Selasa, 17 September 2019 | 10:19am
Semangat Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan perlu kita ambil dalam mempelajari dan memahami ilmu sejarah - Foto Nurul Syazana Rose Razman/BH)

Ambil semangat Hari Malaysia fahami sejarah

Pembentukan atau penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat adalah sejarah yang cukup penting.

Laungan “merdeka” tujuh kali oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di Stadium Merdeka menjadi detik keramat menjadikan sebuah negara Malaysia.

Hari Malaysia sama penting dengan Hari Kebangsaan. Semangat kedua-duanya perlu kita ambil dalam mempelajari dan memahami ilmu sejarah.

Melaluinya, sedikit sebanyak kita dapat melihat bahawa sejarah itu suatu proses yang bersambungan. Suatu peristiwa yang dihadapi hari ini adalah sebahagian daripada peristiwa semalam dan kemungkinan besar, akan menunjang sebahagian peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang.

Banyak peristiwa penting dan dilalui Malaysia, menjadi sejarah penting buat negara dan sangat memberi makna dalam kehidupan setiap rakyat.

Sejarawan Negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, sering menyatakan “orang yang cetek, buta dan tidak peduli sejarah negara akan membuat generasi rosak dan memburukkan keadaan kepada negara”.

Sikap pihak yang memperkecilkan kepentingan subjek Sejarah menyebabkan ada yang mempertikaikan beberapa perkara yang dianggap sensitif.

Kay Kim sangat menekankan bahawa sistem pendidikan ketika ini perlu diperhalusi terutama bagi subjek Sejarah. Penghayatan sejarah yang semakin tandus menyebabkan rakyat gagal memahami selok belok negara, contohnya seperti Rukun Negara.

Masyarakat gagal menghayatinya, sekali gus membuatkan mereka mempertikaikan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita kini menginjak ke era baharu revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang dikatakan akan membawa perubahan drastik dan mengubah gaya hidup manusia.

Perkembangan teknologi yang begitu pesat tentunya tidak dapat disekat dan kesannya pasti akan kita rasai. Namun sejauh mana kemajuan yang mendatang, kita tidak boleh lupakan sejarah itu sendiri.

Betapa pentingnya sejarah itu membawa segala hal perihal kehidupan manusia. Penubuhan Malaysia 1963 perlu dijadikan tanda peringatan, kecintaan, kesedaran kepada semua masyarakat.

Semangat tokoh dan pejuang negara generasi terdahulu ditanamkan pada diri kita untuk dijadikan pengajaran. Perpaduan, nasionalisme dan rasa sayang demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini terus terpelihara dengan tidak kira bangsa, muda atau tua.

Masa depan negara bangsa yang dibina hari ini bergantung kepada generasi muda yang kemudian akan mengambil alih kepimpinan negara dengan kebijaksanaan dan wawasan yang dibentuk, lantas menuntut mereka tidak lupa melihat ke belakang berdasarkan cermin sejarah.

Mohd Yakop Ikram,
Kuala Lumpur

Berita Harian X