Isnin, 12 September 2022 | 11:06am

CERPEN BH AHAD: Semenjak kali pertama bertemu Rem

"Seni yang suci dan luhur perlu membezakan antara yang benar dengan yang salah. Mengapa membelakangi Tuhan hanya demi seni yang bebas dan absurd?"

Saya menyoal lelaki itu yang sedikit termanggu dengan soalan itu. Dia memandang saya dengan mata yang tidak berkelip. Korneanya tajam merenungi saya dalam-dalam seolah-olah terpancar api kemarahan yang meruap-ruap. Kemudian, dia mula ketawa. Mula-mula perlahan namun lama-kelamaan bertukar nada terbahak-bahak. Daripada riak wajahnya seolah-olah terpancar jenaka yang melampau. Pertanyaan saya membuatkan dia terasa lucu dan kelakar. Agak lama selepas itu dia mula membuka mulut. Kata-katanya mengejutkan saya.

"Setiap seni datangnya daripada imaginasi manusia. Khayalan ciptaan yang melanggar fitrah dan kebenaran. Aku sendiri pendukung seni yang totok dan fundamental. Lihatlah lukisan dan karikatur lakaranku datangnya daripada imaginasi akalku sendiri yang bebas dan tidak terikat dengan peraturan agama dan moral."

"Termasuk menghina dan mempersenda Tuhan dan kebenaran?"

Saya menyoal dengan mata yang terbeliak. Seakan tidak percaya dengan kata-kata yang meniti pangkal lidah karyawan itu. Dia sekadar diam dan terus diam. Tiada kata-kata yang keluar dari halkumnya sehinggalah saya meninggalkan dia sendirian di bawah sinaran cahaya lampu jalanan yang memancar terang.

Itulah pertemuan pertama saya dengan lelaki itu. Lelaki yang pada anggapan saya berpemikiran songsang serta mendiami sebuah dunia yang aneh dan keliru.

Semenjak kali pertama bertemu dengan Rem - seniman jalanan di sudut kecil di belakang bangunan lama di pinggir ibu kota itu seminggu lalu saya sudah dapat merasakan suatu keanehan yang luar biasa. Apatah lagi tatkala menatapi karya-karya seni lakaran daripada hasil tangannya itu. Lebih sepuluh lakaran kanvas berwarna warni yang terpamer di hadapannya kelihatan agak kabur serta menyerlahkan kesongsangan nilai dan adab. Malah, mencipta sentimen melampau angkara fahaman liberalisme yang diperjuangkan.

"Karya-karya lukisan tuan seperti cuba menterjemahkan aliran kebebasan, jenaka tanpa batas tetapi jelas melanggar fitrah manusiawi."

Saya pernah bersuara perlahan dengan perasaan sedikit gementar tatkala menemuinya di tapak galeri mini miliknya. Bimbang pendapat saya itu boleh mencetuskan api kemarahannya. Lelaki pertengahan empat puluhan dengan rambut panjang yang tidak terurus itu tidak memberikan apa-apa tindak balas apabila saya memberi pendapat. Dia membiarkan jari jemarinya terus melekat bersama berus di atas hamparan kanvas yang tercalit aneka warna.

Lama kemudian barulah lidahnya mula menitipkan kata saat dipalingkan wajah ke arah saya yang setia menatapi hasil seninya yang terpampang.

"Boleh saya tahu siapa kamu sebenarnya?"

Dia berdehem seketika. Pandangannya melekat pada mata saya seolah-olah sedang menatap kelibat seorang musuh yang licik dan menggerunkan.

"Saya Ahmad Mutawakkil - graduan tahun akhir dalam bidang seni halus di sebuah institusi pengajian tinggi di kota ini. Saya pecinta seni lukisan dan apa sahaja wacana sastera.

" Saya menyukai karya tuan yang berimaginasi tinggi. Akan tetapi, lakaran karya-karya tuan kelihatan agak sedikit songsang, aneh dan memberi tafsiran yang terpesong. Tidakkah nanti tuan dianggap mempersendakan alam ciptaan Tuhan?"

Saya memberikan pendapat.

"Maksud kamu, duhai anak muda?"

Dia seakan tidak berpuas hati. Kami saling berpandangan.

"Seni sewajarnya suci dan bersih daripada sebarang anasir jelek dan batil termasuk menghina dan memperlekeh aturan Tuhan dan peraturan agama."

Saya memberi hujah kukuh dengan alasan bahawa karya seninya agak melampaui batas.

Di satu sudut kecil, sekanvas animasi lakaran lelaki itu juga seakan mempunyai maksud cuba mempersendakan nilai dan moral.

