Sabtu, 4 Februari 2023 | 12:18pm

Cerpen BH Ahad: Tamsil Zulaikha

Leong meneliti satu per satu baucar bayaran yang perlu ditandatanganinya. Hatinya jelira. Dia telah membuat keputusan memberi bonus luar biasa pada tahun ini kepada setiap pekerjanya. Memiliki tenaga manusia yang sangat setia dan dedikasi adalah tuah yang besar buatnya. Jarang-jarang dia menghadapi masalah dengan kakitangannya. Sebab itu Leong mengambil pendekatan berkongsi rezeki dan saling menghargai.

Perniagaan ini adalah hasil kehancuran hatinya suatu masa dahulu. Sejak di bangku sekolah dia berkawan baik dengan Mei Ling, dan menjalinkan cinta selepas tamat SPM. Mei Ling, satu-satunya gadis yang pernah ada dalam hatinya. Ketika itu, Leong hanyalah pekerja restoran. Itulah alasan untuk mama dan papa Mei Ling menolaknya. Papa Mei Ling, pemilik kilang barangan berasaskan plastik merancang untuk menjodohkan anak gadisnya dengan anak rakan kongsi beliau.

"Aku doakan kamu bahagia, Mei Ling," kata-kata terakhir Leong sebelum dia melangkah meninggalkan Mei Ling. Ketika itu mereka berusia 19 tahun.

"Kalau aku jadi kamu, aku akan ikut kemahuan papamu," walaupun pahit, Leong akur dia hanya pipit yang cuba memikat enggang. Dia tidak punya sesiapa. Ibu dan bapanya terkorban dalam nahas jalan raya. Sejak itu dia hidup sendiri, lantaran dia anak tunggal.

Leong tidak pernah marah apa lagi berdendam dengan sesiapa. Sejak kekecewaan itu, dia membawa diri dan bertemu Abang Nabil. Abang Nabil ditemuinya tanpa sengaja ketika motosikalnya rosak di tepi jalan. Lelaki yang berusia lebih sepuluh tahun daripada Leong itu membantu menunda motosikalnya sampai ke bengkel. Leong yang tiada tempat hendak dituju dipelawa tinggal di rumah pekerja Abang Nabil. Nasib menyebelahinya, kerana Abang Nabil merupakan pemilik kedai makan ikan bakar, dia ditawar bekerja. Meskipun ditawarkan jawatan tukang basuh pinggan, Leong amat gembira.

Rumah teres dua tingkat dengan empat bilik tidur itu dihuni oleh sepuluh orang pekerja lelaki. Pekerja wanita pula ditempatkan di rumah yang lebih dekat dengan restoran. Kedai ikan bakar milik Abang Nabil beroperasi mulai jam 5 petang sehingga 12 tengah malam. Pastinya waktu rehat mereka lebih tertumpu pada waktu siang.

"Leong, kamu boleh tidur. Kami ingin pergi solat Jumaat," Abang Fazli yang merupakan ketua pekerja sangat menjaga kebajikan. Leong hanya tersengih.

Leong tahu tentang solat Jumaat. Sejak kecil, dia kerap menonton siaran langsung di televisyen. Zaman itu, televisyen tidak menawarkan banyak siaran. Lama kelamaan dia menjadi seronok. Mama pula tidak memberi sebarang komen, malahan turut sama mendengar khutbah sambil berehat.

Hampir setahun Leong bekerja di restoran ikan bakar Abang Nabil, dia semakin lupa kepada cintanya. Dek kesibukan tugas, kenangan terhadap Mei Ling kian sirna.

Kemerduan suara muazin membuatkan Leong memberanikan diri sampai ke pintu pagar masjid. Ramai lelaki berlari-lari anak masuk ke masjid. Leong terasa hatinya kian dekat untuk turut serta. Entah mengapa perasaan itu bergelojak. Namun Leong tidak berani. Takut dimarahi.

"Abang, mengapa solat Jumaat lelaki sahaja?" Leong memberanikan diri bertanya kepada Abang Fazli.

"Solat Jumaat difardukan kepada orang lelaki dengan syarat-syarat tertentu," jawapan Abang Fazli ringkas namun cukup membuat Leong puas.

"Waktu solat Jumaat tiada amoi ye, Leong," usikan Abang Fazli mencuit hati Leong.

Abang Fazli sangat gemar berseloroh. Kadang-kadang badan yang letih kerana membasuh pinggan berjam-jam hilang penatnya tatkala mendengar cerabih Abang Fazli dan rakan-rakan lain.

