Isnin, 5 September 2022 | 1:35pm
Adat Perpatih di Negeri Sembilan sudah tidak berkembang sejak sedekad lalu disebabkan generasi muda di negeri itu semakin mempersoalkan mengenai kerelevanannya selain ia dianggap melanggar hukum syarak. Gambar Arkib NSTP
Adat Perpatih di Negeri Sembilan sudah tidak berkembang sejak sedekad lalu disebabkan generasi muda di negeri itu semakin mempersoalkan mengenai kerelevanannya selain ia dianggap melanggar hukum syarak. Gambar Arkib NSTP

Adat Perpatih semakin dipersoalkan

SEREMBAN: Adat Perpatih di Negeri Sembilan sudah tidak berkembang sejak sedekad lalu disebabkan generasi muda di negeri itu semakin mempersoalkan mengenai kerelevanannya selain ia dianggap melanggar hukum syarak.

 Hal ini dipercayai berpunca daripada ketidakfahaman mereka mengenainya sekali gus menyebabkan timbul rasa curiga yang menyebabkan ia ragu-ragu untuk diamalkan.

  Pensyarah Institut Perguruan Malaysia Kampus Raja Melewar (IPGKRM), Dr Abdul Karim Mansor, menyifatkan kecurigaan mereka perlu dijawab apatah lagi jika ia menyentuh hukum syarak.

 Justeru Abdul Karim berkata, lebih banyak usaha dan kajian bagi menjawab dakwaan dan keraguan itu perlu dibuat.

 "Mereka adalah pewaris adat. Jika mereka mula curiga ia tidak mustahil akan menyebabkan adat Perpatih tidak lagi diamalkan.

 "Justeru, kajian dan pemahaman mengenai perlu dibuat dan dapat menerangkan beberapa perkara kepada masyarakat berhubung dakwaan berkenaan misalnya menyentuh kepada aturan adat yang sebenar-benar adat, yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat," katanya ketika berkongsi kertas kerja, Wasilah Adat Perpatih dalam Seminar Polemik Sejarah Negeri Sembilan 2022, yang diadakan di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar (GDTJ), Seremban baru-baru ini.

  Katanya, masyarakat perlu difahamkan mengenai keunikan adat Perpatih selain fungsinya sekali gus mampu menyelesaikan kecurigaan disebabkan aturan adatnya  berpandukan al-Quran dan sunnah.

 "Sebelum ini sudah banyak penyelidikan, penerbitan dan seminar serta lain-lain aktiviti dilaksanakan untuk memperkasakan adat ini.

  "Namun begitu masih terdapat kelompangan ilmu kepada masyarakat pengamal untuk mengetahui dan memahami aturan serta falsafah adat Perpatih yang sebenar," tegasnya.

Adat Perpatih amat dikenali di Negeri Sembilan. Ia adalah sebahagian identiti budaya dan warisan yang mewarnakan negeri itu. Dipercayai berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera adat Perpatih diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang.

   Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, pelantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi.

  Bagaimanapun dengan kecurigaan adat berkenaan yang didakwa melanggar hukum syarak, ramai generasi muda pewaris adat tidak lagi mengamalkannya.

  Hal ini menimbulkan kebimbangan ramai termasuklah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang berharap adat ini dapat kembali disemarakkan.

  Apatah lagi ia bersandarkan hukum syarak dan terkandung dalam Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

  Terdahulu, beliau yang menyampaikan ucaptama dalam seminar berkenaan berkata, status tertinggi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Dato Bandar Sungai Ujong di bawah Perlembagaan 1959 itu tidak akan kekal jika pemupukan amali murni adat itu gagal diharmonikan dan diguna pakai.

  "Pembaharuan azam adat ini amat wajar dihidupkan demi memberi identiti sebenar Negeri Beradat kepada Negeri Sembilan.

  "Malahan, satu konvensyen Adat Perpatih pernah diadakan pada 1982 dengan semua pihak berkaitan menyatakan sokongan terhadap konvensyen itu.

 "Bagaimanapun pelaksanaan hasil konvensyen masih menjadi tanda tanya." katanya.

 Rais berkata, hal ini tidak perlu dibiarkan justeru pihak perlu mendidik dan menyemarakkan kembali adat Perpatih ini.

   Menurutnya, usaha memperluas dan memperkasakan adat itu dalam semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan perlu dilakukan untuk mengelak kepupusannya.

 "Adat Perpatih ini yang menjadi identiti budaya dan kehidupan masyarakat di Negeri Sembilan kemungkinan boleh pupus dalam tempoh 10 tahun lagi jika tiada tindakan proaktif dilaksanakan.

   "Apatah lagi ia berkait langsung dengan perlembagaan negeri," katanya.

Tegasnya, kefahaman mengenai adat itu juga semakin pudar disebabkan ia bukan sebahagian daripada silibus pembelajaran di sekolah. Hal ini menyebabkan kebanyakan generasi muda tidak mengetahuinya.

  Malah, bukan juga luar biasa katanya apabila terdapat pegawai kerajaan yang datang berkhidmat di Negeri Sembilan tidak pun mengenal adat Perpatih menyebabkan kedudukan adat ini semakin jauh.

  "Memandangkan adat adalah kehidupan yang mengupayakan tamadun, semestinya pihak berkuasa dapat memainkan peranan menghidupkan amalan ini supaya ia tidak terus hilang ditelan zaman," katanya.

  Sementara itu, bagi Kurator GDTJ, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari dalam kertasnya berkaitan pensejarahan Negeri Sembilan, berkata sejarah Negeri Sembilan termasuk berkaitan adat Perpatih sudah tidak berkembang sejak sedekad yang lalu.

  Hal ini katanya berlaku apabila tokoh-tokoh sejarah berpengalaman atau ada kalangan ahli akademik berkaitan meninggal dunia atau sebagainya.

  Situasi itu membuatkan pensejarahan Negeri Sembilan dilihat semakin menguncup kebelakangan ini.

   "Justeru, kita perlu menggerakkannya semula. Kajian dari perspektif tempatan perlu dibuat  berdasarkan maklumat tempatan serta bukannya bergantung kepada buku atau bahan sejarah luar semata-mata," katanya.

Berita Harian X