Isnin, 12 September 2022 | 10:46am
Eka (kiri) ketika dalam satu sesi bersama penulis yang dikelolakan penulis Malaysia, Muhammad Lutfi Ishak di Langkawi Writers Festival, minggu lalu. GAMBAR NSTP
Eka (kiri) ketika dalam satu sesi bersama penulis yang dikelolakan penulis Malaysia, Muhammad Lutfi Ishak di Langkawi Writers Festival, minggu lalu. GAMBAR NSTP

Kritikan tidak membunuh pengarang

LANGKAWI: Nama Eka Kurniawan bukan kecil dalam ranah sastera Indonesia. Kejayaan novel pertamanya Cantik Itu Luka berada dalam senarai panjang Hadiah Man Booker Antarabangsa 2016, manakala karya kedua Lelaki Harimau (Man Tiger) memenangi Financial Times Emerging Voices Fiction Award tahun yang sama, menjadikan Eka pengarang kegemaran di Asia Tenggara.

Eka, kelahiran Tasikmalaya berdarah Sunda tetapi karyanya membawa wajah Indonesia dan sejarah bangsanya. Malah, Eka dalam pertemuan semasa Langkawi Writers Festival baru-baru ini menyebut sastera itu tidak terlepas daripada sejarah dan politik bangsanya.

"Saya ditanya apa yang menyatukan orang Indonesia? Saya fikir bahasanya.

"Berbanding Malaysia yang mana setiap kaum boleh bersatu atas nama Melayu, di Indonesia setiap bangsa itu berbeza. Jawa, Bugis, Sunda masing-masing berbeza dan mempunyai bahasa sendiri tetapi yang mengikat adalah bahasa Indonesia," katanya.

Tegas Eka, ketika dia menulis novel pertama Cantik Itu Luka dia menulis dalam bahasa Indonesia kerana mahu bercerita kepada orang Indonesia. Seperti kebanyakan pengarang baharu, dia bermimpi karyanya itu dibaca oleh ramai orang.

Bagaimanapun, ketika naskhah itu dihantar kepada penerbitan ia banyak kali ditolak dengan pelbagai alasan sebelum diterbitkan oleh sebuah penerbitan kecil di Jogjakarta sebanyak 2,000 naskhah.

Naskhah itu kemudiannya diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Annie Tucker sebelum disenarai panjang untuk Man Booker International 2016. Penterjemahan novel itu menarik minat khalayak pembaca Indonesia.

"Agak aneh, buku itu hanya mula menarik perhatian pembaca Indonesia apabila ada khabar mengatakan ia bakal diterbitkan di New York.

"Tapi begitulah, penterjemahan selalu menjadi jambatan. Misalnya, kita sebagai pembaca selalu membaca naskhah dari luar sedangkan mereka tidak pun membaca novel kita.

"Mungkin dari sisi positifnya kita melihat ya .. kita akan lebih banyak tahu mengenai mereka tetapi dari sudut lain, itu tandanya kita tidak dikenali," katanya.

Justeru kata Eka, keseimbangan dialog ini perlu ada jambatan antaranya iaitu penterjemahan yang membolehkan kita saling membaca.

"Tapi dunia tidaklah sesederhana itu, kerana akhirnya yang jadi persoalan adakah mereka perlu membaca karya kita?

"Tapi positifnya apabila diterjemah mereka akan membaca karya kita dan kemudiannya akan mula mencari karya lain yang belum diterjemahkan," katanya.

Tegas Eka, pengalamannya dalam penterjemahan bermula dengan bekerjasama dengan penterjemah sebelum mendekati mana-mana penerbitan. Di negara maju, proses sebegitu ditangani oleh ejen sastera tetapi ia tidaklah benar sepenuhnya.

Ada kala penerbitan dan persatuan penulis di luar negara mempunyai geran penterjemahan. Hal ini memudahkan urusan seorang penulis untuk memasuki pasaran baharu.

Tegas Eka, di kebanyakan negara jika kerajaan berperanan dalam urusan penterjemahan akan mengundang banyak persoalan. Misalnya, siapakah pengarangnya atau apakah karya dan ideologi yang dibawanya.

Hal ini berbeza jika penterjemahan itu dilakukan oleh syarikat penerbitan kerana keutamaan mereka adalah kandungan karya dan kemampuan karya itu terjual kerana umumnya mereka bermotivasikan keuntungan.

"Bagi saya, jika pemerintah benar-benar mahu membantu penterjemahan karya, beri saja dana yang lebih besar tetapi jangan campur tangan untuk memilih karya," katanya.

Eka berkata, beliau secara peribadi melihat menerbitkan karya terjemahan adalah pekerjaan yang membantu memartabatkan sesebuah bangsa kerana peradaban sesuatu ras itu tidak akan timbul sendiri.

"Misalnya, kalau diberi dana residensi atau terjemahan karya yang mungkin beroleh manfaat mungkin hanya seorang Eka Kurniawan tetapi kalau saya menterjemahkan karya penulis luar ke bahasa Indonesia, akan lebih bermanfaat kerana ramai orang akan dapat membacanya," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya berhadapan kritikan, Eka berkata sewaktu Cantik Itu Luka diterbitkan pertama kalinya pada 2002, beliau berhadapan dengan banyak ulasan negatif. Malah, karya itu disifatkan gagal sebagai sebuah fiksyen genre sastera.

"Satu daripada sebabnya tarikh kemerdekaan Indonesia tidak ditulis dengan tepat tapi saya fikir sejarah itu boleh dipandang dari sudut mana yang dimahukan. Ia adalah sekumpulan fakta yang sangat subjektif.

"Tetapi karya itu dilihat gagal oleh pengkritik sebelum ramai kawan-kawan lain tampil membela karya itu," katanya.

Cantik Itu Luka kemudiannya memenangi The World Readers Award. Kejayaan itu menyebabkan beliau disamakan dengan kehebatan penulis legenda Indonesia, Pramoedya Ananta Toer. Namun bagi Eka semua itu hanyalah promosi semata-mata.

"Saya dan Pram tentu saja jauh berbeza. Pram adalah penulis yang kalau kita lihat dia menulis dalam bahasa Indonesia yang bukan bahasa pertamanya. Itu sudah hal yang besar," katanya.

Ketika ditanya pernahkah dia merasakan sastera tidak lagi menyuarakan hati rakyat tetapi ia dipenuhi penulis yang meminta perhatian, Eka menegaskan dulu dia pernah berasa sedemikian.

"Ya saya datang ke acara sastera dan berfikir tidak diterima atau tidak masuk dalam suasana. Sebenarnya kita tidak perlu terlalu berharap senior dalam penulisan atau negara kita.

"Kita lakukan sendiri kerana boleh mandiri kerana kita senang terbabit dengan sastera. Kita tidak melakukan kerana wang sebab dalam sastera memang tidak ada wang," katanya.

Selain Cantik Itu Luka dan Lelaki Harimau, Eka turut dikenali dengan karya lain iaitu Corat-coret di Toilet (2000), Gelak Sedih (2005), Cinta Tak Ada Mati (2005) dan Seperti Dendam Rindu Harus Dibayar Tuntas (2014).

Berita Harian X