Selasa, 30 Ogos 2022 | 2:36pm
Ramli ketika pelancaran tulisan terbaharunya, The Malays: Pathfinders and Trailblazers sekitar Mac lalu. Gambar Ihsan ITBM
Ramli ketika pelancaran tulisan terbaharunya, The Malays: Pathfinders and Trailblazers sekitar Mac lalu. Gambar Ihsan ITBM

Naratif Barat mengenai Melayu perlu dibetulkan

KUALA LUMPUR: Sejarah dan pencapaian orang Melayu amat besar malah hingga berjaya membangunkan dua empayar besar iaitu Srivijaya dan Melaka satu ketika dahulu.

Bagaimanapun, penjajahan yang silih berganti di Kepulauan Melayu menyebabkan hampir semua pencapaian itu ditenggelamkan oleh naratif penjajah.

Hal ini menyebabkan generasi baharu kurang mengetahui pencapaian generasi silam dan berpegang kepada sejarah yang ditulis oleh Barat.

Bagi mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, amat bermakna untuk sarjana dan penyelidik tempatan menangkis naratif yang memihak kepada Barat dengan membentang perspektif anak tempatan.

"Kegemilangan orang Melayu sejak dahulu sudah dimaklumi. Malah bangsa Melayu juga melahirkan konsep globalisasi pertama kerana belayar jauh ke rantau luar dari Asia Tenggara.

"Kegemilangan dan pencapaian orang Melayu sebelum zaman penjajahan bermula amatlah cemerlang. Ia seharusnya memberi motivasi untuk generasi hari ini menjadi lebih maju, bagus dan produktif," katanya dalam Wawancara Layar Putih yang mengupas tajuk Bangsa Melayu: Keagungan Masa Lalu, Kini dan Masa Depan yang disiarkan di laman sosial Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Tegas anak kelahiran Pasir Salak ini, sejak dahulu pun ramai tahu mengenai kehebatan bangsa Melayu misalnya dengan kedudukan bahasa Melayu yang mampu menjadi lingua franca rantau ini.

Malah, kehandalan orang Melayu dalam pelayaran dan ilmu kelautan, kecekapan mengurus perdagangan antarabangsa adalah sebahagian pencapaian besar.

Katanya, sejak dahulu orang Melayu adalah bangsa yang dinamis, mempunyai keberanian dan semangat atau sikap penerokaan menjelajah dunia biarpun tidak ke seluruh pelosoknya.

Bagaimanapun tegas Ramli, banyak kehebatan sebegini tenggelam disebabkan tulisan sarjana Barat yang memandang rendah negara jajahan dan warganya. Justeru hal ini menyebabkan Melayu tersepit oleh percanggahan antara fakta keunggulan bangsa dengan naratif berat sebelah Barat.

Hal ini tegas beliau, perlu diperbetulkan kerana orang Melayu adalah wira yang menemukan Madagascar, berdagang dengan Afrika Timur dan China purba sebelum Barat mengenali mereka.

"Melayu adalah pengasas dua tamadun, Srivijaya dan Melaka, namun diperintah oleh tidak kurang daripada lima kuasa empayar, iaitu Portugal, Sepanyol, Belanda, Britain, dan Jepun.

" Srivijaya dan Melaka ialah tamadun yang lebih berilmu, dan agama Islam yang dianuti mereka melahirkan prinsip-prinsip moral, tanggungjawab, dan amanah yang tinggi," katanya.

Ramli berkata, orang Melayu umumnya bangga dengan citra bangsanya yang unik, bersinonim dengan Islam, hinggakan menyebut Melayu bererti Islam. Justeru tidak hairan apabila ada yang menyebut 'masuk Melayu' jika seseorang itu memeluk agama Islam.

Justeru, dalam menangkis tanggapan berat sebelah Barat, beliau membentangkan naratif pensejarahan bangsa Melayu menurut teori dan kaedah Ibnu Khaldun dalam naskhah terbaharunya, The Malays: Pathfinders and Trailblazers.

Ramli berkata, naskhah itu adalah rakaman pencapaian orang Melayu pada masa lalu yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Menurutnya, sebelum ini sudah ada banyak buku yang menulis mengenai Melayu tetapi kebanyakannya membincangkan seperti perihal Melayu sebagai bangsa, mengupas mana satu Melayu dan apa syarat menjadi bangsa itu.

"Namun saya mengambil perspektif lain iaitu pencapaian yang sudah kita lakukan. Adalah sangat penting bagi masyarakat Melayu untuk tahu sejarahnya sendiri," katanya.

The Malays: Pathfinders and Trailblazers adalah naskhah kelima tulisan Ramli yang bukan saja rakaman jatuh bangun empayar Melayu serantau merangkumi Srivijaya dan Melaka tetapi turut mengupas sejarah bangsa itu di bahagian lain Kepulauan Melayu merangkumi di Semenanjung dan sebahagian Indonesia, Filipina, dan orang Champa. Turut dimuatkan adalah diaspora Melayu di Sri Lanka, Afrika Selatan dan Madagascar.

Ramli bagaimanapun menjelaskan, kekaguman terhadap masa lalu tidak sehingga menenggelamkan realiti hari ini. Hal ini disebabkan, kegemilangan orang Melayu zaman lalu tidak dapat dikembalikan.

Namun generasi hari ini perlulah mengambilnya sebagai ingatan dan panduan dengan mengekalkan 'wajah' Melayu yang gemilang.

"Hari ini wujud kerana masa lalu jadi, rancanglah masa hadapan. Kegemilangan masa silam dan keupayaan mewujudkan sebuah empayar harus diambil sebagai iktibar dan jadikan asas untuk bergerak lebih gemilang," katanya

Bagaimanapun katanya, kekayaan dan kemakmuran sesebuah negara perlu diperkemas dengan moral yang baik. Aspek seperti kerukunan, kerajinan, disiplin juga kemesraan adalah ciri membina sebuah negara dan rakyat yang aman makmur serta maju jaya

"Kalau negara kaya tetapi runtuh moralnya, maka lama kelamaan seluruh masyarakat akan runtuh.

"Apa yang dimahukan kini ialah kerukunan kita, aspek dalam moral boleh membina kita sebagai satu negara yang kuat aman dan rukun," katanya.

Justeru, apa yang seharusnya dilakukan oleh masyarakat hari ini adalah menjaga kerukunan selain meningkat aspek moral dalam membina negara yang kuat, aman dan damai.

Berita Harian X