Selasa, 7 Februari 2023 | 1:32pm

Cerpen BH Ahad: Sekental Rindu Haramain

SAAT hatimu tenggelam dalam kesedihan yang dalam, tidak terubat oleh apapun rasa bahagia, itulah detik terbaik aturan-Nya yang tidak lagi didomba. Ia datang tepat pada waktu sebagai pengubat duka seperti derita Muhammad SAW tika tahun kesedihannya. Engkau tidaklah seperti junjungan mulia itu yang diterbangkan oleh Buraq, cukuplah Airbus A380 dengan segala alatan dibekalkan. Botol semburan wuduk, tasbih digital, topeng muka, sejadah poket dan beg kecil pemberian syarikat penerbangan Malaysia, Amal.

Engkau resah, saat jiwamu dicuit rasa rindu yang berlapis-lapis. Entah apa yang dirindu itu engkau kurang pasti. Namun, saat memandang ke arah barat seperti ada sesuatu yang menarik-narik tangkai hatimu. Ada sesuatu yang sedang menunggumu. Ia bagai cinta Zulaikha terhadap Yusof. Terkadang juga seperti Rabiatul Adawiyah, seorang wanita suci pencinta Ilahi, yang mengabdikan dirinya dengan sepenuh amal ibadah kepada Allah. Sukar sekali mahu dijelaskan. Ah! Apakah itu?

Itu tanda beberapa tahun ke belakang. Engkau sendiri kurang periksa. Membuak-buak jiwamu, meronta-ronta kala jiran tetangga dan sahabat handai seorang demi seorang dijemput sebagai tetamu Allah. Bilakah aku bakal dipilih? Bentak hatimu. Semakin kuat engkau bertekad, lebihlah lagi dugaan Allah terhadapmu.

Di suatu hari, dugaan yang engkau rasa terlalu besar untukmu itu sebenarnya tidaklah sebesar mana. Ibumu diuji kehilangan suami. Betapa remuk dan berkecainya hati kerana teman hidup ibu pergi selamanya. Itu tahun kesedihan ibu. Tak sanggup engkau melihat beban kesedihan yang dipikul ibu. Bercakap sedikit menangis. Menyuap nasi ke mulut pun menangis. Apa sahaja yang dilakukan ibu teriring bersamanya kenangan terhadap ayah, bercucuranlah air mata ibumu.

Hingga akhirnya kata sepakat bersama perbincangan adik-beradik menemukan jalan tak tersangka. Pada mulanya ia seperti musibah yang bertimpa-timpa. Sudahlah kehilangan ayah. Adik pula ditimpa kemalangan. Namun, itulah hikmah dan sayang-Nya Allah kepada manusia terlihat oleh kita setelah kesan ujian itu menguatkan hati.

"Ambillah ini. Ia lebih berharga buat ibu. Saat ini tiada gembira dapat dikecapi. Hanya menghantar ibu ke sana, itulah penawarnya."

Ibu diterbangkan ke Haramain bersama wang pampasan kemalangan adik. Engkau dan yang lainnya hanya mencukupkan apa yang kurang sahaja. Meski tekad pasangan dua sejoli tidak kesampaian untuk bersama, pun memadai. Tidak sempat seperti yang dicita-citakan oleh ayah. Lalu ibu membawa diri sendiri bertasbih dan bertahmid ke tanah yang makbul doa bersama rasa hiba kehilangan insan yang disayanginya.

Engkau, sepuluh tahun yang lalu sukar mengerti. Betapa payah doa tidak terangkat ke Arasy Tuhan. Ada wang, tidak terjamin juga untuk menjadi tetamu Allah. Setelah beribu kali mungkin doamu itu, barulah engkau bertemu dengan makna sebuah hati yang tidak lagi meronta, bahkan pasrah dengan setiap ketentuan-Nya. Lalu, kemuliaan seorang anak terletak pada keredaan seorang ibu.

"Selagi ibu tidak ke sana, saya tidak akan mendahuluinya," ucapanmu memujuk hati kala berbual dengan teman sebantal.

Bayangkan, seorang ibu yang berpuluh tahun lelah mengharungi pelbagai ujian Tuhan, akan berhadapan dengan rasa kecewa dan sedih bertimpa. Maka tidaklah wajar seorang anak berasa teruja menyuarakan hasrat untuk ke Haramain, sedangkan ibunya belum ke sana. Itulah pengorbanan sekeping hati yang kalau dihitung tidak sedikitpun setara dengan pengorbanan jiwa-raga seorang ibu. Tidaklah Allah sia-sia terhadap makhluk-Nya. Diujinya engkau pula setelah tiga tahun ibu meninggalkan kesedihannya di Haramain. Jujur, sekembalinya ibu daripada tanah yang makbul doa itu, tiada lagi duka nestapa membalut jiwanya.

