akan 'gulung tikar', peniaga terpaksa tutup kedai dan akhirnya akan menyusul 'teori domino' dengan kitaran ganas bakal terus meluas tanpa mampu dikawal lagi.

Apabila keadaan ekonomi berubah teruk, ketika itu tiada guna lagi kita berbicara mengenai simpanan untuk hari tua.

Mungkin bagi sesetengah pihak, apalah yang boleh dibuat dengan wang RM500 sebulan, namun bagi rakyat kebanyakan terutama golongan berpendapatan rendah, kemudahan yang diberikan itu boleh diibaratkan sebagai 'penyambung nyawa'.

Harapan dan doa kita agar krisis Covid-19 berakhir segera dan ekonomi Malaysia pulih semula, membuka kemungkinan pelaburan dibuat KWSP meraih pulang memberangsangkan pada masa depan. Ketika itu, mungkin simpanan RM6,000 yang dikeluarkan pencarum dapat ditampung dengan dividen lebih tinggi oleh KWSP.

Mungkin juga pada tahun-tahun mendatang selepas berakhirnya krisis sukar ini, pencarum-pencarum KWSP sudah menjana pendapatan atau gaji lebih tinggi dan mendapat kembali RM6,000 wang caruman yang mereka gunakan bermula Mei ini.

Buat masa sekarang, usah kita terlalu risaukan hal-hal pada masa depan, sebaliknya tumpukan kepada kehidupan ketika ini.

Putri Zaiton Khushairi

Kuala Lumpur

Berita Harian X