Jumaat, 4 Oktober 2019 | 10:54am
Amalan mengitar semula barang buangan perlu dipupuk sejak zaman persekolahan. -Foto Adi Safri

Kerjasama semua pihak galak kitar semula

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Rangka Kerja Smart City Malaysia sebagai panduan kepada kerajaan tempatan untuk membangunkan bandar berdasarkan teknologi bersepadu dan lestari ke arah bandar pintar.

Inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini jelas menunjukkan kerajaan mengambil langkah progresif untuk meningkatkan perkhidmatan, selain kualiti hidup di bandar.

KPKT turut mempromosikan program komuniti penjagaan kebersihan atau lebih dikenali sebagai ‘plogging’ bertujuan meningkatkan tahap kebersihan, selain mempromosi pertukaran bahan kitar semula dengan mata ganjaran dan sebagai sumber pendapatan.

Program ini dicadang diperluaskan ke seluruh negara sebagai pendapatan tambahan, terutama dalam kalangan kumpulan B40 yang menjadi sebahagian Program Komuniti Kebangsaan.

Sudah tentu pelaksanaannya memerlukan peranan pihak pemegang konsesi pengurusan sisa pepejal yang lebih aktif, bagi memenuhi keperluan mengendali sisa pepejal yang dikumpul, dengan menyediakan kemudahan stesen penimbang dan pengumpulan stok serta sistem penawaran mata ganjaran.

Perlu diingat, terdapat lebih banyak kategori dalam pengkelasan sisa pepejal berbanding hanya empat yang biasa difahami masyarakat.

Maka, ini peluang dan ruang bagi kerajaan untuk memperluaskan kempen kitar semula sisa kepada lebih banyak bahan.

Pendekatan ‘bottom up’ ini amat dialu-alukan demi mengelak pencemaran sisa dan memulihara alam sekitar, namun beberapa pendekatan ‘top-down’ masih diperlukan.

Apabila rakyat menjana purata 1.17 kilogram (kg) sisa setiap hari pada 2018 dan dengan statistik terkini menunjukkan plastik membentuk 20 peratus kandungan sisa, semua pihak perlu memberi komitmen terutamanya pihak industri yang terlebih dahulu ‘menjana’ sisa.

Selain jumlah hasil pertukaran sisa bahan kitar semula yang mungkin tidak mencukupi untuk mengimbangi kos penyelenggaraan di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), pendekatan program plogging dalam model pembersihan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah pendekatan akhir.

Plogging tidak boleh dilakukan tanpa mempertimbangkan dari mana datangnya sumber sisa itu terlebih dahulu.

Senario bergantung kepada komuniti ini akan membawa kepada situasi tidak sihat, di mana pengeluar atau pihak industri yang menjana sisa tidak akan mengubah cara produk mereka direka, disebabkan kebergantungan terhadap kesediaan orang ramai untuk mengitar semula sisa pepejal.

Kebanyakan sisa hari ini bermula daripada pihak industri dan mereka juga mesti memainkan peranan dengan mengurangkan sisa dalam reka bentuk produk masing-masing.

Kerajaan perlu memastikan pihak industri menghasilkan produk serta pembungkusan yang 100 peratus boleh dikitar semula atau diguna semula.

Suka atau tidak, kerajaan perlu memikul tugasan berat ini, menggunakan kuasa yang ada dengan menetapkan garis masa bagi pihak industri penjana sisa mengubah ciri produk mereka ke arah mencapai kadar kitar semula yang lebih tinggi berbanding negara lain di rantau ini dan juga dunia.

Kerajaan pula digesa menumpukan usaha membasmi produk pakai buang berasaskan plastik terutamanya penyedut minuman, selain memberi insentif serta ganjaran kepada mana-mana komuniti yang sanggup meluangkan masa dan usaha mereka untuk mengurangkan penjanaan sisa.

Kempen kitar semula yang menumpukan kepada pengguna semata-mata tidak akan meningkatkan tahap pengurusan sisa di negara ini. Masyarakat, industri dan pihak kerajaan perlu bekerjasama untuk masa depan yang lebih mesra alam.

Mohd Yusoff Ishak,

Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X