Isnin, 19 September 2022 | 10:25am

Cerpen BH Ahad: Cerita sebatang tongkat

Apakah Haron harus melangkah tanpa memerlukan tongkat yang selama ini tempatnya bergantung harapan? Setiap masa dia sangat memerlukan tongkat untuk berdiri mengimbangi badannya ketika berjalan. Tongkat itu memberikannya semangat dan kekuatan luar biasa. Ke mana sahaja dia pergi tongkat itulah yang membantunya melangkah. Malah lebih cerdas dari orang biasa. Itulah kelebihan dia bertongkat di usianya sudah menjangkau 60 tahun di bulan Mei lalu.

Dia tidak pasti sejak bilakah jalannya bertongkat. Persoalan itu menerjah akalnya juga sesekali. Namun hingga kini, tongkat di tangan itu diharapkannya akan terus berkekalan. Jiwa Haron cukup serasi menggunakan tongkat yang seakan sukar dipisahkan dari dirinya. Hidupnya bagaikan tidak bermakna tanpa tongkat di tangan. Biarlah orang lain berkata dia bergantung pada tongkat, dia tidak peduli asalkan hidupnya terjamin dan terjaga selagi terus bernyawa.

Kadangkala Haron membandingkan dirinya dengan golongan lain, mereka yang seusia dengannya yang berjalan langsung tidak bertongkat. Barangkali mereka memang tidak perlukan tongkat di usia menjangkau 60 tahun ini sepertinya. Sesekali Haron terfikir, alangkah elok jadi seperti mereka yang tidak bertongkat. Bagaimanapun, tidak pula Haron ingin cuba berjalan tanpa tongkat. Dia sudah terbiasa dan selesa jalan bertongkat sejak dahulu lagi.

Tongkat ini telah banyak membantunya bergerak mudah menyusuri perjalanan berhalangan dan mencabar. Dia rasa berhak menggunakan tongkat untuk memudahkannya berurusan tanpa sekatan halangan birokrasi yang dihadapi orang lain. Kalau tiada tongkat ini entah apa akan jadi pada dirinya nanti. Tentu dia terkapai-kapai tiada semangat hendak meneruskan kehidupan. Hilang keyakinan pada diri sendiri dan rasa terbuang.

"Susah rasanya hidup tanpa tongkat ini," keluh Haron sendirian, duduk di kerusi merenung tongkat yang digunakannya hampir lima dekad. Tongkat diperbuat daripada aluminium yang kelihatan usang dan tidak pernah ditukar ganti semenjak berusia 20 tahun.

Sebenarnya, bukan pasal penyakit dia terpaksa jalan bertongkat. Sebaliknya dia sudah biasa bertongkat masa sering keluar rumah merayau ke sana-sini hingga sekarang.

Dia duduk merenung beberapa orang anak muda Melayu sebayanya jalan tiada bertongkat. Mereka tidak menghiraukannya duduk memegang tongkat sendirian. Ada yang memandangnya seolah-olah mengejek.

"Ah, biarkan mereka, suatu masa nanti mereka akan mengerti betapa pentingnya tongkat untuk berjalan," ujarnya sendirian lalu bangun meneruskan langkah ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari taman permainan ini.

Sebelum ini dia pernah mendengar pemimpin utama menyarankan orang sepertinya tidak kira tua dan muda supaya membuang tongkat yang sering menjadi pegangan. Saranan itu sudah beberapa kali diucapkan mereka dalam macam-macam perjumpaan bersama rakyat. Pemimpin-pemimpin itu menggalakkan rakyat belajar berdiri di atas kaki sendiri agar jadi kuat, tidak terlalu bergantung pada tongkat yang menurut mereka akan hilang ditelan mengikut peredaran waktu.

Hakikatnya Haron kurang menyetujui gesaan pemimpin itu, lebih-lebih lagi mereka ingin membuat terus tongkat yang digunakan selama ini. Tidakkah mereka sedari kesan dan akibatnya nanti jika tongkat itu dibuang? Gila atau kurang waraskah fikiran mereka membuat cadangan begitu? Mereka boleh bercakap apa sahaja sebab kaya berharta sedangkan dia hidup terpaksa bertongkat sana-sini. Setahu Haron bukan semua orang mampu berjalan dan berdiri sendiri jika tiada tongkat. Hampir segenap pelusuk dunia terdapat ramai manusia sepertinya jalan bertongkat meneruskan kehidupan. Mengapa perkara ini harus dipertikaikan?

"Hidup jalan bertongkat ini memang hak kita semua, terutama bagi kita yang memang tinggal dan lahir di bumi ini. Kita tidak boleh membuangnya selagi belum ada kekuatan dan keyakinan berdiri di atas kaki sendiri," jelas Haron kepada Maimon, isterinya yang muda lima tahun daripadanya selepas mengikuti ucapan seorang pemimpin yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen arus perdana sebentar tadi.