Malah, pada sebaris kata-kata di bawah lukisan yang terpampang juga memiliki unsur-unsur keras yang boleh menimbulkan kebencian dan kemarahan sesiapa sahaja. Tiada jalan untuk seni yang seleweng hingga mempersenda Pencipta dan tuntutan fitrah.

"Seperti yang kukatakan dulu bahawa seni itu melanggar fitrah. Ramai seniman dan karyawan yang sudah tidak lagi memperdulikan aturan dan wacana suci. Seni yang tulus sekadar aturan jumud dan kuno yang merendahkan akal."

Dia membidas kata-kata saya sebelum meneruskan calitan warna pada kanvas putihnya yang tergantung di sudut kecil.

Cahaya bulan dari puncak langit menyerapkan habanya ke sekeliling ruang. Manusia kota yang lalu lalang di bahu jalan tekun memerhatikan lelaki berbaju nipis itu asyik mahsyuk dengan lakaran lukisan yang sedang disiapkan. Saya terus memerhati gerak jari jemarinya memotretkan sebuah monumen agam yang separuh siap sebelum akhirnya memilih untuk pergi. Saya tidak boleh lama-lama di situ kerana usia malam semakin tua. Banyak perkara yang perlu saya lakukan awal pagi esok sebagai siswa lanjutan yang dihadapkan dengan timbunan tugasan akademik yang mencabar.

Esoknya, di kampus tersergam saya hadir awal untuk mengikuti kuliah seperti biasa. Seorang pensyarah di hadapan dewan melontarkan ilmu tentang nilai seni yang dikatakan semakin hari semakin bercelaru oleh kebiadaban manusia menghina fahaman hidup orang lain.

"Komentar dan pelawak juga sudah semakin celupar memperlekeh nilai dan peradaban sehingga sanggup memprotes Tuhan dan ajaran yang hak. Ini sesuatu yang perlu dihentikan segera kerana boleh merosakkan muhibbah dan kesaksamaan. Beberapa minggu ini, kita dihadapkan dengan nilai komedi yang murah dengan mempersenda syariat oleh aktivis seni yang jahil dan batil."

Syarahan di dewan besar itu bergema menyusup masuk ke gegendang telinga puluhan pelajar yang asyik menghayati bilah-bilah bicara daripada sang pendidik.

"Bagaikan virus berjangkit, satu persatu cuba menjadi hero namun dengan lidah celupar mencerca dan menghina prinsip juga fahaman hidup orang lain. Semua hal ini berpunca daripada keinginan untuk memperjuangkan rasisme dan sekularisme yang melampau."

Sehari dua itu tatkala beberapa kes penghinaan agama menjadi bahan bualan ramai, tiba-tiba sahaja saya teringat kepada Rem - lelaki yang sering menghabiskan waktu petang dan malam di sudut bangunan tua di pusat bandar dengan memperagakan karya lukisan tangannya.

Potret dan lakaran karya seniman jalanan itu kelihatan agak janggal, surealisme serta bercirikan kebebasan akliah yang menolak fitrah.

Saya mula teringatkan beberapa insan seni tersohor di luar negara yang pernah menggemparkan dunia dengan karya penghinaan dan diksi biadab. Mula-mula mata saya bagaikan ternampak karya epik karangan Salman Rushdie yang penuh kontroversi, Satanic Verses. Naskhah jelek yang penuh dengan unsur prejudis itu kemudian diberi sambutan besar di bumi barat sehingga menerima Anugerah Whitebread sebagai novel terbaik.

Kemudian, fikiran saya melayang di wajah seorang wanita sekular di tanah Dhaka yang memperjuangkan hak-hak feminisme melampau hingga terhasilnya karya novel Lajja.

Wajah seniman bernama Taslima Nasrin yang membangkitkan api amarah di seluruh dunia berpuing-puing masuk ke skrin ingatan saya. Rasa marah saya turut bergelora dengan lakaran seninya yang dusta dan songsang. Tidak lama sesudah itu, saya ternampak pula kelibat seorang lelaki politikus Belanda yang akhirnya mencetus kemarahan umat di seluruh dunia suatu ketika dahulu. Geert Wilders - pejuang seni totok yang menghalalkan karikatur sebagai cabang seni yang kononnya mulus dan bebas tetapi penuh dengan api sentimen.

