Selasa, 3 Januari 2023 | 11:18am

Cerpen BH Ahad: Tali Beruk

Prolog

Ketika Mat naik ke pentas, fikirannya berkecamuk. Berkecamuk seperti penampilannya juga. Dia mengenakan pakaian Barat tetapi lengkap bersampin. Kaki kanannya bercapal, kaki kirinya berkasut dan berstokin. Ada tanjak bertenggek atas songkoknya. Air mata Mat bergenang.

Cerita yang berlaku di pentas itu, masih disebut-sebut hingga kini.

(i)

Pulau Lonjong, tempat Mat tinggal terkenal dengan dua perkara.

Pertama, kelapa yang amat lazat rasanya. Airnya manis seperti madu, tidak perlu lagi ditambah gula. Isinya lembut seperti agar-agar, meluncur di tekak, sejuk dan nikmat.

Kedua, beruk yang handal memulas kelapa. Ada dua jenis beruk iaitu beruk bukit dan beruk paya. Kisah tentang beruk ini amat menarik tetapi akan diceritakan kemudian.

Sebahagian tanah di pulau itu berbukit, sebahagian lagi berpaya. Tidak sampai 200 keluarga tinggal di situ. Jawatan tertinggi di pulau itu ialah Ketua Pulau.

Kemudahan sekolah rendah dan klinik kerajaan ada disediakan. Jika ingin bersekolah menengah atau ke hospital, perlu menaiki bot ke tanah besar yang terletak sejam dari situ. Hal ini menyebabkan ramai yang bersekolah setakat darjah enam, ada juga yang menggagahkan diri mengharungi pendidikan wajib hingga tingkatan lima tetapi tiada sesiapa yang pernah menduduki SPM.

Anak perempuan lebih minat bekerja di warung kelapa, manakala anak lelaki lebih minat melatih beruk di Sekolah Beruk. Ya benar, sekolah beruk wujud di pulau itu. Beruklah yang membantu meningkatkan ekonomi sesebuah keluarga; sama ada memetik kelapa di kebun sendiri atau mengambil upah di kebun orang. Ada dua buah sekolah beruk di situ; Sekolah Beruk Bukit (SBB) dan Sekolah Beruk Paya (SBP). SBB hanya melatih beruk-beruk yang berasal dari bukit, manakala SBP melatih beruk-beruk yang berasal dari paya. Beruk bukit biasanya dilatih memulas kelapa, manakala beruk paya dilatih membuat persembahan di warung kelapa.

Banyak cerita tentang kekejaman terhadap beruk di kawasan bukit. Bayi-bayi beruk yang sedang menyusu dipisahkan daripada ibunya. Sejak bayi, beruk telah dihantar ke Sekolah Beruk. Ibu bapa beruk yang terperangkap dalam jerat akan dibunuh. Jika beruk malas belajar, beruk itu akan dikurung dan dibiarkan kebuluran di asrama (sangkar khas). Beruk yang tidak mahir, akan dibunuh.

Ketika itulah kisah Mat dan beruknya muncul.

(ii)

Mat menemui anak beruk yang cedera terkena jerat ketika pulang dari memetik kelapa. Bapa tirinya berkata,

"Buat apa bawa balik anak beruk paya tu? Bangsa pemalas, susah diajar. Kalau nak ambil, ambil beruk bukit. Ada juga gunanya. Sekurang-kurang tahu mana kelapa tua, mana kelapa muda. Kau ni sama saja dengan beruk paya."

Mat hanya mendiamkan diri mendengar bebelan itu. Tak guna membalas, syukurlah dia masih ada tempat berteduh bersama adik beradik tiri yang ramai.

Anak beruk itu dijaga sehingga sihat. Mat membuat tali pengikat daripada kain compang-camping yang disambung-sambung. Beruk itu mengikut Mat ke mana sahaja. Mat suka berbual, bercerita, bernyanyi malah berpantun dengan beruknya yang dinamakan Beruk Mat.

Setiap kali Mat memanjat kelapa, beruk itu turut sama. Akhirnya beruk itu mempunyai ketangkasan memanjat dan memulas kelapa melebihi tuannya. Malah, beruk itu juga pandai membezakan mana kelapa tua, mana kelapa muda.

(iii)

Sebuah parti baharu bernama Parti Seribu Guna (PSG) dilancarkan di Pulau Lonjong. Ada yang menggelar parti itu sebagai Parti Kelapa dan ada juga yang memberi nama timangan - Parti Beruk.

