Isnin, 5 September 2022 | 1:37pm

Cerpen BH Ahad: Bukan Orang 8 Muar

i

"Sejak abang menerima tetamu beberapa hari lalu, saya tidak pernah melihat abang segundah ini," ujar Datin Halimah sebelum melangkah perlahan di meja kerja suaminya buat menghantar kopi panas.

Malam sudah sangat larut namun Dato Onn masih berjaga di ruang kerjanya. Hari yang disebutkan oleh isterinya itu, hari itu sudah larut petang, Dato menerima tetamu. Husin namanya. Semasa Dato menjadi ketua pengarang untuk sebuah akhbar dahulu, Husinlah yang sering mengirimi berita-berita dari Sumatera.

"Tentu Dato sudah mendapat berita tentang sultan-sultan kami." Baris kata-kata Husin itu diiringi dengan dada yang sempit namun dia berusaha berdaya upaya supaya tidak menangis.

Begitu juga dengan Dato, dia berusaha menahan rasa, padahal dadanya sedang bergemuruh mahu pecah. Dato mengangguk lemah. "Khabar yang ku terima hanya sangat dasar. Aku bersyukur engkau datang. Aku mahu tahu hal ini dengan terperinci."

Dada Husin yang tadinya sempit jadi berombak, air mukanya berubah, matanya bergenang dan pecahlah tangisannya.

"Abang," sapa Datin dengan lembut.

Lamunan Dato terputus. Dia menatap wajah isterinya, matanya serta-merta berkaca lalu mengalir tanpa henti. Juga tanpa suara.

Segera Datin mendekat lalu merangkul bahu suaminya. Matanya menatap helaian di atas meja. Dia sudah membaca isi kertas putih itu. Kertas yang mengandungi butir-butir Malayan Union yang akan dilaksanakan di Tanah Melayu.

"Abang bersedih kerana perkara ini?"

Dato menyandarkan kepala ke tubuh isterinya.

"Abang resah kerana orang mengasak abang untuk menentang pelaksanaan ini? Abang akan lawan rancangan ini, bukan? Abang tidak akan berdiam diri, bukan?"

Dengan perlahan Dato mengangkat kepala lalu mencengkam dua lengan isterinya sedikit kejap. "Orang-orang tidak tahu apa yang aku tahu. Orang-orang tidak tahu apa yang abang tahu!"

ii

"Undang-undang apa begini?" gertu pemuda bernama Amin sambil memegang mangkuk cendol di tangan kanan. Meluap-luap kemarahannya. Matanya menatap helaian di tangan kiri. Dia menaikkan mata menatap tajam kepada kawannya yang sedang membetulkan samping dari kain sarung lelaki. "Mengapa pula kau ikat pancung samping kau itu, Radin?" tanya Amin dengan nada yang masih marah-marah.

Beristighfar panjang kawannya. Lalu segera dia ubah kepada ikat gombang. "Lihatlah, begitu galau hatiku, sampaikan ikat samping pun macam nak pergi menikah." Terus dia gulung ikatan kain sehingga labuh samping berada di pertengahan betisnya. Habis dia mengikat samping, dia gunakan permukaan tapak kaki kanan untuk raih bangku kaki tiga mendekatinya. Duduklah dia.

Penjaja cendol yang merupakan pemuda dari Kalinga, diam tidak berani masuk campur. Dari tadi dia sudah mendengar akan butiran yang tercetak di lampiran yang dipegang oleh pemuda yang marah-marah ini.

Si Radin bersamping ikat gombang itu ambil helaian kertas di tangan Amin yang masih marah-marah. Dia membaca pemberitahuan isi Malayan Union itu sekali lagi. "Memberi kerakyatan kepada semua bangsa. Cis, dasar orang putih makan kerbau kaki pendek!" dia mendengus sebelum meneruskan, "sultan-sultan akan hilang kedaulatan. Busuk perut kau, orang putih!" nafas Radin ini sampai termengah menahan perasaan, lalu dia menyambung lagi, "sultan-sultan wajib menerima seorang gabenor jeneral. Memang perancangan yang paling terbilang oleh Inggeris!" Dia menyudahkan caciannya dengan meludah ke tanah. Pui!

"Kamu fikir, bagaimana Malayan Union ini dapat dibatalkan?" tanya Amin dengan nada gusar sebelum meneguk baki cendol dengan sekali tegukan.

"Tetapi, kesemua sultan sudah menurunkan tandatangan. Kerana itu Inggeris berani mengeluarkan pemberitahuan ini," ucap Radin seraya mengitai-ngitai kertas di tangan.

"Aku percaya, tentu Dato Onn akan berbuat sesuatu. Tidak mungkin beliau akan berdiam diri."

"Benar katamu, kawan. Cintanya kepada negara ini besar sekali. Jangan kau lupa, sebelum Jepun masuk, dia ada menerbitkan akhbar Lembaga Malaya untuk dijadikan saluran mengkritik penjajah dan kaum pendatang. Kau ingat?"

