Rabu, 26 Februari 2020 | 9:23am

COVID-19: Ada kewajaran tangguh SUKMA 2020

MEDIA pada 12 Februari lalu melaporkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara rantau ini termasuk Malaysia supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan penyebaran wabak coronavirus (COVID-19) yang lebih meluas.

Gambaran juga diberikan bahawa virus itu ketika ini berada di ‘persimpangan yang kritikal’ kerana sudah terdapat kes positif COVID-19 yang langsung tiada kaitan dengan China dan wabak penyakit itu boleh menular dengan lebih meluas.

Sehingga kini, menurut data dikeluarkan oleh John Hopkins CSSE, lebih 60,329 positif COVID-19 dan merekodkan lebih 1,369 orang kematian di China akibat virus ini.

Sudah tentu ini satu aras permasalahan global yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan Johor, terutama apabila negeri itu bakal menjadi tuan rumah kepada Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 menjelang Julai ini.

Adalah lebih baik agar pertimbangan dan satu keputusan wajar dibuat lebih awal iaitu menangguhkan seketika SUKMA 2020 ini sehingga suatu tarikh baharu.

Beberapa faktor perlu dipertimbangkan, antaranya tiada tanda dan jaminan COVID-19 akan menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat.

Tiada pelan mitigasi juga dikeluarkan oleh kerajaan negeri bagi persediaan untuk menghadapi penganjuran SUKMA ini ketika Johor juga terdedah dengan ancaman COVID-19.

Kos RM150 juta bagi menganjurkan SUKMA 2020 akan menjadi satu pelaburan yang sia-sia jika penganjurannya kelak tidak mendapat perhatian daripada rakyat Johor yang masih lagi khuatir terhadap ancaman COVID-19, seterusnya memberikan impak negatif terhadap nilai komersial, prestasi atlet serta Johor sebagai tuan rumah.

Kerajaan negeri juga tidak mempunyai keupayaan dalam skala besar bagi membuat tapisan keselamatan kesihatan sepanjang SUKMA 2020 berlangsung.

Sebagai rakyat Johor, kearifan dan pertimbangan sewajarnya diperlukan kepemimpinan negeri, agar tidak sekali lagi mengulangi kesilapan percaturan membuat keputusan seperti bencana lain yang melanda Johor sebelum ini. Contohnya seperti pencemaran Sungai Kim-Kim dan lain-lain.

Fikri Allaudin, Persatuan Pemikir Muda Johor

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X