Selasa, 30 Ogos 2022 | 2:29pm

Cerpen BH Ahad: Debu-Debu Ogos

Tanpa sedar, saya sudah sampai semula ke dalam bulan ini. Bulan yang menghimpunkan tiap-tiap lapis makna sejarah dan menampung selaut asin air mata nenek moyang bangsa. Bulan nan mencahayakan semula makna bahasa dan agama yang pernah tercela sehingga kemuliaan tersarung juga pada baju anak cucu kita. Bulan yang tetap akan bercahaya meski tiada bintang tergantung di perut langitnya juga yang kekal disematkan selembar selimut jalur pada tubuhnya yang tua itu. Bulan yang tiada dua. Bulan yang tertugu dalam tiap-tiap jiwa yang mensyukuri nikmatnya sebuah kebebasan.

Saya juga tidak akan melupakan diri saya yang cukup memusuhi bulan ini angkara Cikgu Rahmah yang selalu memaksa saya memasuki pelbagai pertandingan bertemakan patriotik di sekolah. Kata-kata beliau masih berdesing di tubir telinga sehingga ke hari ini.

Jujur, beliau guru yang membuatkan saya tidak mahu ke sekolah sepanjang bulan Ogos meskipun beliau selalu berusaha meyakinkan bahawa saya seorang pelajar berbakat dan sayang seribu kali sayang jika bakat yang ada dibiarkan begitu sahaja.

"Memalukan anak bangsa. Jika beginilah sikap kamu yang diberi peluang, tetapi kamu menolak peluang itu mentah-mentah." Pedih kata-katanya yang menimpa saya. Namun kepedihan itu masih belum dapat menggesa hati saya untuk bertaut pada bulan yang dilaung-laungkan ini.

Tahukah Cikgu Rahmah, apa yang saya persembahkan hanya menjadi bahan tawa kawan-kawan di dalam kelas? Saya dipersendakan dan diajuk sehingga saya naik rimas. Terkadang, mereka mengejek saya sehingga berminggu-minggu lamanya. Saya dituduh berlagak cintakan tanah air, tetapi hakikatnya malas belajar sehingga bodoh dalam pelajaran. Saya juga dikatakan munafik kerana membacakan sajak kemerdekaan bukan daripada hati namun hanya kerana sebuah keterpaksaan.

Tahukah Cikgu Rahmah, budak-budak kelas belakang seperti kami ini langsung tidak matang dalam menilai sebaik-baik perkara mahupun seburuk-buruk perkara? Kami melihat banyak hal sebagai jenaka. Lalu, sayalah mangsanya. Saya diperkecilkan padahal kata Cikgu Rahmah menjadi deklamator ini tujuannya adalah untuk meningkatkan percaya diri, namun mengapa saya merasai yang sebaliknya? Saya rasa diperlekehkan, dijadikan objek tawa dan mereka ternanti-nantikan saya tampil membuat persembahan demi untuk mentertawakan saya semahu-mahunya.

"Zahar, cikgu yakin dengan bakat dan kebolehan yang ada pada diri kamu. Masih banyak masa yang kamu ada untuk melatih diri menjadi seorang penyajak yang baik. Insya-Allah jika ada rezeki, cikgu akan hantar kamu mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat negeri. Jangan patahkan harapan kami guru-guru di sini."

Pada masa itu, saya merasakan begitu mudah Cikgu Rahmah mengeluarkan arahan yang berbaur harapan itu. Sedang saya berdiri di hadapannya sebagai seorang budak lelaki yang kosong jiwa dalam mencintai tanah air sendiri seperti yang disuruh-suruh. Masih mentah. Masih tidak mahu menggalas apa-apa tanggungjawab dalam menyalur madah ke dalam hati jiwa-jiwa yang mendengar. Mana mungkin itu berlaku, jika jiwa saya sendiri masih lompang makna kemerdekaan. Tidakkah Cikgu Rahmah sedar tentang semua itu?

Namun, dalam kekerasan hidup saya tetap tidak mahu menjadi penderhaka kepada guru saya yang seorang itu. Meski, ada benarnya gelaran munafik yang diconteng pada wajah saya oleh rakan-rakan. Memang benarlah kata mereka, tidak guna saya berdiri tegap di hadapan audien dan menyampai selambak kata-kata kebebasan andai diri saya sendiri yang tidak pernah terlepas daripada kurungan jajahan ini. Sudah tentu, kawan-kawan mengenali tabiat saya di luar sekolah yang bergelumang dengan perlumbaan motosikal secara haram dan pelbagai kegiatan terkutuk yang lain. Malangnya bagi diri saya, itulah kebebasan yang saya idam-idamkan.