"Abang, hari ini saya ingin ikut solat Jumaat," kata-kata Leong membuat semua yang ada di situ terpegun. Mulut Abang Fazli terlopong. Begitu juga dengan Ady, Faiz, Syawal, Shahrul dan lain-lain. Leong sangat segak berbaju Melayu lengkap dengan samping dan songkok laksana raja sehari.

"Jangan tanya bila saya berkhatan ye," Leong tersengih dan menyerlahkan kesegakannya berbusana Melayu lengkap.

"Saya sudah berkhatan semasa darjah empat. Di kampung, rakan-rakan saya kebanyakannya Melayu. Semasa musim berkhatan, ayah mendaftarkan saya untuk berkhatan atas faktor kebersihan," tanpa dipinta Leong menjelaskan apa yang tidak pernah diketahui orang lain. Mereka semua tersengih tatkala Leong dapat membaca fikiran mereka.

"Sebenarnya, saya akan mengucap dua kalimah syahadah selepas solat Jumaat," pengakuan Leong membuatkan mereka sebak. Pelukan syukur tanpa mereka rancang menjadi bukti mereka bakal bersaudara.

Tanpa pengetahuan sesiapa, Leong pergi belajar agama Islam dengan Ustaz Amar selama dua jam setiap hari. Minat terhadap Islam telah berputik lama. Setelah dia memberitahu Abang Nabil akan hajatnya, dia diperkenalkan dengan Ustaz Amar, agar Leong dapat mempelajari Islam dengan baik.

Kenangan itu akan tetap terpahat sebagai peristiwa penting dalam hidup Leong kerana pada penghulu segala hari itu, secara rasmi namanya ialah Muhammad Yusuff Leong bin Abdullah.

Nama itu dipilih sempena nama Nabi Yusuf yang sangat terkenal dengan ketampanannya dan ketabahan.

Muhammad Yusuff Leong tersenyum mengenangkan kisah silamnya. Dia masih ingat, rezekinya semakin bertali arus selepas bergelar mualaf. Sokongan yang diterima daripada Abang Nabil dan sahabat-sahabatnya sangat mengujakan. Abang Nabil memberi kepercayaan kepadanya untuk berdikari. Yusuff Leong memberanikan diri membuka kedai makan Cina Muslim dengan sokongan padu mereka.

Menyedari ramai saudara baharu sepertinya, dan merindui makanan bangsa mereka, Yusuff Leong menunaikan fardu kifayahnya. Perniagaannya bukan sahaja mendapat sambutan hangat golongan mualaf, malahan daripada kaum Melayu dan India juga.

"Encik Yusuff, kita sudah mendapat tempahan maksimum untuk makan malam Tahun Baharu Cina," suara Umairah pegawai pemasaran syarikat, mematikan lamunannya yang panjang.

Yusuff Leong kembali menandatangani baucar bayaran bonus yang dari tadi belum selesai.

Umairah umpama tangan kanan Yusuff Leong. Dengan pengalaman 10 tahun bekerja dengan Abang Nabil, Umairah ditugaskan untuk membantu lelaki itu. Bukan setakat modal, malahan tenaga kerja juga adalah dengan sokongan Abang Nabil.

Bukan Yusuff Leong tidak pernah jatuh, namun jatuh bangunnya sentiasa bersama pasukan kerja yang mantap. Umairah salah satu anugerah terbaik selain Abang Nabil. Yusuff Leong akui, dia mula membuka pintu hati terhadap gadis itu.

Yusuff Leong sangat teruja mendapat khabar daripada Umairah tadi. Apatah lagi sebahagian besar pelanggan yang menempah meja adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga yang telah memeluk Islam. Sesungguhnya dia gembira kerana golongan sepertinya tetap merai dan dirai.

Usai bertemu seorang demi seorang kakitangan, Yusuff Leong dihujani ucapan terima kasih kasih daripada pekerjanya. Sekitar 50 beg berupa cenderamata sagu hati dan buah-buahan diserahkan kepada setiap orang, tanpa seorangpun yang tercicir.

Umairah merupakan orang terakhir yang menerima. Sengaja dia meletakkan gadis itu sebagai penerima terakhir kerana dia ingin menyisipkan hadiah istimewa; sebentuk cincin seraya lamarannya.

"Encik Yusuff, ini jemputan daripada saya," Umairah menghulur sampul putih sebelum menerima beg sagu hati. Sepantas kilat lelaki itu membaca kad tersebut. Umairah akan melangsungkan perkahwinan dua hari selepas Tahun Baharu Cina. Dia terkesima. Cincin yang masih dipoketnya tidak jadi dihulur. Hatinya lebur.

Dalam sebak di dada Yusuff Leong, dia melangkah longlai keluar dari pejabatnya. Perkhabaran tentang perkahwinan Umairah benar-benar mengganggu emosi. Yusuff Leong akur, dia bertepuk sebelah tangan. Dedaun cintanya gugur bertabur.

