14 Mei 1948
"Mandat British sudah berakhir, anakku." Ahed Tamimi memandang ibunya, Hosnol Khatim. Anak Palestin itu tidak mengerti apa-apa pun tentang mandat British yang dibisikkan oleh ibunya itu. Seusia satu tahun dan masih berjalan jatuh, si kecil berambut keriting keperang-perangan itu menuju ke arah longgokan permainannya.
Hosnol Khatim mendapatkan suaminya yang sedang meneguk secangkir kopi suam. Semenjak subuh tadi suaminya itu terus-menerus termenung. Mulutnya bagai dikunci rapat namun otaknya ligat memikirkan tentang masa depan tanah airnya. Aqsa Sharif meletakkan kopiah putihnya di sisi piring bekas roti gandum air tangan Hosnol Khatim. Kelihatan dia mengeluh dalam keruh wajah yang mendalam.
"Mandat British sudah berakhir, Aqsa Sharif," Hosnol Khatim mendekati suaminya, bersama-sama sekeping lagi roti gandum yang dibakar untuknya. Masih panas, sepanas mentari yang memancarkan sinarnya dari celah-celah jendela kediaman usang mereka. Aqsa Sharif masih membisu. Hosnol Khatim diserang gelisah. Anaknya Ahed Tamimi leka bermain di ruang tepi berhampiran mereka. Sedikit pun tidak tercuai Hosnol Khatim memerhatikan si kecil itu.
"Sungguh, British sudah berambus! Tetapi aku dapat berasakan satu malapetaka yang lebih buruk akan berlaku di bumi anbia ini," terketar-ketar suara Aqsa Sharif memberi respons tentang ulah isterinya.
"Apa maksudmu?" gelisah juga yang melanda Hosnol Khatim dengan tanggapan si suami, sedangkan dia baru sahaja mahu menarik nafas lega tatkala Palestin diumumkan sebagai bebas daripada kuasa British.
"Lupakah kau tentang Bukit Zion?"
"Aku masih kabur dengan ulahmu, Aqsa Sharif." Hosnol Khatim memohon pengertian. Roti gandum yang dibakar kosong tadi sudah mulai dingin tanpa dijamah.
"Aku melihat Islam, Kristian dan Yahudi di bumi ini tidak mungkin akan bersatu. Kristian menganggap kota ini sebagai tanah suci Nabi Isa. Sedangkan Islam bersatu hati mengatakan Baitulmuqaddis kiblat Muslim atas peristiwa Israk dan Mikraj. Tetapi Yahudi tetap yakin bahawa Palestin ini tanah yang Tuhan janjikan kepada mereka menerusi kepercayaan kitab Injil. Mereka akan berusaha mempertahankan hak mereka yang bukan hak sebenarnya!" suara Aqsa Sharif beransur garau dan garang. Tiada kerdipan pada kelopak matanya, yang hadir hanya keringat di hujung dahinya dek panas mentari pagi.
Hosnol Khatim mengeluh perlahan. Mungkinkah ini bermakna, British dengan sengaja berundur dari Palestin untuk membuka ruang kepada puak Yahudi menarah dan meratah Palestin dengan lebih dahsyat? Pakatan apakah ini?
Pada malam itu tiga beranak yang masih setia di kediaman usang itu masih tidak dapat melelapkan mata. Ahed Tamimi sungguh pun tidak merengek meminta perhatian, tetap bersama-sama ibu dan ayahnya berguling-guling di tilam usang tanpa bantal. Botol susunya dikelek bersama-sama.
15 Mei 1948
Keadaan huru-hara melanda bumi Palestin. Umat yang masih dalam perlindungan Tuhan bertebaran menyelamatkan diri masing-masing. Rejim Zionis mengganas dalam usaha mereka melakukan penghapusan etnik besar-besaran. Ahed Tamimi dipeluk ibunya. Tangisannya tidak berhenti-henti apatah lagi ketika Aqsa Sharif terdampar berlumuran darah. Hosnol Khatim berlari menyelamatkan diri dan anaknya. Ditinggalkannya segala keperluan rumah dan peribadi. Sehelai sepinggang berlari mengendong Ahed Tamimi yang ketakutan. Dia terpaksa meninggalkan sekujur tubuh suaminya yang tidak bernyawa demi dirinya dan Ahed Tamimi.