Pemuda Kalinga si penjual cendol itu melihat aksi ini sampai menggigil tangannya menyusun mangkuk. Sampai berbunyi keletak keletu mangkuk-mangkuk itu.

Dua pemuda Melayu ini saling memandang lalu melihat kepada pemuda Kalinga tersebut. Seorang dari mereka bertanya dengan nada rendah, "Kami bukan marahkan kau. Kau mahu tinggal di negara ini?"

Pemuda Kalinga ini diam sebentar sebelum menjawab. "Kalau ada cara, tentu saya mahu pulang. Seperti kata pepatah Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tetaplah negeri sendiri menjadi pilihan."

"Tidak ada yang salah kau mencari rezeki di tempat ini dengan aman. Kau tidak akan kami sakiti."

"Saya faham," ucap pemuda Kalinga sambil tunduk sayu.

Amin menyambung, "Asalkan, jangan sampai cacing naik ke mata."

Pemuda Kalinga naikkan muka. "Cacing?" tanyanya dengan bingung. Rasanya ungkapan ini belum pernah dia dengar.

iii

Selepas kelakuan Inggeris yang angkat kaki semasa Jepun menduduki Malaya, kini dengan muka tebal lagi tiada malu, datang semula si orang putih itu dengan membawa sebuah cadangan yang bukan sekadar cadangan melainkan sebuah paksaan. Paksaan untuk para sultan menerima gagasan Malayan Union.

Orang yang ditugaskan mendapatkan persetujuan para sultan adalah Sir Harold MacMichael. Tiadalah Sir itu mendatangi para sultan dengan berlenggang kangkung melainkan dengan sebuah ugutan, yang mana jika sultan tidak mahu setuju maka baginda akan diturunkan dari takhta dan Inggeris akan mengangkat kerabat yang lain pula. Bahkan si Sir ini sudah ada senarai nama untuk diangkat menjadi pengganti sultan.

Umpama memiliki jurus tanpa bayang, Sir dengan senyap-senyap menyelinap dari istana ke istana tanpa diketahui oleh orang awam, bermula pada bulan sepuluh tahun 1945. Baginda Sultan Johor adalah sultan pertama yang mencoretkan tinta tanda setuju.

Selanjutnya, Sir membuat 'lawatan sambil belajar' kepada baginda sultan lain atas tujuan yang sama. Begitulah caranya Sir menyudahkan tugasan yang dibawa dari Tanah Ratu. Pada 22 Januari 1946, gagasan ini dibentangkan di Parlimen British lalu diluluskan dengan jayanya.

Sejurus itu, sebuah warta kerajaan British pun mengumumkan akan apa-apa sahaja yang terkandung dalam Malayan Union itu. Gegap gempitalah akan sekelian rakyat bumi Melayu ini tatkala mendengar akan warta berkenaan. (Termasuklah si Amin dan si Radin tadi).

Anak-anak muda yang biasanya berkumpul menanti datangnya maghrib dengan bermain sepak raga, minum kopi atau berkongsi kisah hantu, kini yang menjadi bualan mereka, tiada lain tidak bukan adalah warta Malayan Union diselang selangi maki dan hamunan.

Pelajar-pelajar sekolah dengan sengaja pergi ke kedai-kedai kopi tempat bersantainya para bapa-bapa yang buta huruf jawi, rumi mahupun hanacaraka. Para pelanggan tetap yang biasanya bertelagah akan hal dam haji dan takaran kopi yang tidak menepati kehendak tekak, ketika dibacakan akan isi Malayan Union bertempiklah mereka seraya bingkas bangun bagai pahlawan.

Para nyonya rumah yang selalunya berminum petang di penjuru halaman sambil menghisap rokok, tidak lagi berkisah tentang pola kebaya paling terkini atau tas tangan yang dibeli dari luar negeri, sebaliknya berdiskusi bagaimana caranya mereka mahu mendesak ketua wanita mereka menyampaikan bantahan Malayan Union ini kepada pihak yang lebih atas.

Para pemuda yang tahu membaca, dengan sukarela berdiri di sudut-sudut pasar. Mereka menarik perhatian para pengunjung pasar bagi mengerumuni mereka dengan cara menabuh gendang. Apabila sudah berkumpul sekian orang, mulailah dibacakan akan isi Malayan Union itu. Walaupun warta ini sudah dikumandangkan di tetuang-tetuang udara namun pasti masih banyak masyarakat yang belum mendengar akan perkhabaran ini.

Berita ini perlu sampai ke segenap jalan, lorong, denai dan ceruk, semua orang Melayu perlu tahu apa yang sedang dirancangkan oleh penjajah untuk mereka.

"Bukankah sultan-sultan sudah bersetuju akan Malayan Union ini?" tanya salah seorang yang berkerumun.

Buntanglah mata setiap orang yang mendengar akan kata-kata itu. "Masakan sultan berbuat seperti itu?" tanya seseorang yang langsung tidak percaya tahap 'sumpah, potong jari'. Tangannya segera memperkemaskan letak duduk songkok di kepala, agak mereng ke kiri.

