Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:04am
Perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai Gojek.

Teksi motosikal tak sesuai di Malaysia

Saya tertarik dengan saranan dikemukakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek bertujuan membantu menjana pendapatan ‘mat motor’.

Rasanya negara kita tidak memerlukan perkhidmatan seperti itu walaupun gojek antara yang cukup popular di negara jiran, Indonesia.

Sistem pengangkutan di negara ini disifatkan sudah cukup baik kerana kita memiliki kemudahan seperti sistem aliran ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk. Berbeza dengan Indonesia yang tidak memiliki sistem pengangkutan berkenaan, gojek dilihat cukup sesuai untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di negara terbabit.

Jika perkhidmatan teksi motosikal dikatakan bertujuan menjana pendapatan golongan bermotor, rasanya perkhidmatan penghantaran makanan seperti GrabFood dan Food Panda serta beberapa lagi perkhidmatan cepat seumpamanya dikatakan sudah cukup banyak membantu.

Lagi pun kita tidak mahu terlalu mementingkan budaya ‘mahu cepat’ ketika di jalan raya sehingga mengabaikan keselamatan bukan saja penunggang terbabit malah pengguna jalan raya lain.

Lihat saja gelagat penghantar cepat atau perkhidmatan penghantar makanan yang ada hari ini. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup mengenepikan keselamatan diri dan juga pengguna lain ketika berada di jalan raya.

Masih banyak peluang kerja lain bersesuaian selain perkhidmatan teksi bermotosikal yang mahu diperkenalkan itu. Kita juga tidak mahu melihat pertambahan terlalu banyak motosikal sekali gus menambahkan lagi kesesakan lalu lintas di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur.

Paling menjadi keutamaan adalah keselamatan pengguna memandangkan kita sedia maklum penunggang dan pembonceng motosikal paling berisiko ketika berada di jalan raya.

Pengguna berhemah
Kelana Jaya, Selangor

Berita Harian X