Sabtu, 7 March 2020 | 4:53pm
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pintu belakang atau depan, yang penting kerajaan boleh berkhidmat

Bekas Presiden China, Deng Xiaoping pernah berkata: “Tidak kisah sama ada kucing itu hitam atau putih, selagi ia menangkap tikus, ia adalah kucing yang baik”.

Frasa terkenal ini tertanam dalam jiwa rakyat China, menyuntik semangat yang menyaksikan China membangun daripada sebuah negara mundur menjadi kuasa besar dunia, hanya dalam tempoh beberapa dekad.

Deng yang mengambil alih pentadbiran pada 1976 ketika negaranya dalam keadaan huru-hara, telah ‘membuka pintu’ China dan membenarkan perdagangan bebas untuk berkembang.

Beliau juga meletakkan negara itu di atas landasaran menuju pemodenan serta pembangunan pada kelajuan dan skala yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah moden.

Jika ada pengajaran yang boleh dipelajari Malaysia daripada kisah kejayaan Deng, ia adalah sikap pragmatik, keazaman dan usaha sepenuh jiwa raga untuk meletakkan kepentingan negara melebihi segala-galanya.

Tidak semua pemikir Barat - yang kebanyakannya terdedah kepada budaya moden seperti liberalisme sosial, iaitu falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi - boleh menerima model pentadbiran China.

Namun, faktanya adalah negara yang pernah dikenali sebagai ‘Kerajaan Induk’ (Middle Kingdom) ini berjaya mencabar negara Barat, dalam bidang di mana Amerika Syarikat dan Eropah pernah mendominasi, seperti kecerdasa buatan (AI), data raya atau ‘big data’ dan teknologi nano.

Kembali ke Malaysia, kita baru sahaja menyaksikan perubahan kerajaan yang secara jujurnya, membuat ramai yang berasa tidak selesa.

Banyak label-label dilemparkan kepada Perikatan Nasional, iaitu gabungan parti-parti yang dibentuk secara tergesa-gesa. Antara label berkenaan adalah ‘kerajaan pintu belakang’.

Sebagai orang yang melihat hasil adalah lebih penting daripada ideal yang tinggi, saya bersetuju dengan pandangan yang lebih tidak ortodoks.

Bagi saya, kita sudah sampai ke peringkat di mana tidak penting lagi sama ada pentadbiran itu adalah pentadbiran ‘pintu belakang’, ‘pintu depan’ atau ‘tidak berjendela’.

Jika ia adalah kerajaan yang boleh berkhidmat untuk rakyat, kita perlu - walau dengan apa cara sekali pun - memberikan kerajaan itu peluang.

Sejak Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) telah dibelenggu dengan kisah-kisah politik dalam gelanggang yang tidak berkesudahan, berkisar pada peralihan kuasa Perdana Menteri.

Ia menyebabkan pelabur-pelabur takut dan keliru, malah keresahan politik turut menjalar ke dalam sistem penyampaian awam di negara kita.

Dalam satu kajian dijalankan Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)-Institut Yusof Ishak sebelum krisis politik terbaharu ini, sebanyak 81 peratus daripada rakyat yang berada dalam senarai kajian, menamakan ketidakstabilan politik dalaman sebagai cabaran ketara perlu dihadai pada tahun 2020 ini.

Faktanya adalah ketidakstabilan yang berlaku dalam kerajaan terdahulu adalah disebabkan perbuatan PH sendiri.

Kumpulan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya segera menetapkan tarikh persaraan.

Ia juga kerana Dr Mahathir sendiri yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, tanpa ada sesiapa pun yang memberi tekanan kepadanya supaya berbuata demikian.

Ia adalah kerana pendirian DAP yang terlebih lantang, yang menyemarakkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu serta parti yang didominasi orang Melayu.

Dan ini diburukkan lagi dengan menteri-menteri PH, yang kebanyakannya tidak berpengalaman dan mudah membuat kesilapan.

Bagaimana mahu meraih keyakinan rakyat apabila seorang menteri PH, ketika dalam perbincangan yang serius dengan seorang diplomat asing, membuat kelakar dengan merujuk nama diplomat itu sama seperti nama ‘Roti John’?

Kisah ‘Roti John’ itu bukan perkara main-main.

Bayangkan apa maklumat diplomatik yang mungkin dihantar pegawai kedutaaan itu ke negara asalnya mengenai dasar-dasar utama Malaysia, seperti dasar pertahanan dan ekonomi dalam tangan menteri dengan lawak ‘Roti John’ itu.

Saya melihat kejatuhan kerajaan PH sebagai pemutus litar politik, seperti bagaimana peranti pemutus litar memainkan peranan sebagai pelindung apabila berlaku gelombang arus kuasa yang berlebihan.

Kerajaan PH jatuh kerana ketidaktentuan dalaman yang keterlaluan, kerap berlaku pertembungan pendirian kerana setiap satu parti dalam pakatan itu mempunyai persaingan kepentingan, manakala sistem penyampaian pula berdepan banyak kebuntuan.

Ayuh kita pragmatik dan memberi peluang kepada kerajaan baharu ini.

Kita sudah menghabiskan masa secukupnya dalam ketidaktentuan politik dan paling teruk, kebimbangan sosial, yang di dalam negara berbilang kaum, boleh mengundang pelbagai perkara dan kejadian tidak diingini.

Ayuh kita contohi Deng, artikek China moden, terima kasih kepada pandangan jauhnya yang meletakkan negara sebagai keutamaan, yang telah merubah haluan sejarah China dan juga dunia.

Dr Lee Kim Leng, Kuala Lumpur

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X