NEW YORK: Pengarang kontroversi menghasilkan novel menghina Islam, The Satanic Verses, Salman Rushdie mendedahkan berdepan 'kesukaran' untuk menulis akibat trauma selepas ditikam tahun lepas.
Dalam pendedahan dikongsi dalam wawancara sempena penerbitan novel baharunya, Victory City itu, Rushdie mengakui serangan itu menakutkannya secara mental.
"Apa saya alami seperti Post Traumatic Stress Disorder (PTSD). Saya sangat sukar untuk menulis. Saya cuba berkarya tetapi tiada apa-apa terhasil.
"Saya cuba menulis tetapi kombinasi kekosongan dan cerita tidak berguna yang keluar. Setiap kali saya menulis, keesokan harinya saya akan memadamkannya. Saya masih belum bebas sepenuhnya (daripada perangkap mental)," katanya.
Pengarang yang menjadi warga negara Amerika Syarikat (AS) menetap di kota raya ini sejak 20 tahun lalu, hilang salah satu penglihatannya dan tidak dapat menggerakkan sebelah tangannya.
Rushdie memberitahu wartawan, David Remnick bahawa anggota badan yang cedera parah sudah sembuh tetapi masih belum dapat menaip dengan baik kerana sebahagian jarinya kurang sensitif.
"Saya semakin baik. Namun, melihatkan apa dialami, saya tidaklah teruk," katanya.
Rushdie terpaksa memohon suaka dan hidup dalam persembunyian selepas pemimpin tertinggi Iran, Khomeini menjatuhkan fatwa dan mengarahkannya dibunuh kerana menghasilkan novel menghina Islam, The Satanic Verses pada 1988.
Ketika ditanya sama ada langkah melonggarkan kawalan peribadinya adalah tindakan salah, Rushdie mengakui belum menemukan jawapan itu.
Penyerang, iaitu Hadi Matar, 24, berasal dari New Jersey, ditahan sejurus selepas serangan itu dan mengaku tidak bersalah.
"Saya menyalahkan penyerang itu," kata Rushdie.
Victory City yang dihasilkan sebelum insiden serangan itu, dihasilkan sebagai terjemahan epis sejarah ditulis dalam bahasa Sanskrit.
Ia mengisahkan anak yatim, Pampa Kampana yang diberikan kuasa ajaib dan membina sebuah kota yang pada masa ini ialah Bisnaga di India. - AFP