Presiden PSG, Karma merupakan anak jati Pulau Lonjong. Bagaimanapun dia tidak pernah tinggal di situ. Bapanya, pelancong dari Bali yang jatuh cinta terhadap ibunya pada pandangan pertama. Ketika itu ibunya bekerja di sebuah warung kelapa di kawasan paya. Jodoh mereka kuat. Mereka bernikah dan tinggal di pulau itu sehingga Karma dilahirkan.

Warung Kelapa Bali - milik ibu bapa Karma mendapat sambutan daripada para pelanggan dalam dan luar negara. Warung itu dihias menggunakan motif tempatan dan Bali. Warung itu tidak menggunakan beruk sebagai daya tarik, tetapi ibu bapa Karma mengumpul anak-anak muda lelaki dan perempuan yang berbakat mempersembahkan pelbagai nyanyian termasuk lagu Denpasar Moon.

"Nama pulau ini Pulau Lonjong. Tetapi sekarang ada orang menggelar pulau ini sebagai Pulau Bali. Pulau ini sudah hilang maruah dan kedaulatan. Kenapa kita biarkan orang luar mengaut keuntungan di sini? Kenapa biarkan budaya asing dan maksiat bertapak di sini? Nak tengok pusat urut, kelab malam, wujud di sini ke? Tak takut azab Allah ke?"

Ugutan Ketua Pulau untuk membakar warung menyebabkan ibu bapa Karma membawa Karma meninggalkan pulau itu. Karma menetap di tanah besar dan berpeluang menamatkan pengajian pada peringkat ijazah dalam bidang kebudayaan.

Umur Karma baharu setahun jagung, tetapi ucapannya amat memikat.

"Di mana ada lambaian daun kelapa, di situ ada bangsa saya yang perlu dibela. Saya bukan sahaja ingin membela nasib penduduk di pulau ini, tetapi juga akan membela nasib beruk-beruk di sini. Sekolah menengah, pusat pengajian tinggi dan hospital perlu dibina. Perniagaan kelapa akan dimajukan dalam pelbagai bentuk dan bukan sekadar dalam bentuk warung dan jualan kelapa pada peraih. Penganiayaan terhadap beruk perlu dihentikan serta merta."

Bagi memeriahkan majlis pelancaran, pertandingan memetik kelapa antara beruk diadakan. Sebanyak 50 ekor beruk mengambil bahagian. Tanpa diduga, beruk Mat, menggondol tempat pertama; mengalahkan puluhan beruk bukit yang lain. Beruk Mat menggugurkan 82 biji kelapa dalam masa setengah jam meninggalkan pencabar terdekatnya, yang menggugurkan sebanyak 73 biji kelapa.

Mat tersengih semasa menerima ganjaran sebanyak RM300 dari Presiden Parti Kelapa. Wartawan membuat liputan tentang penubuhan parti baharu dan latar belakang presidennya. Berita kemenangan beruk Mat langsung tidak disiarkan.

(iv)

Sebulan kemudian, Mat terperanjat apabila Setiausaha Sulit Presiden Parti Kelapa menemuinya. Mat dan beruknya dipelawa bertanding mewakili Pulau Lonjong bagi kategori pokok kelapa setinggi 10 meter yang akan diadakan di Bali. Semua kos ditanggung oleh Parti Kelapa.

Ketua Pulau menghadiahkan pintalan tali berwarna warni yang diselang seli dengan manik sebagai tali pengikat beruknya. Tali itu dianggap sebagai mewakili bakat seni dan doa dari seluruh penduduk pulau.

Mat dan beruknya dapat makan sedap-sedap sepanjang dalam kapal, selain dapat tidur dengan lena di atas tilam empuk beralas cadar lembut.

Beruk Mat berjaya menggugurkan 147 biji kelapa. Mat berasa amat gembira menerima wang tunai sebanyak tujuh juta rupiah, piala dan tali beruk yang diperbuat daripada batik sutera.

Lebih menggembirakan lagi kerana dia mendapat ramai kawan baharu yang bertutur dalam bahasa yang sama. Kali ini berita Mat dan beruknya disiarkan di akhbar dan televisyen Bali.

Presiden Parti Kelapa turut mendapat liputan. Bukan sahaja liputan positif tetapi liputan negatif. Parti pemerintah menuduh Presiden Parti Kelapa mengeksploit remaja bawah umur untuk menaikkan nama partinya. Ada menteri yang menuduh pertandingan itu memalukan nama negara kerana wartawan menyiarkan latar belakang Mat yang berpendidikan setakat darjah tiga.

(v)

Sesuatu yang tidak disangka-sangka terjadi lagi.

Sempena sambutan Hari Komanwel, satu kategori sukan rakyat telah diperkenalkan iaitu pertandingan beruk memulas kelapa. Nama Mat dan beruknya tiba-tiba menjadi tular sebagai calon sesuai mewakili negara dan seterusnya memenangi pingat emas bersejarah. Perkara berkecamuk pun bermula.

