Selasa, 27 Ogos 2019 | 11:39am
Gambar fail, sebahagian daripada dinding sebuah rumah runtuh dipercayai akibat mengalami letupan gas di Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, 18 Ogos lalu. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Wujud badan khas kawal selia tong gas

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan letupan unit pangsapuri di tingkat 21. Letupan juga menyebabkan sebahagian dinding rumah runtuh yang dikatakan berpunca daripada tong gas. Kejadian letupan yang berlaku di rumah bertingkat seperti pangsapuri amat membahayakan penduduk sekeliling.

Apatah lagi dinding rumah yang runtuh berisiko menimpa penduduk di kawasan bawah bangunan itu. Kejadian ini bukan pertama kali berlaku di Malaysia.

Sebelum ini, beberapa siri letupan tong gas dilaporkan berlaku pada 27 Mei, 17 Julai dan 7 Ogos mengakibatkan kecederaan kepada mangsa akibat ledakan tong gas. Malah pada tahun sebelum ini juga pernah terjadi kejadian letupan berpunca daripada tong gas.

Susulan kejadian itu, tiada laporan kukuh yang menyatakan punca tong gas meletup. Adakah tong gas meletup akibat kecuaian pengguna atau disebabkan peralatan tong gas itu sendiri seperti hos dan alat atur (kepala)?

Menurut Pengurus Jualan Kawasan Wilayah LPG Petronas Khalil Fairy Baharim, penggunaan hos gas plastik lut sinar adalah tidak disyorkan kerana sifatnya yang mudah mengeras dan patah jika digunakan dalam jangka masa lama. Malah ia mudah mengembang dan longgar selain mudah terbakar.

Sebaliknya beliau mengesyorkan penggunaan hos getah yang lebih tebal dan berwarna hitam kerana ia mempunyai ketahanan yang tinggi dengan memiliki label pengesahan SIRIM.

Namun begitu, hos gas getah yang dikatakan selamat untuk tujuan memasak amat sukar didapati di pasaran ketika ini. Jika terdapat bukti melalui laporan insiden ledakan tong gas bahawa hos gas plastik lutsinar menjadi punca utama ledakan tong gas, pihak berwajib perlu mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ini termasuk menarik semula semua jenis hos plastik lutsinar di pasaran dan seterusnya mengharamkan penggunaannya untuk tujuan memasak.

Penggunaan produk pengguna yang tidak selamat akan memberi kesan ekonomi kepada pengguna secara tidak langsung di mana pengguna perlu mengeluarkan kos rawatan hospital dan urusan pencarian rezeki bagi kelangsungan hidup turut terjejas.

Tong gas meletup bukan insiden yang perlu dipandang remeh. Ketika ini mungkin masih bernasib baik kerana mangsa cuma mengalami kecederaan tetapi bagaimana jika suatu hari nanti insiden sama bakal meragut nyawa pengguna lain?

Melalui pemerhatian kami, tiada badan kerajaan yang mengawal selia tong gas secara menyeluruh. Malah ketika ini wujud individu yang berkongsi fakta mengenai tarikh luput tong gas di media sosial.

Namun, sejauh mana fakta berkenaan boleh disahkan ketepatannya? Kami mengajukan perkara ini kepada beberapa badan kerajaan namun tiada jawapan dari pihak berkenaan.

Perkara ini seperti menunggu ‘ledakan bom’ yang boleh meragut nyawa pengguna bila-bila masa jika tiada badan yang mengawal selia tong gas secara menyeluruh.

Harap pihak berkaitan dapat mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kesahihan fakta dan dapat memberikan program kesedaran mengenai penggunaan tong gas memasak yang selamat dan betul kepada pengguna.

Berikutan insiden tong gas meletup semakin kerap, pengguna perlu memastikan tong gas dalam keadaan normal dan baik.

Selain itu, pengguna juga perlu memastikan hos gas dan alat atur yang digunapakai mempunyai label pengesahan SIRIM yang mematuhi standard piawaian keselamatan ditetapkan.

Pihak pengeluar juga diharap dapat memastikan bekalan stok hos gas getah yang dikatakan selamat adalah mencukupi dan mudah didapati pengguna.

Kami bersedia bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menyampaikan kesedaran mengenai penggunaan tong gas memasak yang selamat dan betul kepada pengguna.

Nur Asyikin Aminuddin
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (STANDARDS USERS)

560 dibaca
Berita Harian X