"Inilah Nakba yang ditakuti oleh suamiku. Dia dah terasa-rasa Nakba akan berlaku. Kecelakaan atas umat Palestin dan tanah ini, Salimah!" Hosnol Khatim mendekati jirannya seraya memohon perlindungan. Suaranya terketar-ketar. Tubuhnya menggigil ketakutan. Peluh membasahi bukan sahaja pada wajah kebimbangannya tetapi ke seluruh tubuhnya. Sebahagian jilbab dan jubahnya lencun dek peluh dingin.
"Di mana suamimu?" Salimah memberi ruang kepada Hosnol Khatim dan Ahed Tamimi bersembunyi di rumahnya. Dua orang anak lelaki Salimah berjuang melawan serangan Zionis. Walau sudah ditegah namun kedua-dua orang pemuda itu tetap mahu mempertahankan tanah airnya. Dalam ketakutan itu mereka bertiga hanya mampu terperuk di rumah.
"Aqsa Sharif sudah mati. Ditembak Yahudi laknat!" suara Hosnol Khatim terketar-ketar. Air matanya gugur deras. Salimah memeluk jirannya. Berusaha menenangkan Hosnol Khatim sedangkan dia sendiri bimbang mengingati dua anak lelakinya. Air mata Salimah bercucuran. Ketakutan berselang-seli dengan kebimbangan. Apa lagi yang mampu dia lakukan, melainkan berdoa dan terus berdoa.
Serangan Zionis tanpa belas ihsan. Mereka membunuh setiap penduduk Palestin hanya kerana inginkan tanah yang dipercayai milik mereka. Usaha mereka menggembleng tenaga dan mencapai kata sepakat untuk merampas Tebing Barat sedikit demi sedikit mendapat pengiktirafan kuasa dunia, Uncle Sam dan jajahan bumi Sang Ratu.
15 Mei 2019
"Pasti akan kamu dapati orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman, ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik." Ahed Tamimi menamatkan tadarusnya pada dhuha itu dengan wakaf pada surah al-Maidah ayat 82. Air matanya mengalir lesu dan pilu.
Pada usia yang menjangkau 71 tahun, Ahed Tamimi masih berdaya membaca firman-firman Allah dan tetap waras mengingati peristiwa Nakba berabad nan lalu. Cucunya Yehia Rajab yang berusia 12 tahun masih dalam kekhusyukan mendengar ayat-ayat suci yang didendangkan oleh nendanya, Ahed Tamimi. Ayat demi ayat yang dilafazkan penuh dengan janji Allah tentang bumi Palestin dan bangsa Yahudi serta Bani Israil.
"Sudah selesai wahai Yehia Rajab. Kawan-kawanmu menunggu di luar sana. Pergilah bermain sepuas-puasnya sementara dunia ini masih aman," ujarnya lembut sambil mengusap rambut halus keperang-perangan Yehia Rajab. Anak itu yatim piatu setelah rejim Zionis menyerang kediamannya dan meragut nyawa ibu dan bapanya. Mujur sahaja nendanya Ahed Tamimi masih berkudrat menjaganya dan telah dipinjamkan usia yang panjang oleh Maha Pencipta kepada Ahed Tamimi untuk terus bernafas di bumi yang dizalimi Israel.
"Mengapa mereka menzalimi kita, nenda?" Yehia Rajab enggan berganjak, sedang kawan-kawannya memanggil-manggil namanya. Ahed Tamimi menarik nafas panjang. Merenung dalam anak mata biru kelabu Yehia Rajab, mengingati kisah 19 tahun yang lampau.
Imbas kembali. 1969. Palestin
"Bangsa kita perlu ada ruang untuk penempatan yang kekal. Bukankah Yehuda Halevi sudah memanggil orang-orang Yahudi untuk berhijrah ke Israel?"
"Ya, aku faham. Tetapi tanah itu bukan milik kita. Tanah itu tanah Palestin," suara Namanides sedikit kendur.
"Apa yang kau bimbang? Kita punya kekuatan senjata dan sekutu yang membantu. Usah kau peduli dengan tanah yang bakal kita duduki. Sedangkan dunia mengiktirafnya, untuk apa kau mempertikaikannya?"
"Dunia mengiktirafnya?"
"Ya, dunia Barat!"
Hari demi hari Juruselam dipenuhi bangsa Yahudi yang tanpa segan silu mengakui tanah itu hak mereka. Gelombang besar migrasi pertama telah lama berlaku semenjak tahun 1800. Gelombang migrasi berlaku secara besar-besaran. Etnik dan populasi Palestin disingkirkan.