Pemimpin tersebut menghadiri perhimpunan bersama rakyat di sebuah kampung bernama Kampung Lalang. Dia sebenarnya pembantu menteri perniagaan. Dalam ucapannya kepada hadirin, dia meminta mereka tidak terlalu menggunakan tongkat, harus belajar berdiri sendiri. Ucapan pemimpin itu benar-benar menyentuh perasaan Haron juga.

"Menteri itu mahu kita menyahut seruannya supaya kita biasakan diri tidak memakai tongkat," balas Maimon alias Mee Ling Chai tersenyum dan faham suaminya memang memerlukan tongkat sebagai peluang mendapatkan apa yang dihajati. Termasuk bantuan kebajikan yang diterimanya sebanyak RM500 sebulan, belum lagi manfaat lain.

"Kalau benar dia mahu menghapuskan tongkat ini supaya kita mampu berjalan sendiri, rasanya aku tidak terdaya pula mahu buat begitu," kata Haron rasa kecewa, terkilan mendengar kata-kata menteri itu.

"Aku pun kurang setuju juga dengan apa yang menteri itu cakap, macam dia mahu pula menafikan hak abang itu. Kita jangan ikut orang lain, mentaliti mereka sudah biasa hidup tidak perlukan tongkat."

"Ya, itulah perbezaan kita yang sangat ketara dengan mereka, tapi kita tak boleh jadi begitu. Tongkat ini hak keistimewaan kita yang tidak boleh dicabar dan dihilangkan, kecuali jika diubah secara paksaan," kata Haron terbayangkan satu musibah akan berlaku ke atas dirinya jika tongkat ini hilang.

"Usah abang risau, selagi kita ada pemimpin bertanggungjawab, tongkat abang itu tidak akan hilang selama-lamanya," balas Maimon menghilangkan resah Haron yang bergelora.

Tergerak sedikit kerisauan di fikiran Maimon sejenak. Apa akan terjadi kalau tongkat dipakai Haron itu dibuang nanti? Maimon pasti Haron akan terketar-ketar bila cuba berjalan kaki menggunakan kudrat sendiri. Tiada siapa pedulikan Haron terkapai-kapai mencari tongkat selain Maimon yang terpaksa membantu. Sanggupkah mereka melihat Haron berkeadaan begitu atau sengaja membiarkan dia tersungkur rebah?

Tongkat itu tetap penting dan berguna buat Haron juga. Tiada sesiapa menafikannya. Maimon cukup faham apa yang sedang berlegar di fikiran suaminya sekarang. Resah seorang suami tentu ada sebab dan alasan yang jelas. Selaku seorang isteri dia tidak rela suaminya jadi mangsa penghinaan mereka yang tidak bertanggungjawab. Sebusuk mana pun anggapan mereka, perasaan sayangnya pada Haron tidak berkurangan.

Semenjak bersuamikan Haron hampir lebih 20 tahun lalu dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Maimon tidak pernah mempertikaikan tongkat dipakai oleh suaminya. Dia sedar tongkat itu hak mutlak Haron yang tiada sesiapa boleh persoalkan. Suaminya memang berhak mempunyai sebatang tongkat atas nama penghuni asal di daerah sebelah pantai timur ini. Mereka yang mempertikaikan tongkat suaminya itu jelas tidak memahami susun galur sejarah dan hak-hak seseorang yang sudah termaktub di dalam perlembagaan.

Maimon tidak kisah yang Haron terus jalan bertongkat. Biarlah Haron hidup bertongkat di bumi subur bertuah ini asalkan selesa bergerak bebas ke sana-sini. Sebanyak mana cacian dan hinaan dilemparkan, Haron tetap suaminya di masa hidup susah, senang. Dia tidak berasa hina bersuamikan lelaki bertongkat.

Orang-orang besar sekadar tahu menyuruh Haron membuang tongkat tidak sedar kesan dan akibat yang memudaratkan. Mereka bercakap ikut sedap mulut hingga perasaan suaminya tergores luka.

Maimon faham betapa suaminya sangat memerlukan tongkat agar mendapat kekuatan dan keyakinan melangkah. Hakikatnya dia kurang bersetuju pihak tertentu mendesak Haron membuang tongkat. Apakah mereka tidak suka Haron yang terlalu kerap jalan bertongkat. Maimon akui tanpa tongkat suaminya jelas tiada keyakinan dan kekuatan untuk bergerak. Bukan Haron seorang saja menggunakan tongkat, ramai lagi insan lain terpaksa perlukan tongkat sepertinya. Tidakkah mereka sedari hal ini? Fikir Maimon rasa kesal.