Sungguh, ibu bagai bertemu tuhan di sana. Tuhan yang ada di mana-mana. Tuhan yang hadir saat hati manusia lupakan dunia. Kita sering sahaja menjadikan hati dan minda tepu dengan urusan dunia yang tidak pernah habis. Lalu bagaimana memunculkan tuhan dalam diri? Begitulah persoalan yang terluncur daripada bibir ibu saat engkau melihat ibu telah bertemu dengan dirinya sendiri. Pun demikian, ia tidaklah tersemat dalam otakmu yang tepu dengan kerja-kerja duniawi.

Apalah dugaan yang begitu hebat serasa tidak tertanggung. Benarlah mafhum firman Allah dalam Surah al-Baqarah bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Engkau bekerja hingga lupa tanggungjawab terhadap diri sendiri. Engkau lupa kepada anak-anak dan suami yang sering meminta perhatian. Engkau taat kepada ketua yang tidak punya hati. Engkau fikir, jika menuruti setiap arahan maka tentunya dia ada timbang rasa. Tidak sama sekali. Maka yang sering menjadi mangsa adalah insan-insan yang taat dan berhati lembut. Sedangkan insan-insan yang bermalasan dan bijak mencari alasan sering sahaja terselamat.

Syarikat yang diterajuinya maju dan berjaya gemilang hasil hempas pulas kepakaran yang engkau curahkan. Namun akhirnya engkau dijatuhkan oleh tangan ketuamu sendiri. Tidaklah dia menghargai segala usahamu kerana rasa cemburunya terhadap kepakaran yang engkau miliki. Entah syaitan apa yang merasuknya hingga hilang waras menilai yang mana satu kaca dan permata.

Ia bukanlah kerja syaitan semata-mata. Bahkan ada manusia yang bertopengkan syaitan. Hanya mahu digaji setiap bulan tetapi enggan menyumbang usaha dan tenaga. Engkau tidak sedikit pun berasa rugi meskipun hatimu tercalar parah. Pun demikian, ujian itu benar-benar membuat dirimu rasa tidak berguna. Engkau dilayan seperti orang gila. Ya, barangkali hanya engkau yang gila memuncakkan reputasi syarikat yang engkau sayang kerana kejayaanmu banyak tercipta di sana.

Saat hati dan jiwamu seakan kosong, tiada lagi pengharapan terhadap manusia, lalu Tuhanmu memanggil. Itulah rasa yang dijentik ke dalam hati dan mindamu agar saat itu hanyalah tumpuanmu kepada Dia, al-Khaliq Yang Maha Esa. Peristiwa itu mirip seakan peristiwa tahun kesedihan Rasulullah SAW. Allah mengangkat martabat baginda melalui Israk dan Mi'raj. Engkau, bukanlah sampai ke tahap itu. Bahkan tidak bolehpun digandingkan demikian. Sekadar memujuk hati melalui ibrah kisah Rasulullah SAW.

Engkau diterbangkan dengan pesawat dua tingkat. Turun di Jeddah lalu meneruskan perjalanan ke kota suci Makkah. Saat memasuki gerbangnya, maka bercucuran air mata. Allah sangat dekat dalam hatimu. Seperti engkau akan bertemu dengan-Nya hanya beberapa saat tersisa. Tika matamu tertancap pada Kaabah yang berpuluh tahun engkau rindui itu, hilanglah semua rasa duniawi. Tiada sedikitpun rasa rindu kepada keluarga. Tiada sekelumitpun rasa ingin menatal skrin telefon yang sering membawamu ke dunia muka buku seperti sebelumnya. Syarikat kesayanganmu? Langsung tiada berbekaspun dalam ingatan. Sungguh! Hilang segala rasa terhadap nikmat dunia. Dalam jiwamu hanya ada satu tekat, beribadah dan terus beribadah. Itulah yang diqasadkan dalam hati sejak sebelum kaki berpijak ke tanah haram.

Tiada kata terucap saat engkau benar-benar berada di bawah Pancuran Emas. Bersolat dan bermunajat kepada Tuhanmu dengan air mata yang melimpah. Entah hiba apa yang memelukmu hingga engkau tenggelam dalam khusyuk meminta-minta kepada-Nya. Menjadi hamba yang benar mengabdikan diri, tingkah laku dan hati kepada Dia Yang maha Besar. Lalu, hatimu yang terjentik oleh elusan kasih dan cinta-Nya tidaklah dapat dibandingkan dengan solatmu yang terdahulu sering sahaja tidak khusyuk.

