KUALA LUMPUR: Adaptasi novel terutama genre sastera ke layar perak selalu menimbulkan perbincangan berunsur negatif. Satu daripada sebabnya naskhah adaptasi selalunya sangat berlainan dengan karya asal.
Namun bagi pengarah, Mior Hashim Manap walaupun adaptasi itu adalah bebas mengikut sutradara tetapi jika karya asalnya sudah cukup baik, mengapa perlu ia diubah.
Mior Hashim berkata, pengalamannya membaca novel Imam tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, ia adalah naskhah yang cukup baik hingga menjentik hatinya untuk mengadaptasinya ke layar perak.
"Saya tidaklah ambil segala-gala dalam novel itu. Sebaliknya fokus pada pertembungan idea golongan muda dan tua, pada watak Haji Mihad dan Haji Syamsuri antara lainnya," katanya dalam Program Bersama Industri: Dialog Awam Filem Imam di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Tegas Mior Hashim, novel itu mengangkat latar tahun 1983, ketika Orang Melayu cenderung kafir mengkafir malah tidak keterlaluan untuk menyebut Islam itu disesatkan oleh Orang Melayu yang suka kafirkan orang.
"Ketika itu, masjid hanya digunakan untuk solat saja sedangkan ia ada pelbagai fungsi, misalnya tempat bersilaturrahim dan bersukan tetapi konflik muncul ada pihak yang tidak senang dengannya.
"Kita lemah menggunakan otak apabila tiba isu sebegitu," katanya.
Justeru tegas beliau, sewaktu membaca novel Imam pada 2013 beliau tertarik dengan pemikiran yang dibawa oleh Abdullah. Jadi apabila mengadaptasinya ke layar perak tidak banyak hal yang diubah.
"Saya baca banyak kali. Saya melihat ia adalah sebuah karya yang sangat baik dan cantik.
"Jadi walaupun adaptasi novel ke filem selalu mengubah banyak hal berbanding karya asal, untuk saya mengapa ia perlu diubah kalau karya asal sudah cukup baik?
"Adakah saya lebih hebat daripada penulis asal sedangkan teknik dan tulisannya jauh lebih baik daripada saya, malah ia membantu saya membayangkan perjalanan filem itu.
"Karya yang baik tak perlu diubah kalau sekadar hendak tunjuk kita lebih hebat," katanya.
Tambah Mior Hashim, Abdullah sebagai sasterawan negara menulis Imam dan menyertai sayembara (dan memenanginya) semata-mata mahu naskhah itu dibaca.
"Bayangkan, betapa dahsyatnya kita hinggakan naskhah sebesar itu kita tolak.
"Ideanya, bila masuk sayembara, orang akan cari akan orang baca. Jadi kalau tengok di poster filem itu, ada tulis juga wasiat.
"Filem itu adalah wasiat kepada orang berbangsa Melayu beragama Islam, di mana kedudukan kita sekarang. Ia bukan sekadar filem untuk hiburan kerana kalau kita hendak berhibur pun ia perlulah ada ilmu," tegasnya.
Tambah beliau, walaupun tidak mengubah karya asalnya amat mustahil untuk mengadaptasi keseluruhan novel dengan ketebalan 705 halaman itu.
Selain itu beliau tidak mahu naskhah itu muncul sebagai karya reformasi atau propaganda. Justeru, dalam filem kisah itu menyorot banyak mengenai konflik antara watak Haji Mihad dan Haji Syamsuri.
"Satu yang menarik dalam proses membawa naskhah ini ke layar perak, ada yang berkata pada saya Imam itu novel yang mempromosikan wahabi.
"Saya tidak tahu mengenainya dan tidak tertarik. Untuk saya Imam adalah novel yang hebat begitu juga Abdullah sebagai pengarangnya.
"Apa yang menarik minat saya novel itu membawa pemikiran jangan sempitkan pandangan, Islam itu luas," katanya.
Bagaimanapun kata Mior Hashim, pengalaman mengadaptasi naskhah yang sudah berusia 25 tahun ini berhadapan banyak cabaran.
Walaupun beliau sudah membacanya pada 2013 dan menuliskan skrip namun amat sukar untuk memperoleh kepercayaan penerbit.
Rata-rata penerbit lebih berminat dengan keuntungan yang akan mereka peroleh. Justeru bukan luar biasa skrip itu ditolak sebelum penerbit membacanya.
" Filem dengan genre begini bercerita mengenai Islam selalunya tidak ada dalam senarai 10 teratas penerbit, biasanya di tangga ke 11 atau 12.
"Tapi saya tidak melihat situasi ini sebagai risiko sebaliknya cabaran bagaimana orang melihat filem genre Islam (dakwah).
"Selepas ditolak, saya tenang dulu dan ambil masa baca naskhah lain tulisan Abdullah antaranya Interlok.
"Naskhah itu juga baik tetapi apabila hendak diangkat jadi filem, ia sukar dapat bantuan kewangan. Saya tidak tahu apakah ketakutan mereka dan tidak lama kemudian novel itu pun diseret dengan kontroversi," katanya.
Tambah Mior Hashim dalam usaha mengadaptasi naskhah sastera seperti Imam ke layar perak, ketakutan besarnya adalah ketika dipanggil untuk 'pitching'.
"Saya takut pada panel yang tidak dikenali. Ada pengarah yang tidak pandai bercakap membentangkan idea, selain itu ada panel pitching yang tidak baca karya sastera malah mereka pun tak kenal sasterawan negara," katanya.
Novel Imam yang terbit pada 1995 adalah pemenang pertama Hadiah Sako tahun yang sama. Ia diangkat ke layar perak dengan tajuk yang serupa. Dibintangi antaranya oleh M Nasir dan Faizal Hussien, ia bakal ditayangkan pada Mac nanti.