Selasa, 17 September 2019 | 9:13am
- Gambar hiasan

Gerakan konstruktif perkasa ekonomi umat Islam

Senario hari ini di mana api perkauman dibakar setiap hari oleh pihak tidak bertanggungjawab melahirkan beberapa pergerakan membimbangkan. Salah satu usaha berniat murni adalah kempen mendahulukan produk Muslim.

Sekali imbas usaha ini sememangnya tidak bermasalah. Hakikatnya rata-rata perkongsian di media sosial terutamanya, memperlihatkan kempen ini diturut dengan kenyataan yang menyebar kebencian terhadap kaum lain.

Memang Islam menuntut umatnya bersatu dan berusaha mencari yang halal, tetapi adakah agama kita membenarkan usaha ini melalui penyebaran kebencian? Ini sudah tentu terpulang kepada niat masing-masing.

Demi kemaslahatan umat, usaha memperkasa ekonomi ummah ini perlu diberi naratif baharu. Niat dan cara kita meningkatkan ekonomi umat Islam dan Bumiputera perlu dengan cara yang konstruktif, bukannya destruktif.

Usaha seperti kempen memboikot perlu dihentikan segera.

Fakta yang kita perlu sedari adalah umat Islam di Malaysia tidak menguasai rantaian pembekalan. Proses menjual barang tidak hanya membabitkan penjualan kepada pengguna, tetapi bermula daripada proses mendapatkan bahan mentah hinggalah ke pengeluaran dan pengedaran.

Rantaian ini tidak dikuasai umat Islam, lantaran dikhuatiri dalam keghairahan kita memboikot atau berkempen untuk mengutamakan barangan Muslim pihak yang menguasai rantaian pengeluaran itu akan membalas dengan menyukarkan pengedaran syarikat Islam.

Secara tuntas, usaha memperkasakan ekonomi umat Islam perlu dilakukan dengan ilmu dan strategi tepat. Kita punyai baitulmal yang diurus badan zakat. Kita punyai ramai pengusaha yang jujur berurus niaga.

Cadangan saya semua pihak mengembleng tenaga menukar fokus daripada sekadar menjual dan mengedar ke arah menguasai rantaian pembekalan. Tidak kira apa bangsa pun usahawan umat Islam perlu bersedia bekerjasama dalam usaha membina kekuatan ekonomi.

Khairul Khairi,
Ketua Biro Keusahawanan Angkatan Muda Keadilan

Berita Harian X