Rabu, 25 Januari 2023 | 11:22am
Eyo Hock Seng, Cina Peranakan Kelantan yang dikenali sebagai satu-satunya tok dalang dalam persembahan wayang kulit. - Gambar hiasan/ Arkib NSTP
Eyo Hock Seng, Cina Peranakan Kelantan yang dikenali sebagai satu-satunya tok dalang dalam persembahan wayang kulit. - Gambar hiasan/ Arkib NSTP

Warisan budaya Cina Peranakan makin terhakis

KUALA LUMPUR: Di sebalik identiti Cina Kampung yang pekat, sebahagian masyarakat Cina Peranakan di Kelantan sebenarnya mula gentar warisan dan budaya mereka mungkin akan tenggelam dimamah masa.

Hal ini berikutan ramai generasi muda Cina Peranakan di Kelantan enggan lagi bermastautin di negeri itu dan perlahan-lahan mula renggang dengan budaya dan warisan mereka.

Pensyarah kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Profesor Madya Dr Nasirin Abdillah, berkata dalam kajiannya terhadap kelompok Cina Peranakan, sebahagian responden mengakui mula bimbang dengan masa hadapan budaya dan warisan mereka.

"Generasi muda belajar dan bekerja di luar Kelantan menyebabkan mereka tidak lagi minat hendak balik berkhidmat di negeri asal.

"Ini menyebabkan identiti mereka mula terhakis dan interaksi dengan masyarakat Melayu seperti generasi sebelumnya mula berkurang," katanya.

Jelas Nasirin, sebahagian generasi muda yang keluar dari Kelantan tidak lagi berminat dengan budaya nenek moyang mereka malah apresiasi budaya mereka juga berkurangan.

Namun, katanya dalam masa sama menghalang generasi muda itu keluar dari negeri asal bukanlah pilihan.

"Mungkin masih ada generasi muda Cina Peranakan ini merantau tetapi mereka akan kembali ke Kelantan satu hari nanti, tetapi apa yang berlaku semasa mereka merantau yang menjadi kerisauan generasi yang lebih tua.

"Mereka tidak lagi bergaul dengan sesama Cina Peranakan menjadikan budaya yang diwarisi semakin pudar.

"Seorang masyarakat Cina Peranakan Kelantan pernah suarakan kebimbangannya kepada saya, dia takut jika anaknya menuntut ilmu di luar Kelantan, apabila pulang dia tidak mahu makan nasi ulam lagi.

"Walau bagaimanapun tidaklah pula sampai menghalang jika anak-anak mereka nak merantau sama ada untuk menuntut ilmu ataupun bekerja," katanya.

Tegas Nasirin, Cina Peranakan di Kelantan adalah identiti unik negeri itu yang sukar ditemui di negeri lain. Kebanyakan mereka tinggal dalam kampung yang sama dengan orang Melayu atau Siam tetapi terdapat juga perkampungan Cina Peranakan misalnya di Tanah Merah, Tumpat dan beberapa daerah lain yang bersempadan dengan Thailand.

Katanya, antara sebab masyarakat Cina Peranakan dapat berasimilasi di Kelantan dengan baik adalah kemahiran berbahasa Melayu dengan dialek tempatan.

"Malah semasa saya menjalankan kajian di Kelantan saya pernah berjumpa dengan individu yang boleh menuturkan loghat Kelantan dengan sangat baik melebihi masyarakat Melayu Kelantan itu sendiri.

"Ada juga dalam kalangan masyarakat Cina Peranakan mempunyai nama Melayu walaupun mereka mempunyai nama Cina. Ini menunjukkan bertapa akrab dan diterima mereka di Kelantan," katanya.

Tegasnya, secara umum Cina peranakan juga wujud di beberapa negeri lain seperti di Melaka, Sabah dan Sarawak tetapi di Kelantan keunikan mereka sangat terserlah.

Namun bukanlah semua Cina yang menetap di Kelantan adalah Cina Peranakan. Sebaliknya ada sebahagian yang merantau ke situ atas tuntutan tugas atau perniagaan. Namun perbezaan mereka mudah dilihat kerana keupayaan dan kemahiran menggunakan dialek tempatan.

Kemahiran itu ada kala tegas Nasirin menyebabkan mereka tidak lagi mampu menggunakan dialek Cina sama ada Kantonis, Hokkien mahupun Mandarin. Hal ini disebabkan bahasa utama mereka adalah bahasa Melayu.

Nasirin berkata, Cina Peranakan lebih banyak berkahwin dengan masyarakat keturunan Siam. Hal ini mungkin disebabkan persamaan agama kerana rata-rata mereka beragama Buddha.

"Saya melihat Cina Peranakan ini unik kerana identiti mereka selain sikap keterbukaan orang Melayu di Kelantan itu sendiri.

"Mereka sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja terutama individu yang mampu bertutur dialek tempatan dengan baik.

"Hal ini memudahkan asimilasi malah ia menjadi tarikan budaya. Orang Cina Peranakan ramai yang terbabit dengan warisan budaya Kelantan antaranya bermain wayang kulit." katanya.

Untuk rekod, masyarakat Cina Peranakan dipercayai sudah tinggal di Kelantan sejak abad ke-17. Namun ramai sarjana berpandangan mereka sudah tiba awal iaitu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pandangan ini dikaitkan dengan penemuan sebuah patung berusia lebih 600 tahun yang percayai berasal dari Dinasti Ming di Gua Musang.

Secara fizikalnya penampilan mereka sedikit berbeza dengan orang Cina lain kerana warna kulit yang tidak terlalu putih selain mata yang tidak sepet.

Berita Harian X