Khamis, 29 Ogos 2019 | 8:57am
Generasi muda memang digalakkan menyuarakan pandangan bernas mengejar kemajuan diinginkan tanpa mengabaikan norma-norma kesopanan dan kesusilaan.

Semai adab dalam generasi muda

Negara bakal menjejak kaki ke tahun 62 kejayaan mencapai kemerdekaan dan dalam tempoh berkenaan boleh dikatakan Malaysia semakin menghampiri status negara maju.

Namun dalam keghairahan mengejar status maju berkenaan, penghayatan rukun negara rakyat negara ini nampaknya masih belum mencapai matlamatnya.

‘Kesopanan dan Kesusilaan’ semakin hari dilihat ‘menjauh’ dalam kalangan generasi muda hari ini, tidak seperti yang kita harapkan selari dengan kemajuan dan pencapaian negara.

Lihat saja masyarakat Jepun bagaimana budaya sopan dan susila mereka tidak pernah terhakis walaupun negara itu kini sudah jauh lebih maju.

Sedangkan penghayatan golongan muda kita terhadap budaya kesopanan dan kesusilaan itu seperti hilang bersama kemajuan yang kita kejar.

Memang kita mengharapkan untuk memiliki generasi hebat dan lantang menyuarakan pandangan sendiri dalam mengejar kemajuan diinginkan. Di rumah dan sekolah mereka digalakkan memberi pandangan serta pendapat masing-masing secara berani.

Malang sekali sedikit sebanyak keberanian itu menghakis nilai murni ketimuran kita terutama apabila berkomunikasi dengan golongan lebih berusia.

Perkembangan teknologi juga mengubah cara pemikiran generasi muda hari ini apabila mereka lebih cepat terpengaruh dengan apa yang disampaikan menerusi internet.

Hari ini golongan muda bukan saja berani meninggikan suara dengan orang lebih tua, tetapi juga memandang rendah malah tidak menghormati guru yang dulunya disifatkan sebagai golongan keramat bagi kebanyakan pelajar.

Tidak tahu siapa harus dipersalahkan sama ada institusi kekeluargaan, sistem pendidikan atau masyarakat kita yang semakin bersifat mementingkan diri.

Jangan memandang remeh perkara ini kerana ia juga mempunyai kaitan dengan masa depan negara.

Seharusnya kita mencontohi Jepun yang masih kaya dengan adat Timur walaupun sudah jauh lebih maju berbanding negara di Eropah.

Orang Timur,

Seremban

97 dibaca
Berita Harian X