"Seni tradisi lisan dalam bahasa Melayu kita cukup indah dan segar. Marilah cikgu ajarkan. Tidak ada ruginya. Jika kamu tidak ada keberanian untuk menjadi penyajak, pemantun atau penyair, maka cubalah melakar cita-cita nusa dan bangsa di atas helaian kertas. Kamu boleh mencipta pantun, sajak, seloka, syair ataupun menulis sebuah cerita pendek ataupun cerpen tentang nuansa di bumi merdeka ini." Suara Cikgu Rahmah bergema ke setiap penjuru kelas. Bergema juga di hati saya yang sombong ini.

Mungkin itulah sebab saya memusuhi bulan ini. Bulan di mana saya perlu berpura-pura menjadi lelaki suci dan cintakan tanah air dengan sepenuh hati sedangkan saya hanyalah budak bodoh yang malas belajar, selalu gagal dalam peperiksaan, gemar tidur sewaktu cikgu mengajar di hadapan kelas, suka membohongi ibu dan ayah yang menyangka saya keluar daripada rumah untuk pergi belajar tetapi rupa-rupanya mencari 'port' untuk menghembuskan asap rokok.

Dan, Cikgu Rahmah masih meminta-minta saya menjadi penyajak sekolah tika tibanya hari kebangsaan. Tidakkah Cikgu Rahmah akan menyesal?

Lalu Ogos datang dan pergi dengan menyaksikan diri seorang saya yang masih belum mahu mengenal makna kemerdekaan sebenar. Tidak mahu lemah dalam sengsara perjuangan darah orang terdahulu. Kerana bagi saya, hidup orang muda haruslah penuh hiburan dan canda tawa. Menghayati peninggalan sejarah ratusan tahun lampau hanya membuatkan saya penat. Begitu juga dengan suara Cikgu Rahmah yang selalu berdesing di tubir telinga saya. Ingin saya jadikan suara itu debu, yang kering dan berlalu pergi dihembus angin Ogos ini.

II

Tanpa disangka-sangka saya mula menyukai bulan ini. Ogos namanya. Kesukaan itu hanyalah bermula setelah terbentuk satu titik pertemuan antara saya dengan seorang gadis di sebuah acara yang juga ditakdirkan di luar sangkaan saya. Saya masih ingat, sepasang baju songket ungu muda, selendang yang sama tona dengan bajunya dan sanggul lintang emas di atas kepalanya yang penuh tradisi dan memikat hati saya dengan sangat dalam. Lalu, saya menghampirinya dengan lebih berani dan bijaksana. Saya sudah tahu namanya. Enak! Enak didengar dan dipanggil-panggil berulang kali.

"Dari mana awak belajar bersajak, Juwita?" Saya membetulkan tanjak di atas kepala. Saya tidak mahu kalah dalam berpenampilan sebagai anak jati Melayu.

"Oh, daripada abang sulung saya. Saya belajarlah sedikit-sedikit. Apabila mendeklamasikan sajak, rasa terzahir seluruh kata-kata yang terbenam dalam hati ini. Mengalir menjadi pedoman buat semua. Harapan saya begitulah." Melihat saya membetulkan tanjak di atas kepala, dia pula membetulkan letak kain tenun songket atas kepalanya. Bertambah halus tenunan itu tika melabuh atas kepala wanita secantiknya.

"Oh, bertuahnya! Saya hanya belajar sendiri. Dalam keturunan saya, tidak ada seorang pun yang meminati acara ini. Abang dan kakak saya, mereka sangat pendiam dan pemalu. Saya pun segan orangnya. Kalau tidak kerana Cikgu Rahmah yang memaksa dan mendesak-desak saya menyertai pertandingan ini, sudah tentu kita tidak bertemu pada hari ini, bukan? Jodoh agaknya!" Gurauan saya yang terlalu berani itu memeranjatkan perempuan di sebelah saya sehingga terbuntang sedikit bola matanya.

Saya pun membuat tanda meminta maaf dan dia hanya tersenyum lalu menyambung kata-kata dalam kelunakan suara.

"Sayang…." Terluah panggilan itu daripada mulutnya. Tanjak di atas kepala saya hampir terlucut. Adakah salah panggilan yang saya dengar?

"Sayang, kalau dibiarkan…. Warisan kita ini akan ditelan zaman. Akan terkubur begitu sahaja. Anak-anak muda seperti kita inilah yang mampu memartabatkannya semula."