Presiden Parti Kelapa adalah orang pertama yang menemui Mat. Dia menawarkan tajaan untuk tiket penerbangan, persediaan pakaian, penginapan hotel, makan minum dan bimbingan ucapan.

Bagaimanapun, tindakan itu telah mendapat kecaman dari parti pemerintah. Parti pembangkang tidak dibenarkan menaja atau memberi sebarang idea. Hanya parti pemerintah yang layak berbuat demikian.

Ada menteri mencadangkan Mat memakai persalinan baju tradisi berserta tanjak atau songkok. Inilah masa yang sesuai untuk mengangkat falsafah di sebalik busana tradisi. Pendapat ini dibantah oleh menteri yang lain. Baju Melayu tidak sesuai kerana pada masa itu musim sejuk dan pastinya Mat akan menggigil kesejukan.

Netizen berperang pendapat siang malam.

Akhirnya gabungan baju Barat dan baju tradisi menjadi pilihan muktamad.

Tali beruk juga menjadi perdebatan hangat. Ada menteri mencadangkan tali kitar semula dari produk tempatan iaitu nanas. Ada pula menteri mencadangkan tali dari kulit harimau. Akhirnya, seorang tokoh politik veteran mencadangkan tali beruk yang baharu mesti menunjukkan kekayaan negara. Tali itu mesti diperbuat daripada emas 916.

Maka berlumba-lumbalah sang pandai emas mencipta rekaan tali beruk untuk menaikkan nama syarikat mereka. Bukan itu saja, ciptaan itu juga mempengaruhi reka cipta barang kemas yang lain sehingga berduyun-duyun penggila emas membeli cincin beruk, gelang beruk, loket beruk sebagai kenang-kenangan kepada Mat dan beruknya.

Ada menteri menyebut, ucapan Mat mesti memiliki standard antarabangsa. Bahasa yang akan dipilih menjadi pertikaian. Seorang menteri bermati-matian mencadangkan bahasa Melayu. Pandangan itu ditentang oleh ramai menteri lain dengan mengatakan, bahasa Melayu tidak difahami oleh Sang Ratu dan rakyat negara Komanwel.

Maka Mat dipaksa menghafal bahasa yang amat janggal bagi lidahnya. Siang malam, pagi petang, pakar linguistik mendengar Mat mengulang hafalan. Teks ucapan tidak diberikan kepada Mat kerana Mat tidak pandai membaca dalam bahasa Inggeris.

(vi)

Sebagaimana diduga, Mat dan beruknya menang!

Semua mata tertumpu pada Mat yang bakal berucap. Beruk Mat diletakkan atas rostrum.

"Saya memilih bercakap dalam bahasa ini kerana saya mahu Beruk Mat memahami apa yang sedang saya katakan. Rahsia kemenangan Beruk Mat adalah dia memahami arahan dalam bahasa Melayu. Beruk Mat telah memberikan suatu peringatan bahawa asal usul tidak penting. Jika ada kesungguhan dan keikhlasan, beruk paya pun boleh mengharumkan nama negara."

Punah harapan semua penaja yang ingin mendengar Mat menyebut jenama mereka. Penaja emas paling kecewa kerana Mat menyebut begini pula,

"Walaupun tali emas ini cantik tetapi Beruk Mat menderita menanggung beratnya. Pepatah ada menyebut, janganlah tali beruk lebih mahal daripada beruknya. Saya akan bebaskan Beruk Mat daripada tali yang mahal ini."

"Anak beruk di tepi pantai,

Pandai melompat pandai berlari;

Biar buruk kain dipakai,

Asal hidup pandai berbudi."

Mat mengakhiri ucapannya sambil membuka tali emas dan menggantikan dengan kain compang camping dari pulau. Beruk itu melompat ke bahu Mat dan berkerih seperti berterima kasih. Keesokan harinya, hampir semua akhbar antarabangsa menyiarkan tajuk berita,

"Beruk Mat Mengharumkan Nama Negara."

Epilog

Saya mengakui baru belajar menulis. Hasil karya ini asli dan bukan plagiat atau terjemahan dan belum pernah disiarkan atau diterbitkan dalam mana-mana media. Saya faham penghantaran karya yang tidak asli akan terbatal secara automatik.

Saya anak Presiden Parti Serba Guna, parti Ketua Pembangkang. Saya berharap karya ini tidak dibatalkan atas sebab politik.

- Pengarang asal Johor ini bertugas sebagai Dekan Sekolah Pendidikan

Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim

Berita Harian X