Tuhan, aku datang menjejak cinta Siti Hajar. Berlari-lari anak mencari air di tengah teriknya mentari. Tidak mungkin wanita kental itu memiliki sekeping hati yang keras selain daripada namanya dengan maksud batu dan sifatnya batu adalah terjal. Mana mungkin dia dipilih Tuhan andai terjelupuk di medan sahara tanpa usaha dan yakin percaya kepada Tuhannya. Kurang enak engkau meletakkan dirimu sebagai nisa' yang teraniaya kerana Siti hajar terlebih dahulu diuji.

Begitulah lelah mengejar dunia. Hingga akhirnya tak berdaya dan Engkau menemukan ketenangan di kota cinta. Engkau meninggalkan kesukaan, meninggalkan rutin kerja dan semua di sekeliling yang memakai topeng pura-pura, semata-mata memberi tumpuan hati, minda dan tubuh hanya untuk beribadah. Itulah qasad yang berulang kali ditanam hingga mendasar ke lubuk qalbi paling dalam. Benarlah, Tuhan mencintaimu lebih daripada siapapun yang engkau cintai. Pergilah, tinggalkan dunia buat seketika. Maka hari-harimu akan bahagia. Pujuk hati meminta agar engkau mengerti.

"Kita lelah kerana sering sahaja mencampurkan dua alam yang berbeza. Alam dunia punya keindahan sementara. Akhirat pula jauh perjalanannya. Maka yang sering dikutip manusia adalah dunia. Sedangkan secara alami roh itu baik. Tatkala tubuh menjadi sarung yang membalutinya, maka berubahlah sifat alami itu" demikian nasihat ibu sambil mengelus-elus ubun-ubunmu.

Demikian itulah ujian terhebat saat roh ditiup ke dalam jasad. Maka berperanglah ia menyesuaikan keberadaannya. Memilih untuk menjadi insani atau hayawani. Rohmu menginginkan kebaikan dalam beribadah. Sedang nafsumu mahukan dunia. Lantaran itu, sesiapa sahaja yang memilih kembara mencari Tuhan di kota cinta, akan terlupa segala nikmat dunia. Engkau bangun daripada tidur untuk menyembah-Nya. Tidak mengira waktu, yang engkau hitung hanyalah kemahuan untuk mengabdikan diri kepada Dia Yang Maha Agung.

Seketika terdengar bisikan; tempat yang di antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah di antara taman-taman syurga. Rindu bergentayangan. Satu demi satu helaian sirah perjuangan Muhammad SAW, Abu Bakar as-Siddiq dan Usman bin Affan bersilih ganti melapisi memori. Engkau memejam mata. Perlahan-lahan aroma Attar memasuki rongga hidung. Salam kepada junjungan mulia dihulur dan disambut bayu lembut dingin yang mengelus pipi.

Sebelumnya, sudah engkau berkata-kata pada hati. Sudah engkau berbisik-bisik kepada Tuhan; Ya Rabb, jika kekasihmu Muhammad ada di sini, mendengar salam dan melihat hadirnya aku di sini, berilah petunjuk dan petanda buatku.

Itulah elusan bayu yang mencium pipimu saat engkau solat sunat bersama tangisan yang mencengkam dada dan air mata yang mencurah laju. Mintalah apa sahaja asalkan baik nescaya cepat dimakbulkan. Nah! Demikian Allah memegang hatimu dan hati sesiapa sahaja yang menjadi tetamu-Nya. Wajarlah, tiada seorang pun mampu bercerita dan berkisah tentang hati yang sentiasa merindui tanah, tempat Rasulmu meninggalkan jejak. Tempat jasad dan perjuangan baginda bersemadi dalam taman syurga.

Saat engkau membuka mata, sejadahmu basah. Engkau memeluk dan menciumnya bersama esak tangis yang sukar ditahan. Lepaskan…rindu yang kental itu ibarat batu. Jika ditahan, ia menghempap dan melukaimu. Ia sebuah nikmat cinta, pertama kali di dakap. Sampai berjumpa kembali ya Rasulullah. Aku pasti datang lagi dengan segenap rindu dan izin daripada-Nya jua. Setitis air mata gugur dan semakin laju menuruni segala alur di wajah. Terpisahlah kita dan entah bilakah akan bertemu lagi. Kubah hijau memahat memori ke dalam retina mata. Rindu yang tak akan pernah padam.

Pesawat Airbus A380 meluncur laju. Meninggalkan hati, jiwa dan rindumu yang bergentayangan. Inilah nikmat mencintai Tuhan. Jika benar mahu merasainya bersedialah diuji, kerana syurga Allah mahal. Bisikan itu lenyap ditenggelami memori. Haramain, aku datang lagi di suatu masa nanti. Bisik engkau pada hati.

- Penulis berasal dari Negeri Sembilan ini turut menulis sajak dan esei

Berita Harian X