Dua tahun sebelum tahun ini, tentera Israel telah mengisytiharkan kemenangan atas Palestin sehingga berjaya menawan Juruselam. Ahed Tamimi yang ketika itu berusia 19 tahun melarikan diri bersama-sama ibunya, Hosnol Khatim ke Masjid al-Aqsa. Beberapa orang rakyat Palestin juga berbondong-bondong melindungi diri dan keluarga mereka di tempat yang mulia itu. Masjid itu masjid keramat kerana di situlah berlakunya penghijrahan rasul junjungan, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa semasa peristiwa Israk dan Mikraj baginda rasul. Namun, pada hari tersebut jugalah tentera Israel melancarkan serangan ke atas Masjid al-Aqsa dan Baitulmuqaddis sehingga dikuasai sepenuhnya oleh puak Yahudi.
Hosnol Khatim memeluk erat anaknya Ahed Tamimi seolah-olah pelukan itulah yang terakhir baginya. Dia bukan lagi muda bertenaga untuk berlari dan melindungi diri. Kudratnya hampir sahaja lupus dek usianya yang semakin menjangkau. Ahed Tamimi menangis teresak-esak. Dia tahu kudrat ibunya sudah mulai kendur. Kesan tembakan rejim Zionis pada bahu kiri Hosnol Khatim semakin parah. Peluru itu sepatutnya menghala ke arahnya tetapi tersasar ke bahu ibunya. Darah yang mengalir tidak dapat ditahan-tahan lagi. Bagi mendapatkan bantuan kecemasan sesuatu yang mustahil kerana kebanyakan hospital tidak lagi beroperasi lantaran pengeboman di sana sini. Sedangkan tempat ibadah mereka pun digugat, apatah lagi rumah sakit. Tiada bekalan makanan apatah lagi ubat-ubatan. Esakan Ahed Tamimi semakin menjadi-jadi. Memeluk ibunya sekedap mungkin bagi menghilangkan ketakutan yang semakin menebal. Seluruh umat Islam berduka. Masjid al-Aqsa diserang dan dibakar.
"Tamimi, hidup ini sememangnya sementara. Tetapi selagi kita bernyawa, pertahankanlah maruah tanah air dan Islam walau dengan darah dan air mata!" tersangkut-sangkut suara Hosnol Khatim namun masih jelas di telinga anaknya. Tangisan Ahed Tamimi semakin teresak-esak. Hatinya semakin sebak melihat Hosnol Khatim di pangkuannya yang semakin lemah.
Derita ibunya itu sudah di penghujung. Nafasnya bergelombang. Semakin tersekat-sekat. Kelopak matanya semakin layu. Nadinya sesekali terhenti dan akhirnya terus terhenti. Ahed Tamimi meraung sekuat hati.
Dia sudah kehilangan seluruh kasih sayang bonda dan ayahandanya. Ayahnya syahid kerana mempertahankan bumi anbia itu. Ibunya pergi kerana mempertahankan dirinya.
***
Yehia Rajab merenung nendanya dengan penuh kesayuan. Jari jemari montelnya mengesat air mata di pipi tua Ahed Tamimi. Kawan-kawannya meneriak namanya di luar rumah, mengajaknya bermain. Cuaca di luar sudah terang benderang. Kanak-kanak sebaya Yehia Rajab girang bermain. Kadangkala mereka alpa tentang kesengsaraan hidup atau sengaja mengalpakannya. Sengaja. Kerana mereka tahu, sengsara itu akan menerjah pada bila-bila masa tanpa isyarat dan kala itu tiada tanah yang bisa menjadi persembunyian mereka kerana tanah yang mereka injak seakan-akan bukan milik mereka.
Kuasa apa yang mereka ada untuk memeluk pertiwi Palestin yang masih setia dengan kibaran panji sahaja. Selebihnya sengsara jua dalam dakapan mereka.
"Keluarlah bermain, Rajab. Sementara dunia ini masih aman," bisik Ahed Tamimi di telinga cucunya. Senyum tawar yang dilemparkan tidak menjanjikan kebahagiaan berkekalan, namun sudah cukup untuk Yehia Rajab bangkit dengan kekuatan semangat mempertahankan buminya – yang dia sendiri tidak pasti sekukuh mana ketahanannya.
Al-Maidah: 62
Dan engkau lihat kebanyakan daripada mereka (orang Yahudi) berlumba-lumba melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa jua yang mereka telah lakukan.
- Penulis kelahiran Johor ini bertugas sebagai perancang bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan