Isnin, 22 Ogos 2022 | 11:06am
Sabirin menyifatkan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memberi impak besar kepada British, Malaysia dan Singapura. GAMBAR EHSAN MIMA
Sabirin menyifatkan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memberi impak besar kepada British, Malaysia dan Singapura. GAMBAR EHSAN MIMA

Menjelang 200 tahun Perjanjian Inggeris-Belanda

TANJUNG MALIM: Sejarah merekodkan Perjanjian Inggeris-Belanda yang ditandatangani pada 1824 mengakibatkan Tanah Melayu hilang kuasa terhadap beberapa wilayah.

Malah sehingga kini pemilikan terhadap beberapa wilayah masih dipertikai dan dipersoal hingga membawa kepada rundingan, diplomasi malah pengadilan mahkamah antarabangsa.

Isu Batu Puteh (Pedra Branca), Pulau Sipadan, dan Kepulauan Natuna antara yang pernah dipertikai pemilikannya dan diadili menerusi saluran undang-undang.

Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia (MIMA), Datuk Dr Sabirin Jaafar, berkata Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 antara perjanjian yang memberikan impak besar bukan sahaja kepada British, namun ia turut memberi kesan sama ada negatif atau positif kepada Malaysia dan Singapura.

"Menjelang 200 tahun perjanjian itu pada 2024, terlihat kesan jangka panjang perancangan ekonomi British melalui perdagangan dan pelabuhan jelas menyerlah.

"Kita boleh melihat sejak sekian lamanya Pelabuhan Singapura adalah pelabuhan tersibuk di dunia. Begitu juga dengan laluan Selat Melaka," katanya ketika berkongsi pandangan menerusi 'Kesan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 kepada perdagangan maritim di sekitar Selat Melaka dan wilayah berhampirannya' dalam Persidangan dan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Sebagai pelabuhan tersibuk, ia menguruskan lebih 130,000 kapal setiap tahun dengan sektor maritim menyumbang kira-kira tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dan menyediakan 170,000 sektor pekerjaan. Menjelang tahun 2025, sektor maritim (termasuk sektor udara) diunjurkan pertambahan sebanyak 13,000 peluang pekerjaan.

Sabirin berkata, lokasi strategik Singapura yang berada di laluan Selat Melaka memang menarik perhatian British. Apatah lagi ia lengkap dengan ciri-ciri semula jadi yang sangat baik untuk dijadikan pelabuhan, mempunyai bekalan air bersih mencukupi dan bekalan kayu untuk membaiki kapal.

Justeru apabila pada 1816 Residen British di Singapura, William Farquhar, mencadangkan kepada Gabenor Pulau Prince of Wales (kini Pulau Pinang),

Kolonel John Alexander Bannerman untuk menubuhkan pelabuhan baharu menggantikan Pulau Pinang hal itu cepat dipersetujui.

Pelabuhan baharu diperlukan berikutan kedudukan Pulau Pinang yang agak jauh dari laluan Selat Melaka.

Bannerman walaupun tidak bersetuju dengan Farquhar disebabkan

kos yang tinggi tetap memanjangkan hasrat Farquhar kepada Marquess of Hastings, yang baru dipertanggungjawabkan mentadbir kepentingan British di Timur Jauh ketika itu.

Susulan itu Raffles tiba di Singapura pada 28 Januari 1819 dan bersetuju membina pelabuhan di situ kerana kedudukan strategiknya.

"Dalam usaha untuk menguasai Singapura itu beberapa perjanjian ditandatangani misalnya Perjanjian antara Temenggung Abdul Rahman dan Stamford Raffles (30 Januari 1819); Perjanjian Raffles, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman (7 Jun 1823) dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 (17 Mac 1824).

"Perjanjian Inggeris-Belanda itu dibuat kononnya untuk mengatasi masalah perhubungan antara dua kuasa yang sentiasa tegang di rantau Melayu.

"Namun, ternyata perjanjian itu memberikan dua kesan yang besar. Pertama, Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua lingkungan pengaruh. Belanda menguasai kawasan-kawasan meliputi Pulau Jawa, Sulawesi atau lebih tepatnya di semua gugusan Kepulauan Melayu di selatan Selat Singapura, manakala British menguasai Singapura, Melaka, dan semua daerah lain di Tanah Melayu," katanya.

Perjanjian itu tegas Sabirin adalah titik peralihan dalam perkembangan politik kuasa besar di Kepulauan Melayu. Melaluinya British dan Belanda berjaya meluaskan pengaruh perdagangan dan politik di kawasan masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak lain.

Namun kesan buruknya ia menyebabkan perpecahan Empayar Johor dan secara tidak langsung meruntuhkannya.

Sabirin berkata, sejarah mencatatkan bangsa Eropah menguasai lautan terbuka dunia bagi melakukan penjajahan yang memperlihat dua kuasa maritim Eropah bertembung iaitu Portugal dan Sepanyol.

Hal ini menyaksikan kedua-dua kuasa menandatangani Perjanjian Tordesillas (tahun 1494), membahagikan lautan di sebelah timur milik Portugal, manakala lautan di sebelah barat milik Sepanyol.

"British menganggap empayar mereka sebagai "empayar liberal" yang perlu

dikembangkan demi membawa kebaikan, pembangunan, dan ketamadunan sejagat.

" Semua ini perlu dilaksanakan oleh British melalui sistem perdagangan bebas walaupun perlu 'memaksa' penduduk asal. Hal ini kerana mereka percaya sistem perdagangan bebas dilihat baik dari segi moral kerana ia bersangkut paut dengan kebebasan bersuara, berfikir, dan pergerakan hidup.

"Kemudian timbul ideologi "Darwinisme Sosial" mengenai pemilihan semula jadi (natural selection) dalam mewajarkan pandangan politik, sosial atau ekonomi tertentu untuk membasmi ketidakadilan sosial," katanya.

Katanya, kuasa maritim Barat ketika itu meninggalkan kesan kepada negara jajahan. Dalam konteks Malaysia, penjajahan memperlihatkan kelicikan mereka hingga mampu memeterai beberapa perjanjian yang memberikan manfaat besar kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Berita Harian X