Jumaat, 22 March 2019 | 12:43pm
Khazanah Nasional beroperasi sejak 1994. - Foto hiasan
Khazanah Nasional beroperasi sejak 1994. - Foto hiasan

Tadbir urus baik mampu pulih Khazanah

Khazanah Nasional (Khazanah) memulakan operasi pada 1994 sebagai pengurus aset komersial kerajaan dan melabur dalam sektor strategik serta teknologi tinggi.

Pada 2004 ia diberi mandat untuk terbabit pelaburan lebih aktif, termasuk meningkatkan prestasi pegangan sedia ada, sambil mencari peluang dalam sektor ekonomi dan geografi baharu.

Hasilnya, setiap tahun Khazanah melapor keuntungan, namun laporan kewangan 2018 dikeluarkan baru-baru ini, menyatakan kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion berbanding keuntungan RM2.896 bilion pada tahun sebelumnya.

Keadaan ini tidak dapat diterima kebanyakan rakyat, malah dijadikan modal mengkritik kerajaan yang baru dipilih.

Penyata kewangan

Penyata kewangan Khazanah setiap tahun disediakan berdasarkan Standard Pelaporan Kewangan Malaysia dan Akta Syarikat 1965 (digantikan dengan Akta Syarikat 2016).

Untung atau rugi syarikat diperoleh daripada penyediaan Penyata Keuntungan atau Kerugian menggunakan prinsip asas perakaunan akruan. Bermaksud setiap perniagaan perlu memadankan hasil bagi sesuatu tempoh dengan belanja yang terbabit bagi suatu tempoh perakaunan (biasanya setahun).

Prinsip ini berbeza daripada perakaunan asas tunai yang mengambil kira hanya hasil wang tunai diterima dan belanja wang yang dibayar sahaja bagi sesuatu tempoh perakaunan.

Kerugian terpaksa ditanggung apabila perbelanjaan melebihi pendapatan syarikat. Inilah yang terjadi kepada Khazanah.

Dalam laporan kewangan Khazanah, lebih separuh perbelanjaan disebabkan rosot nilai berjumlah RM7.3 bilion.

Sebahagian besarnya disumbang pelaburan Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Kerugian juga ditanggung berikutan kemerosotan prestasi operasi Kumpulan Axiata dan Telekom Malaysia Berhad.

Walaupun begitu, Khazanah masih mampu mengeluarkan dividen lebih tinggi bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM1.5 bilion berbanding hanya RM1 bilion pada tahun sebelumnya.

Tingkat kekayaan jangka panjang

Khazanah diberi mandat baharu bagi meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia melalui pelaburan komersial dan pelaburan strategik seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional dan PLUS Malaysia.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Sharil Ridza Ridzuan, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sangat berpengalaman luas, dijangkakan dapat membantu memulihkan Khazanah.

Semestinya dengan tadbir urus syarikat lebih baik, ketelusan dalam semua urusan syarikat dan amalan pelaburan berhemat amat penting bagi Khazanah.

Khazanah juga perlu bebas daripada campur tangan politik dan hanya dikendalikan profesional dalam selok-belok perniagaan. Semoga Khazanah Nasional terus berjuang demi memajukan Malaysia tercinta.

Salina Abdullah,
Pensyarah Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA Kampus Alor Gajah, Melaka

Berita Harian X