Saya tergamam dan sedikit berkecil hati. Rupa-rupanya 'sayang' tadi bukanlah ditujukan kepada saya. Saya menyungguhkan sahaja kerana tanpa diketahui sesiapa, saya membuat semua ini kerana terpaksa. Tidak seperti dia yang memiliki hati bak kapas yang putih ikhlas dan meresap segala makna sementara hati saya pula bak seketul batu hitam yang keras dan penuh kemunafikan.

Saya membiarkan momen perkenalan itu dilupakan dengan cepat kerana lelaki ego seperti saya tidaklah suka bermain dengan perasaan sayang dan cinta. Namun lama-kelamaan saya sudah tidak mampu berbohong lagi. Sepotong nombor telefon yang tertulis dengan pensel di sehelai nota kecil saya tenung selama mungkin. Dalam gemuruh tak berpenghujung, saya memaksa jari-jemari untuk mendail nombor telefon itu dan tidak lama kemudian, suara lunak itu bergema, "Assalamualaikum, siapa bercakap?"

Waktu itulah saya merasa debar yang begitu kuat buat kali pertamanya dalam hidup. Debar itu mengatasi rasa yang lainnya. Aneh. Rasa yang benar-benar aneh. Keanehan itu saya pikul selama berbulan-bulan lamanya, bahkan bertahun-tahun lamanya. Kami hanya berhubung melalui telefon dan media sosial kerana dia sudah pun berpindah ke Sandakan setelah ayahnya bersara sebagai pegawai tentera. Pada usia begini dan keadaan ekonomi diri yang bukanlah senang, saya merasakan Pekan dan Sandakan itu tersangatlah jauh. Tidak mungkin kami akan bertemu lagi.

Saya reda. Barangkali perasaan debar tempoh hari adalah perasaan biasa yang dialami oleh semua orang kerana kurang rapat dan sebagainya. Jadi, saya memilih untuk menipu diri sendiri dan saya juga percaya, saya yang hina ini tidaklah layak untuk perempuan sesantunnya. Saya juga reda dalam hela Ogos yang datang dan pergi. Saya masih mewakili sekolah saban tahun untuk acara sayembara deklamasi sajak sehinggalah berada di tingkatan enam. Sehinggalah tanpa sedar sudah sepuluh tahun saya menyelesaikan persekolahan.

Lucunya, hari ini saya duduk lagi di kerusi peserta gara-gara syarikat tempat saya bekerja perlu menghantar penyertaan pertandingan mendeklamasi sajak sempena bulan kemerdekaan. Wajah Cikgu Rahmah terpancar dalam pandangan saya yang sedang menanti acara bermula. Diselang-seli wajah nakal rakan-rakan sekelas dahulu yang suka mengejek. Saya tersengih sumbing. Cikgu Rahmah sudah pun pulang ke rahmatullah, namun sempat saya berjumpa dengan beliau pada suatu petang yang bening dan memohon maaf atas segala dosa-dosa saya.

Pesannya, "Jagalah tanah ini. Jangan sampai tergadai buat kali keduanya kepada penjajah laknatullah. Peliharalah dengan tanganmu, dengan lisanmu. Jika tidak mampu, jagalah dengan hati kamu meski itu ialah tanda selemah-lemah iman."

Saya menyeka air mata sebelum mendengar suatu suara lain hadir dari arah kiri.

"Apa khabar, saudara? Lama rasanya kita tidak berjumpa." Dia menghulurkan senyum indah, lalu tanpa segan saya menyambut salam itu. Kami bertukar khabar seketika.

Saya tersenyum panjang. Entah mengapa. Rasa debar yang pernah saya alami dengan sangat berat terasa mahu memuncak kembali. Saya beristighfar. Benarkah perasaan itu yang mengubah diri saya menjadi orang yang menyintai Ogos?

"Oh, ya. Ini Puspa dan Jebat, anak-anak saya. Saya selalu bawa mereka bersama jika sertai mana-mana pertandingan. Biar mereka terlatih sejak kecil. Bak kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya."

Tanjak di atas kepala saya terasa ingin terlucut ke dasar lantai, namun saya masih tegakkan kepala dan bahu saya dan memandang anak-anaknya dengan penuh sayang. Ada air mata ghaib yang mengalir lebat di pipi saya yang hanya dapat disaksikan malaikat sebagai bukti sebuah perasaan sayang dan cinta yang tidak kesampaian. Jadilah rasa itu bagai debu-debu, mengering lalu berlalu pergi dihembus angin Ogos ini.

- Siti Nurzulaikha Adam berasal dari Terengganu dan kini bertugas sebagai guru di MRSM Kuantan.

Berita Harian X