Selasa, 1 Oktober 2019 | 10:28am
Warga tua perlu dibantu menjalani hidup lebih berkualiti. - Foto hiasan

Wujud akta lindungi kebajikan warga emas langkah tepat

CADANGAN kerajaan untuk memperkenalkan akta khusus bagi melindungi kebajikan dan hak asasi warga emas amat bertepatan kerana jumlah mereka semakin bertambah setiap tahun.

Dilaporkan antara lain, akta itu juga akan mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan warga emas.

Di Malaysia, warga emas ditakrifkan mereka berusia 60 tahun ke atas berpandukan takrifan dibuat di ‘World Assembly On Ageing 1982’ di Vienna.

Malaysia kini dalam proses menjadi negara tua apabila 7 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030 dan sudah tentu, kita harus berfikir bagaimana untuk berhadapan pelbagai masalah dan cabaran berkaitan.

Akta ini secara khusus dapat melindungi warga emas dan ia amat penting dalam usaha kita melindungi hak golongan itu terutama membabitkan isu pengabaian dan penderaan.

Ini memandangkan kes pengabaian dan penderaan warga emas didapati semakin meningkat dan terdapat banyak lagi kes tidak dilaporkan pada tahun kebelakangan ini.

Sering kita dengar kisah warga emas yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya, malah dibiarkan hidup melarat dalam persekitaran menyedihkan.

Sudah tentu saya berasa sedih apabila mengetahui ada warga emas dibiarkan hidup berseorangan, manakala ada sesetengahnya ditinggalkan di hospital, rumah kebajikan atau hentian bas oleh anak atau saudara sendiri.

Memandangkan kos sara hidup dijangka meningkat dalam tahun akan datang, penting untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial termasuk membolehkan warga emas yang sihat dan berpengalaman bekerja.

Kita boleh mencontohi pendekatan diambil negara lain yang memperkenalkan pelbagai insentif kewangan bagi majikan yang menggaji atau mengekalkan pekerja berusia dan memberi latihan kepada mereka.

Negara juga harus mempunyai program keselamatan sosial lebih komprehensif kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan bagi kebanyakan orang tua tidak mencukupi.

Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan perlu ditubuhkan untuk menjaga kebajikan warga emas yang diabaikan ahli keluarga mereka terutama yang menghidapi penyakit.

Kita perlu membantu warga tua untuk kekal dalam masyarakat dengan menyediakan pusat penjagaan dan hospital harian, kelab sosial, pusat pemulihan dan kaunseling serta khidmat nasihat, skim sukarelawan dan kejururawatan ke rumah.

Kewujudan sukarelawan ‘Homehelp’ Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai contoh, banyak membantu mengatasi kesunyian golongan warga emas di kawasan kejiranan yang melaksanakannya.

Di bawah program itu, sukarelawan akan membuat lawatan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan selain memantau kesihatan dan perkembangan warga emas di kawasan mereka.

Sistem sokongan membabitkan masyarakat setempat ini secara tidak langsung dapat menjadikan jiran tetangga lebih prihatin mengenai masalah dan keperluan warga emas yang tinggal berhampiran

Matlamat utama kita untuk memastikan warga tua dapat menjalani hidup berkualiti pada hari-hari terakhir usia mereka.

Namun apa yang sebaiknya kita lakukan adalah kembali menghayati dan mengamalkan nilai murni termasuk menghormati dan menjaga orang tua yang bersusah-payah membesarkan kita.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Aktivis sosial

Berita Harian X