Selasa, 7 Februari 2023 | 2:37pm
Sesi 'bakuntau' memerlukan pengantin atau wakilnya untuk bersilat sebelum boleh melihat wajah isteri. Gambar hiasan.
Sesi 'bakuntau' memerlukan pengantin atau wakilnya untuk bersilat sebelum boleh melihat wajah isteri. Gambar hiasan.

Jenuh bersilat nak tengok wajah isteri

MUNGKIN sebahagian anda tidak pernah mengetahui mengenai keunikan adat budaya suku kaum Tidong yang umumnya boleh ditemui di bahagian tenggara Sabah, khususnya di Tawau, Sandakan, Labuk dan Beluran.

Namun seperti mana uniknya nama Tidong itu sendiri, budaya dan adat istiadat mereka juga mempunyai keunikan dan istimewa. Antaranya termasuklah tatacara dalam mengelolakan majlis perkahwinan.

Dalam kalangan suku kaum Tidong, majlis perkahwinan dirujuk sebagai 'batikah' maksudnya bernikah atau berkahwin. Ia adalah majlis yang sangat diraikan dan dilaksanakan dengan penuh adat istiadat.

Seperti amalan orang Melayu, batikah dimulai dengan adat merisik atau 'besonsod' sebelum disusuli dengan majlis bertunang. Namun dalam kalangan orang Tidong, majlis bertunang dibuat tanpa adat istiadat khusus sebaliknya dilaksanakan berdasarkan tuntutan syariat Islam sahaja.

Keunikan batikah hanya akan terlihat pada malam berinai. Pengantin akan melalui pengalaman 'babiat' iaitu adat memasang 'pemanis' kepada kedua-dua mempelai.

Pemanis dimaksudkan adalah pengantin lelaki akan diberi nasihat dan ilmu rumah tangga sementara bakal isterinya akan didandan bagi menaikkan seri atau pemanis wajah.

Bagi pengantin perempuan, babiat ini juga dibuat dengan adat 'selapa' iaitu barangan berupa lilin, kelapa, pemetik api, benang, pinang, sirih, kapur, sigup (rokok menggunakan daun nipah) dan pisau cukur.

Selapa yang disediakan pihak perempuan akan dihantar ke rumah pengantin lelaki pada sebelah malam sebelum majlis pernikahan berlangsung. Ia sebagai ingatan, esok majlis akan diadakan dan pengantin lelaki akan memulangkan selapa berserta dengan sejumlah wang.

Pada hari perkahwinan, adatnya lebih unik. Jika dahulu pengantin lelaki akan diarak menaiki perahu dan berpusing tujuh kali sebelum sampai ke rumah bakal isteri, adat ini sudah tidak lagi diamalkan.

Sebaliknya, pengantin lelaki akan menggunakan jalan darat namun mereka masih dikehendaki berpusing tiga kali di hadapan rumah bakal isteri. Adat ini sebenarnya sekadar hiburan untuk memeriahkan majlis namun ia menjadi ciri utama dalam keunikan bangsa Tidong.

Lebih unik, pengantin lelaki tidak dibenarkan menjejak tanah usai acara itu. Sebaliknya mereka akan digendong atau berjalan di atas kain atau permaidani kuning sehingga tiba di hadapan pintu.

Sesudah itu beras kunyit akan ditabur dan acara pernikahan mengikut syariat Islam akan dilangsungkan.

Sisi unik batikah adalah pada kemuncak majlis iaitu menerusi sesi dikenali sebagai 'bakuntau'. Bakuntau merujuk kepada acara bersilat dan ia adalah adat ' buka pagar' untuk pasangan pengantin.

Ketika ini, pengantin perempuan akan 'disembunyikan' di sebalik beberapa helai kain yang dipegang oleh tujuh wanita terdiri daripada ahli keluarganya.

Sebelum pengantin lelaki boleh melihat wajah isterinya itu, wakilnya perlu bersilat terlebih dahulu sebanyak tiga pusingan. Kemudian mereka perlu menyisipkan sejumlah wang kepada wanita yang memegang kain berkenaan.

Selepas bakuntau, pengantin lelaki perlu menjalani adat ' buka pagar’ iaitu pengantin perempuan akan ‘disembunyikan’ di sebalik beberapa helai kain yang dipegang oleh tujuh wanita terdiri daripada ahli keluarganya. Gambar oleh Siti Nurfarahnika Ibrahim/NSTP
Selepas bakuntau, pengantin lelaki perlu menjalani adat ' buka pagar’ iaitu pengantin perempuan akan ‘disembunyikan’ di sebalik beberapa helai kain yang dipegang oleh tujuh wanita terdiri daripada ahli keluarganya. Gambar oleh Siti Nurfarahnika Ibrahim/NSTP

Namun walaupun kain penutup itu sudah dibuka, belum tentu pengantin lelaki boleh melihat wajah isterinya. Sebaliknya adat 'buka iyup' pula menanti. Kali ini, beberapa kipas tangan pula akan menutupi wajah si isteri yang dipegang oleh tiga wanita.

Seperti tadi, pengantin lelaki perlu sisipkan wang di jari pemegang kipas. Hanya sesudah itu barulah dia dapat melihat wajah isterinya dan melakukan adat batal air sembahyang.

Keunikan acara membatalkan air sembahyang bagi suku kaum Tidong adalah si suami meletakkan ibu jari ke lelangit mulut sebelum mencalitkannya ke dahi isterinya.

Hanya sesudah itu barulah pasangan mempelai akan duduk di pelamin dengan lelakinya bersila dan pengantin perempuan akan solipat (bertimpuh). Ia disusuli dengan adat 'buang ayun'.

Umumnya buang ayun akan dibuat jika pengantin perempuan adalah anak bongsu. Ia dilaksanakan dengan cara menimbang pengantin perempuan

bersama-sama beberapa jenis barangan dapur atau makanan kering seperti beras, gula, tebu serta lain-lain lagi dalam buaian yang dibuat khas.

Dua pasangan pengantin suku kaum Tidong di pelamin. Gambar oleh Siti Nurfarahnika Ibrahim/NSTP
Dua pasangan pengantin suku kaum Tidong di pelamin. Gambar oleh Siti Nurfarahnika Ibrahim/NSTP

Bagaimanapun hari ini keunikan majlis batikah masyarakat Tidong semakin pudar. Ia hanya kekal dalam ingatan generasi tua dan dokumentasi akademik sahaja.

Jika masih diamalkan pun ia biasanya dibuat di kampung-kampung dan dilakukan oleh generasi tua yang berpengalaman. Namun secara umum, ia tidak lagi dilakukan mengikut urutan seperti sebelum ini.

Batikah hari ini jika dibuat mengikut adat hanya terhad kepada memijak kain kuning, menabur beras kuning dan buka pagar sahaja.

Hal itu mudah dimaklumi kerana sesuai peredaran masa umumnya majlis batikah dianjurkan dengan cara lebih ringkas dan moden.

Namun tentu saja amat indah jika generasi muda suku kaum Tidong mengambil inisiatif untuk memartabatkan kembali adat istiadat batikah ini.

Penulis adalah penuntut Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Berita Harian X