Isnin, 5 September 2022 | 1:44pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan trofi bagi kategori Pencapaian Ilmiah Cemerlang kepada Siti Zuraina dalam Majlis Anugerah Merdeka 2022 baru-baru ini. Gambar Arkib NSTP
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan trofi bagi kategori Pencapaian Ilmiah Cemerlang kepada Siti Zuraina dalam Majlis Anugerah Merdeka 2022 baru-baru ini. Gambar Arkib NSTP

"Arkeologi adalah kepingan teka teki"

KUALA LUMPUR: Penemuan arkeologi zaman paleolitik berusia 74,000 tahun di Kota Tampan, Lenggong dan seterusnya Perak Man menjulang nama ahli kaji purba, Prof Emeritus Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid, 78.

Malah, penemuan berkenaan memetakan kedudukan negara dalam dunia arkeologi yang sebelum ini cenderung menyisihkan Malaysia kerana beranggapan ia tidak ada apa-apa yang dapat ditawarkan atau 'ketinggalan zaman'.

Namun bagi Siti Zuraina, berdasarkan kajian dan pengamatannya beliau kerap merasakan negara ini mempunyai sesuatu yang dapat ditawarkan dalam dunia arkeologi.

"Ia mesti mampu menjadi jambatan penting antara tanah besar Asia Tenggara dan kepulauan sekitarnya. Mesti ada rahsia dan ia sesuatu yang belum dipecahkan.

"Saya terfikir, jika kita boleh mempunyai tapak kajian arkeologi yang begitu penting di Sarawak, mesti ada tapak lain di Kepulauan Asia Tenggara lain kerana asalnya ia adalah satu daratan yang disebut Sundaland," katanya.

Bagaimanapun penemuan itu bukanlah semudah abc, sebaliknya beliau turut berhadapan dengan masalah kewangan sehinggakan suaminya pernah menyarankannya menggunakan wang tabungan mereka.

Semuanya bermula apabila beliau melihat kebarangkalian tapak lain yang boleh dihubungkan dengan kajian arkeologi yang dibuatnya di Sarawak sebelum itu.

"Saya terfikir mengenai sebab sebelum ini pada 1936, beberapa pengkaji British menemui sesuatu di Lenggong dan apa yang mereka temui dianggap tidak penting.

"Kononnya ia hanyalah batu tetapi saya tidak berfikir begitu. Saya berusaha melihat sendiri sampel berkenaan di Muzium British juga Singapura dan mempunyai pendapat yang berlainan," katanya.

Tegas Siti Zuraina, bersama-sama ahli geologi mereka melakukan memulakan kajian di Kota Tampan.

"Jika diimbas, ia mungkin kisah tipikal sebuah penemuan. Kami letih dan melepas lelah di tepi jalan yang ketika itu ada projek pemotongan jalan. Di sekitar itu ada semak, saya angkat dan terlihat barisan batu kerikil.

"Saya terfikir adakah kawasan ini dahulunya sungai? Atau mungkin tasik? Jadi saya gali dan temui lebih banyak batu sebelum menunjukkan pada ahli geologi yang mengesahkan ia batu buatan manusia," katanya.

Detik itu membawa mereka kepada penemuan tapak arkeologi Kota Tampan dan seterusnya Perak Man yang mencatat sejarah dunia.

Namun, sebaik saja kawasan itu ditandakan, tiada siapa mempercayai beliau yang menyebabkan penyelidikan berkenaan tidak mendapat bantuan kewangan pada peringkat awalnya.

Tegas Siti Zuraina, penyelidikan berkenaan memerlukan kos yang tinggi tetapi semangat beliau lebih lagi. Sekitar antara tiga ke empat hari penyelidikan, tapak itu menjadi semakin menarik dan beliau tahu penemuan di situ akan menyelesaikan banyak persoalan mengenai Asia Tenggara.

Lenggong tidak ditinggalkan begitu saja sebaik penemuan di Kota Tampan sebaliknya beliau meneroka Gua Gunung Runtuh yang menemukannya dengan Perak Man.

"Di gua itu saya menemui Perak Man yang berusia 10,000 tahun. Saya ingat melihat lututnya terlebih dahulu.

"Sebenarnya menemui rangka manusia sangat mengujakan kerana ia mempunyai cerita yang panjang. Daripada rangka itu kita tahu kesihatannya, benda yang dikuburkan bersamanya, jantina, diet dan sebagainya," katanya

Siti Zuraina yang juga penerima Anugerah Merdeka 2022 berkata, ahli arkeologi adalah seperti detektif zaman silam dan untuknya, ia adalah susunan kepingan teka teki yang banyak hilang.

"Sebenarnya, kalau ditanya mengapa saya memilih bidang ini saya pun tak tahu. Saya membesar dalam era yang kini sudah pun jadi sejarah, masyarakat yang tidak lagi wujud dalam dunia digital hari ini.

"Pembabitan saya dalam bidang ini mungkin datang secara semula jadi melalui

hubungan kita dengan China purba. Kita adalah sebahagian lokasi penting dan mempunyai hubungan sejak zaman lampau dengan mereka.

"Tetapi sayang, hanya sedikit sahaja yang kita tahu mengenai diri kita sendiri. Malah, berbanding negara jiran, bidang arkeologi kita agak terkebelakang," katanya.

Malah katanya, cabaran terbesar adalah meyakinkan agensi kerajaan berkaitan mengenai perlunya membentuk arkeologi sebagai disiplin pengajian dan penyelidikan. Sedangkan hanya melalui arkeologi kita mampu mengetahui sejarah dan memori sesebuah negara.

Tegas Siti Zuraina kekuatan beliau untuk terus mara dalam dunia arkeologi datang daripada sokongan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia ketika itu selain pasukan yang dianggotai sekumpulan individu hebat.

"Selain itu, tentu saja ia datang daripada keluarga. Suami dan anak-anak yang kerap membuat kejutan berkunjung ke tapak penggalian hinggakan kajian saya menjadi topik perbualan kami di meja makan. Ia memberi inspirasi untuk saya terus mencari jawapan," katanya.

Tambah Siti Zuraina, tiada pembahagian yang jelas antara kerjayanya dan kehidupan peribadi tetapi kekuatan beliau adalah suami dan anak-anak yang sentiasa menyokongnya.

Siti Zuraina yang menerima Anugerah Merdeka bagi pencapaian ilmiah cemerlang, berkata hari ini walaupun sudah bersara daripada jawatan rasmi beliau masih sibuk.

"Ketika ini saya sedang menyediakan dokumen pencalonan untuk Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Malaysia iaitu Institut Hutan Simpan Malaysia (FRIM) dan juga Royal Belum.

"Saya adalah sebahagian daripada tiga kumpulan yang menyediakannya," katanya.

Berita Harian X