Pemuda yang membacakan warta menjawab, "Inggeris itu licik tuan-tuan. Entah apa yang mereka ancamkan kepada para sultan, tiadalah kita tahu. Kita mesti menunjukkan semangat dan kesatuan untuk menolak perkara ini dan memberikan sokongan penuh kepada sultan. Kita memang kesal dan dukacita dengan persetujuan para sultan. Namun kita percaya yang hal ini akan dapat ditarik kembali."

"Tapi, bukankah sultan sudah bersetuju?" balas orang yang tadi. Ungkapan yang bagai merencatkan semangat semua orang yang berada di situ.

iv

"Tentu abang sudah tahu akan hal tujuh pembesar Muar akan bertemu dengan baginda sultan, buat memohon baginda menarik kembali kata setuju gagasan Malayan Union itu."

Dato hanya diam merenung ke luar jendela. Datin terus menyambung, "Rakyat memiliki harapan yang besar agar abang turut serta."

Dengan perlahan Dato menutup jendela lalu berpusing menatap isterinya. "Kamu masih ingat kepada tetamu yang datang lewat petang dahulu itu? Beberapa hari sebelumnya, baginda sultan berkongsi berita dengan abang. Sultan-sultan di Sumatera tiada yang tersisa. Habis dipenggal. Kedatangan Husin kelmarin, membawa maklumat yang lebih rinci."

Terbeliak mata Datin, jari-jemarinya menutupi mulut. "Siapa….?"

"PKI pelakunya. Partai Komunis Indonesia. Asahan, Langkat, Siak… dan kerajaan-kerajaan kecil lain," Dato menarik nafas panjang bagi mengendalikan rasa sempit di dada, "tiga haribulan lalu, Istana Asahan dikepung jam enam pagi, istana dirompak dan dibakar. Kerabat Sultan Langkat pula, kesemuanya dipenggal."

Tubuh Datin menggeletar.

"Kalau ada yang selamat, itu bermakna mereka tidak berada di dalam istana pada ketika itu. Baginda sultan dibiarkan hidup namun kini menjadi tawanan."

Datin cepat memotong, "Baginda Permaisuri Langkat itu bukankah…."

Dato menyambut kata yang terputus itu dengan sayu, "Saudara perempuan baginda Sultan Selangor," Dato menarik nafas kemudian menyambung, "para puteri, diperkosa sebelum dibunuh."

Datin berasa mual namun berusaha ditahan. Perlahan-lahan dia menutup telinga dengan dua tapak tangan.

"Sultan Kualuh, baginda dan anaknya ditangkap, diseksa lalu dibuang ke jalan kerana difikir sudah meninggal. Ada nelayan menjumpai baginda lalu dihantar ke istana. Sekumpulan orang datang, kononnya mahu membawa baginda ke Rumah Sakit Belanda untuk dirawat. Di pertengahan jalan, baginda dan anaknya dicincang lumat."

Kaki Datin terlalu lemah untuk berdiri, dia duduk di katil. Dato mendekat lalu duduk di sebelah isterinya. "Sebahagian rakyat termakan akan momokkan bahawa para sultan itu boros dan tamak. Kononnya, pemberontakan ini adalah 'daulat rakyat' bagi mengajar sultan-sultan, padahal PKI sengaja mencari alasan untuk melenyapkan pemerintahan beraja. Abang bimbang jika Malayan Union itu gagal, Inggeris akan menggunakan helah yang sama iaitu mengadu domba rakyat dengan para sultan. Abang takut jika ada darah yang akan tumpah."

v

Beratnya beban perasaan yang dipikul di bahu Dato, berderai dan luruh dengan berhimpunnya rakyat yang begitu ramai bagi memberi sokongan dan semangat kepada tujuh orang besar Muar yang menghantar surat bantahan kepada Baginda Sultan Johor di istana. Dato Mufti Johor yang ditunjuk sebagai wakil menemui baginda sultan, berjaya mencerahkan fikiran baginda akan akibat buruk Malayan Union ini.

Sejurus baginda sultan mencabut semula persetujuan baginda, Dato Onn terus memimpin perarakan membantah Malayan Union. Bantahan ini menjalar pula ke negeri-negeri lain, Kedah, Melaka, Kelantan, semuanya. Di Perak, permaisuri sendiri mengetuai bantahan ini. Perarakan bersama sepanduk dan laungan 'Hidup Melayu!' bagaikan sebuah gelombang raksasa yang menolak keluar Inggeris dari tanah ini. Perarakan yang membuatkan Inggeris yakin bahawa tidak mungkin mereka akan menang jika mengugut para sultan sekali lagi. Lihatlah rakyat yang ada di belakang sultan, nak diadu domba bagaimana gayanya?

- Penulis berasal dari Kota Tinggi dan bertugas sebagai pengurus

penerbitan di Larkin, Johor.

Berita Harian X