Malam hangat dengan suhu sekitar tiga puluh tiga darjah Selsius di ibu kota membuatkan saya sukar melelapkan mata. Fikiran saya melayang-layang mengingati manusia-manusia seni yang pernah dijatuhi hukum angkara kebiadapan dan penghinaan terhadap aturan agama dan junjungan agung. Hati saya mula tertanya-tanya mengapa pada setiap era dan waktu akan muncul seniman dan karyawan yang memilih jalan salah dan khilaf tatkala memperjuangkan seni yang korup, rendah imej serta jijik. Imaginasi saya terus berlari-lari dalam kepekatan malam yang kian sunyi.

Tiba-tiba sahaja ingatan saya terpacak kepada lelaki itu - lelaki yang serba aneh bersama lukisan-lukisan yang penuh misteri dan berfahaman songsang.

"Rem!"

Terpacul nama itu secara tidak sedar di pangkal lidah saya. Saya membayangi manusia seni itu yang gemar bermonolog sendirian sambil mengenakan salutan pakaian yang sedikit lusuh dan kumal. Wajahnya bagai tersembunyi seribu misteri dan kontroversi.

"Dia memilih identiti seni yang salah. Seni yang biadab akan menerima hukuman Tuhan nanti. Kelak pasti dia akan menyesal."

Gerutu saya sendirian cuba membayangi kelibat karyawan itu. Barangkali dia mengalami kemurungan oleh skizofrenia yang dahsyat. Saya membuat telahan sendiri dalam kesunyian malam yang kian menbungkus. Hanya sesekali terdengar bunyi kenderaan di jalanan yang menganggu perasaan saya.

Malam itu entah pukul berapa saya terlena. Dalam lelap, saya mimpikan Rem muncul di hadapan saya dengan membawakan puluhan lukisan dan karikatur yang pernah dipotretkannya. Kanvas-kanvas dengan calitan berwarna itu tiba-tiba dilemparkan ke tanah dengan wajah sugul.

"Aku tidak memerlukan lagi adaptasi karya yang jelek dan songsang ini. Aku terkesima oleh fatamorgana ciptaanku."

Dia menjerit kuat sebelum melangkah pergi. Hilang dalam kesamaran suasana yang diulit sunyi. Mimpi itu lenyap dalam dengkuran yang panjang.

Hari minggu yang mendung berjerebu, saya kembali mengatur langkah di antara susur bangunan tua menuju ke arah tembok lama di pusat bandar. Niat saya hanyalah ingin menemui Rem. Sebaik tiba langkah saya mati kerana tiada sesiapa di situ. Galeri kecil tanpa bumbung itu kosong. Bayang-bayang Rem tidak kelihatan. Begitu juga karya-karya seni rasisnya yang hilang. Saya kehairanan kemana perginya seniman kontroversi itu.

Tidak jauh dari situ seorang lelaki sebaya Rem menggamit saya.

"Kamu mencari Rem?"

Dia menyoal perlahan. Saya angguk sambil merenungi wajah berjambang lebat itu.

"Ya, banyak yang ingin saya gali tentang pemikiran dan idealisme dirinya yang unik dan aneh."

"Rem sahabat akrab saya."

Lelaki itu mula bercerita.

"Dia seniman berbakat besar. Selepas kehancuran rumahtangganya angkara orang ketiga, dunia hidupnya berubah. Karya-karyanya juga bertukar tempang dan songsang hingga mencetus kontroversi. Dia mula menyalahkan takdir dan suratan hidup angkara kekecewaan. Apatah lagi sesudah anak tunggalnya dilarikan bekas isteri ke luar negara. Dunianya bertukar rusuh dan kacau."

Saya hanya terdiam mendengar ungkapan bicara itu. Perasaan simpati mula meniti di pangkal jiwa saya.

"Rem mesti diselamatkan segera. Putus asa dan kekecewaan membunuh karier seninya sehingga sanggup membelakangi nilai dan moral."

"Ke mana lelaki itu pergi. Saya mahu melihat dia kembali ke pangkal jalan."

Soal saya ingin kepastian.

"Tiada sesiapa tahu ke mana dia menghilangkan diri. Dia memilih untuk menyembunyikan diri sesudah kertas siasatan dikeluarkan oleh pihak berkuasa angkara tersebar potret-potret lukisan dan karikatur yang didakwa mempersendakan Tuhan dan kebenaran."

Saya terkedu seketika. Wajah seniman itu melintasi fikiran saya. Hati saya bercuka sedih dengan apa yang berlaku. Rem perlu kembali. Saya tidak mahu akan muncul ramai lagi manusia seperti Rem yang memilih jalan seni yang salah hingga menggugat kestabilan bangsa dan tanah air. Ya, kebebasan seni tidak menghalalkan kebiadaban.

- Pengarang prolifik asal Terengganu ini sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Chukai Kemaman.

Berita Harian X