Di ruang makan restoran, kelihatan beberapa keluarga sudah mengambil tempat, memandangkan sudah hampir jam lima petang. Yusuff Leong buat seperti tiada apa-apa yang berlaku walaupun di dalam hatinya sangat buncah. Bilangan pelanggan yang sangat ramai malam ini membuatkan dia perlu turun padang untuk memantau. Dia akan memastikan semua pelanggannya menjamu selera dengan gembira.

"Mei Ling?" Yusuff Leong tersentak tatkala melihat susuk gadis yang sedang menunggu hidangan makanan bersama keluarganya. Namun apa yang sangat mengejutkannya bukanlah pada keluarga itu, tetapi lebih kaget melihat Mei Ling begitu manis mengenakan hijab.

"Saya Arissa Zulaikha Lim binti Abdullah," suara yang amat dirinduinya menyapa gegendang telinganya. Yusuff Leong masih tidak faham. Dia bingung.

"Anak uncle sudah memeluk Islam," tangan Uncle Lim disambut penuh getar. Yusuff Leong bagaikan diserang panik.

Mei Ling tidak jadi berkahwin, dia menyambung pelajaran di luar negara. Tamat pengajian, Mei Ling balik ke Malaysia dan bekerja di syarikat papanya. Gadis itu turut menjadi sukarelawan di rumah anak yatim. Di situlah, Mei Ling mula tertarik hati dengan Islam. Sudah dua tahun dia memeluk Islam.

Penerangan Uncle Lim membuat Yusuff sangat bersyukur.

Malam itu, Yusuff leong meraikan makan malam Tahun Baharu Cina dengan sinar yang bergemerlapan. Dia duduk semeja bersama-sama mualaf yang dirai. Ada lima meja yang ditajanya. Fikirannya lantas teringat kepada cincin yang masih rapi di poketnya. Namun dia tidak mahu gelojoh. Biarlah semuanya berjalan dengan kemas. Dia tidak mahu jadi seperti orang gila talak.

Usai makan malam, dia mengiringi keluarga Uncle Lim ke kereta. Hatinya bergetar tatkala berjalan sebelah Arissa Zulaikha. Terasa sejuk hatinya melangkah seiringan dengan dara pujaannya sejak dahulu. Lambaian Arissa Zulaika membuatnya tidak tidur sepanjang malam.

Sejak pertemuan itu, mereka sering bertanya khabar dan berbual melalui aplikasi whatApps.

"Saya terhutang budi dengan Umairah," Arissa Zulaikha membuka rahsia tentang persahabatannya dengan Umairah sejak lima bulan lalu.

Mereka berkenalan ketika aktiviti amal Restoran Makanan Muslim Yusuff Leong. Tatkala Umairah memperkenalkan majikannya menerusi profil syarikat, Arissa Zulaikha terus mengikuti perkembangan Yusuff Leong.

"Umairah banyak bercerita tentang awak dan akhirnya saya memberitahu kisah lama kita," penerangan Arissa Zulaikha menjawab persoalan Yusuff mengapa Umairah mulai menjauhkan diri darinya semenjak beberapa bulan lalu.

"Abang Nabil sudah lama menaruh hati kepada Umairah. Tapi Umairah menunggu seseorang," Yusuff Leong hanya mampu membisu tatkala berbual dengan Abang Fazli di dalam kereta ketika pulang dari menghadiri majlis perkahwinan Umairah.

"Tapi, tidak seorangpun tahu siapa lelaki yang dinanti itu," Yusuff Leong terus membiarkan abang Fazli bercerita.

"Umairah seperti menanti buah yang tidak gugur," penerangan abang Fazli membuat Yusuff Leong semakin sayu.

"Bila Umairah tahu, bekas kekasih lelaki itu mencarinya, Umairah mengundur diri dan menerima Abang Nabil yang sudah lama menanti," Yusuff Leong sedaya upaya menahan air matanya daripada gugur. Mujur dia telah sampai ke rumah dengan dihantar oleh Abang Fazli. Usai berjabat tangan, dia terus keluar daripada kereta Abang Fazli dengan sendu yang terbuku.

Kali ini Yusuff Leong tidak mampu menahan sebak dan membiarkan air jernih menuruni kolam matanya dengan deras. Keihkhlasan hati Syarifah Umairah Syed Suhaidy benar-benar dikagumi dan tamsil cinta Arissa Zulaikha Lim Abdullah begitu menawan sukma.

- Penulis pemula dengan nama penuh Marjizawati Othman ini berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan kini menetap di Selangor.

Berita Harian X