Sungguh mendukacitakan Maimon terhadap segelintir manusia berkedudukan tinggi turut bersuara lantang sewenang-wenangnya mendesak agar tongkat digunakan oleh Haron itu dibakar dan dipatah-patahkan tanda tidak berpuas hati. Mereka menghina dan mengejek Haron yang terlalu menggunakan tongkat. Maimon tidak mendesak Haron supaya meninggalkan tongkatnya semata-mata melayani mulut-mulut busuk itu. Pendirian Maimon tetap teguh menyokong tuntutan Haron yang mahu tongkat miliknya dikekalkan demi kelangsungan hidup. Apa masalah mereka Haron menggunakan tongkat? Haron tidak mengganggu mereka yang hidup senang-lenang mengaut kekayaan sampai perut membuncit.

Maimon sedar, tongkat itu tidak mampu menjadikan Haron kaya macam mereka yang sibuk bergelut memulas kudrat setiap hari mencari harta seberapa banyak mungkin. Setakat ini Maimon cukup bersyukur dengan apa yang datang walaupun hidup bersederhana. Kekayaan wang dan harta baginya belum tentu menjamin kebahagiaan yang diimpikan.

Ramai kawan-kawan seusia sebenarnya tidak bertongkat. Eric De Souza misalnya, rakan baik Haron yang berusia hampir sebaya. Rakan sejak di bangku sekolah lagi. Dia masih tegap melangkah tanpa tongkat. Haron selalu melihat Eric seharusnya diberikan tongkat. Seperti dia, keluarga Eric sudah berada di tanah ini berabad lamanya.

"Engkau sepatutnya layak mendapat tongkat di usia 62 tahun ini, barulah rasa selesa berjalan macam aku," tegus Haron semasa bertemu Eric Der Souza di sebuah restoran tempat mereka berdua duduk makan dan bersembang baru-baru ini. Sudah sebulan mereka berdua tidak bertemu bertanyakan khabar, jadi dalam kesibukan hidup masing-masing, mereka mencuri masa menyambung silaturrahim.

"Ya, memang sepatutnya aku berhak dapat, tapi aku mahu bergerak sendiri tanpa bantuan tongkat," jelas Eric De Souza tanpa rasa kesal menolak tawaran yang pernah dibuat oleh pihak berwajib setahun lalu.

"Mengapa pula? Bukankah elok rasanya kamu dapat bertongkat untuk kebaikan juga," kata Haron turut menyokong Eric De Souza diberikan tongkat.

"Aku fikir tak payahlah, nanti aku akan jadi manja pula kalau terlalu mengharapkan tongkat," kata Eric De Souza tanpa berniat mahu menyindir Haron yang tongkatnya sentiasa tidak lekang dari tangan. Dia sedar orang sepertinya tidak wajar diberikan tongkat. Takut bakal mengundang ketidakpuasan hati pihak tertentu.

"Ah, tidak semestinya kau akan jadi begitu pula. Perkara ini pun terpulang juga kepada individu itu sendiri," balas Haron berasa tidak ditempelak oleh kata-kata Eric De Souza tadi.

"Benar, tapi seelok-eloknya tongkat yang ada pada kamu mestilah dipertahankan, jangan dibiarkan hilang begitu sahaja. Tongkat itu memang hak kamu sebagai penghuni asal di sini," nasihat Eric De Souza bersungguh-sungguh dan turut bersimpati pada Haron yang dipertikaikan oleh suara-suara sumbang dan bongkak kerana tongkat dipakainya.

Sekembali Haron ke rumah, dia duduk merenung tongkat di tangannya. Tongkat itu sangat memberikan makna mendalam. Tongkat inilah nadi kehidupannya yang sukar dipisahkan dari dirinya. Bertahun-tahun dia menggunakan tongkat ini bagi membolehkannya bergerak dan berdiri. Tongkat harta pusaka bangsa yang tiada galang ganti atau digadaikan. Selagi belum memiliki kekuatan berdiri di atas kaki sendiri, tongkat ini tetap penyelamat yang diperlukannya bila-bila masa.

Tapi kebelakangan ini, banyak sudah suara-suara sumbang nada mengejek semakin lantang kedengaran. Mereka mendesak tongkat di tangan Haron dibuang. Tongkat itu perlu dihapus. Masanya sudah tiba untuk belajar berjalan tanpa tongkat. Hati Haron sebak. Antara mengiya dan menidakkan, dia perlahan-lahan jadi terkilan.

- NR Rahim berasal dari Pimping, Membakut, Sabah dan kini bertugas dengan pasukan keselamatan.

Berita Harian X