Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:18am
Gambar hiasan salah sebuah Projek Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Isu penghuni culas bayar sewa PPR perlu ditangani lebih tegas

Agak mengejutkan apabila dilaporkan tunggakan bayaran sewa membabitkan Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini mencecah RM58 juta.

Bukan jumlah yang kecil. Maksudnya ada yang sudah bertahun lamanya tidak menjelaskan bayaran sewa, ibarat tinggal dan menetap secara percuma.

Itu belum lagi diambil kira bayaran penyelenggaraan untuk PPA dan PPR yang pastinya nilai tunggakannya juga sangat tinggi.

Kenapa ini semua boleh berlaku? Pastinya jumlah tunggakan tinggi ini baik untuk bayaran sewa atau yuran penyelenggaraan hanya mengundang beban yang cukup besar kepada kerajaan.

Tidak hairanlah banyak PPA atau PPR yang keadaannya sangat menyedihkan. Namun apabila keadaan kediaman tidak sempurna atau rosak, pandai pula mereka ini mengadu.

Kita percaya kerajaan sendiri berbelah-bahagi untuk mengatasi isu ini. Nak dihalau penyewa yang tidak menjelaskan bayaran sewa bimbang dianggap kejam. Nak dibiar pula, tidak adil dan akan dituduh pula tidak tegas.

Namun kita percaya pihak terbabit perlu mengambil langkah sewajarnya. Bagi yang mempunyai tunggakan tinggi, jangan teragak-agak untuk berikan notis amaran dengan tempoh tertentu. Jika masih gagal selepas tempoh amaran diberikan, rasanya tak salah kalau tindakan pengusiran diambil.

Mungkin ada yang melihat tindakan ini kejam, namun perlu juga dilihat sikap mereka yang ingkar membayar sewa itu dalam konteks tidak adil bagi penyewa lain yang menjelaskan bayaran tepat pada masanya.

Warga PPR,
Cheras, Kuala Lumpur

Berita Harian X