Jumaat, 13 Disember 2019 | 10:41am
- Gambar hiasan/fioristudio.com
- Gambar hiasan/fioristudio.com

Kesejahteraan siber tanggungjawab bersama

Pada era digital ini, perkembangan teknologi terutama media sosial, memberi pelbagai implikasi terhadap pengguna, khususnya internet menjadi medium efektif bagi tujuan pendidikan.

Ia sekali gus membolehkan pengguna internet mengakses informasi bagi pengumpulan data dan maklumat untuk meningkatkan pengetahuan, daya pemikiran kreatif dan inovasi serta kemahiran mereka.

Inilah trend baharu masyarakat kita. Hari ini menjadi lumrah kita melihat fenomena orang ramai begitu terikat dengan gajet dan peranti digital, untuk berinteraksi dan berkomunikasi di alam siber tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekelilingnya.

Amat membimbangkan apabila melihat sekelompok remaja atau sekumpulan dewasa terdiri dari rakan taulan, malah satu keluarga yang duduk bersama-sama, tetapi tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

Mereka asyik menggunakan gajet dan peranti digital masing-masing. Situasi sebegini jelas menceritakan bahawa mereka lebih selesa untuk berkongsi dan bertukar maklumat, serta meluahkan perasaan di alam siber daripada di dunia realiti.

Lebih membimbangkan, kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun mula bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar, seolah-olah peralatan ini menjadi peneman atau pengasuh selain ibu bapa dan penjaga.

Amalan bersosial seperti ini pastinya mengundang kebimbangan dan semestinya tidak menyihatkan. Ini satu permasalahan pada era digital yang dikenali sebagai ‘digital drug’ yang dikatakan berlaku, apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih dari empat jam menggunakan Internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.

Di Malaysia, Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati, purata tempoh melayari internet adalah selama 6.6 jam sehari, di mana 93.1 peratus pengguna mengakses internet melalui telefon pintar (smart phone). Golongan belia pula memperuntukkan secara purata 8 jam sehari berada dalam talian.

Penggunaan internet ekstrim boleh mengakibatkan pengguna internet menjadi ketagihan sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental. Pengguna internet juga terdedah ancaman siber seperti penipuan dalam talian (fraud), gangguan siber, kecurian identiti, buli siber dan spam sehingga mengakibatkan kerugian dan kemudaratan.

Lebih membimbangkan jika penggunaan internet oleh kanak-kanak dan remaja tidak dipantau ibu bapa atau penjaga. Selain ketagihan Internet, kajian juga turut mendapati tiga jenis ancaman siber lain berupaya mengancam keselamatan kanak-kanak seperti buli siber, pengaruh media sosial dan jenayah siber.

Menyedari wujudnya ancaman dan jenayah siber semakin berleluasa, usaha perlu digembleng bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan Internet secara positif dan beretika.

Salah satu inisiatif diambil Yayasan pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) adalah melalui penerbitan Buku Panduan AWASpada.

Ia usaha menyedarkan masyarakat, terutamanya golongan pelajar dan remaja bahawa kita perlu bersikap AWAS terhadap penggunaan media sosial dan permainan dalam talian.

Dengan pemahaman betul mengenai tatacara melayari dan menggunakan media sosial dan permainan dalam talian, saya percaya ia akan membantu mengelakkan kita semua daripada melakukan jenayah siber atau menjadi mangsa jenayah siber.

Buku Panduan AWASpada bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna media sosial dan permainan dalam talian, mengenai kesan negatif jika tidak digunakan secara bijaksana dan berhemah.

Saya juga ingin menyarankan sama ada agensi awam atau syarikat swasta terutama syarikat telco, individu atau badan korporat supaya tampil bekerjasama menggembleng tenaga serta kepakaran bagi memberi sokongan padu dalam memberi kesedaran dan pengetahuan terhadap isu dan jenayah siber.

Marilah sama-sama kita berusaha ke arah membina kesejahteraan siber. Marilah sama-sama kita menerapkan konsep kewarganegaraan digital dengan menjadi pengguna internet yang bermoral, beretika dan berintegriti.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Naib Pengerusi Kanan MCPF

Berita Harian X