Isnin, 22 Ogos 2022 | 11:01am
Gallop adalah penerima Anugerah Merdeka 2022 atas sumbangan cemerlang beliau terhadap pemuliharaan dan penyelidikan manuskrip serta dokumen Melayu. - Foto fail NSTP
Gallop adalah penerima Anugerah Merdeka 2022 atas sumbangan cemerlang beliau terhadap pemuliharaan dan penyelidikan manuskrip serta dokumen Melayu. - Foto fail NSTP

Dunia Melayu di hati Gallop

KUALA LUMPUR: Nama Datuk Dr Annabel Teh Gallop bukan calang-calang dalam dunia pengkajian manuskrip Melayu.

Apatah lagi dengan tugasnya sebagai Ketua Kurator Koleksi Asia Tenggara, Perpustakaan British, Gallop adalah tulang belakang usaha pendigitalan manuskrip Melayu yang berada dalam simpanan perpustakaan itu.

Namun uniknya mengenai Gallop pada peringkat awal beliau tidak pun terdidik dalam bidang bahasa, seni atau budaya. Sebaliknya, Gallop terdidik dalam bidang Matematik dari Universiti Bristol.

Bagaimanapun usai pengajian ketika kawan-kawan lain memulakan kerjaya dalam bidang perbankan dan perakaunan, beliau tidak teruja.

Gallop sebaliknya mengajar bahasa Inggeris untuk tempoh antara tujuh hingga lapan bulan sebelum memutuskan untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam Pengajian Melayu dan bahasa Indonesia di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS), Universiti London.

"Saya selalu berasakan seperti 'berada di rumah' ketika mendalami Pengajian Melayu.

"Di SOAS saya mula mempelajari jawi bukan hanya penulisan tetapi pembacaan.

"Saya mengambil masa lama sebelum benar-benar boleh membaca Jawi dengan lancar. Namun ia berbaloi kerana Jawi adalah kunci sebenar untuk membuka khazanah masa lalu," katanya.

Tegas Gallop, beliau berpandangan kebolehan membaca dan menguasai jawi membuka pintu pelbagai bidang pengajian yang menarik. Hal ini disebabkan sumber sejarah Malaysia ditulis dalam pelbagai bahasa dan tulisan termasuklah Jawi, Arab, Cina dan Tamil selain bahasa Inggeris, Belanda serta Portugis.

Bahasa katanya adalah kemahiran yang sangat penting untuk membuka akses kepada sumber sejarah.

"Ketika mula bekerja di Perpustakaan British, dengan asas jawi yang saya belajar di SOAS saya cuba ambil satu manuskrip dan membacanya.

"Malangnya saya gagal untuk baca atau faham pun ! Saya sangat tertekan, di pejabat tidak siapa hendak dirujuk.

"Waktu itu saya kata kepada seorang sarjana sastera di Universiti Kebangsaan Singapura, Dr Liaw Yock Fang saya tak mungkin boleh membaca jawi. Dia hanya menyebut, jangan putus asa terus berlatih," katanya.

Gallop, penerima Anugerah Merdeka 2022 mengakui darah Asia Tenggara yang mengalir dalam tubuhnya juga antara faktor mendorong beliau mendalami Pengajian Melayu.

Ibunya Teh Siok Lay yang berasal dari kampung terpencil di Changlun, Kedah manakala ayahnya, Christopher Gallop berasal dari Britain namun Gallop dibesarkan di Brunei Darussalam kerana ibu bapanya ketika itu bertugas di sana.

Mengimbas kenangan awalnya menerokai manuskrip Melayu, Gallop berkata selepas menamatkan pengajian dari SOAS beliau bekerja sebagai produser di BBC World Service sebelum menyertai Perpustakaan British pada 1986.

Walaupun kini sudah bertugas selama 36 tahun di situ, Gallop tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila bercerita mengenai pameran pertama yang ditanganinya iaitu Percetakan Awal Melayu 1603-1900 yang diadakan pada 1989.

Katanya, melalui pameran itu beliau berpeluang meneroka koleksi buku bercetak Melayu terawal antaranya karya litograf oleh pencetak Muslim di Singapura pada akhir abad ke-19.

Seterusnya pada 1990, beliau kembali ke Kuala Lumpur menerusi pameran

Warisan Warkah Indah yang memfokuskan manuskrip surat-surat Melayu Diraja.

Tegas Gallop, pameran itu menjadi pendorong untuknya mengkaji mengenai cop mohor untuk pengajian peringkat doktor falsafah yang tamat pada 2002.

"Sebenarnya dari sudut lebih peribadi, melanjutkan pengajian peringkat PhD memang mencabar kerana waktu itu anak masih kecil. Namun semua cabaran berkenaan berubah menjadi manis apabila kajian selesai," katanya.

Sesuai dengan peredaran masa, kerjaya beliau di Perpustakaan British turut berkembang apabila sejak 10 tahun lalu terbabit dengan proses pendigitalan buku dan manuskrip Melayu yang ada dalam simpanan perpustakaan.

Usaha ini membolehkan semua naskhah digital dapat dicapai secara mudah dan percuma.

"Usaha ini sebenarnya ditaja oleh pasangan Judith dan William Bollinger yang membolehkan 120 manuskrip dalam simpanan British Library diakses dalam talian. Jadi tidak perlu lagi datang ke London untuk membaca manuskrip Hikayat Hang Tuah," katanya.

Tegas Gallop ketika ini penyelidikannya tertumpu kepada seni al-Quran di Asia Tenggara. Ia tertumpu kepada aspek material, hiasan selain tulisan tangan dan bahan yang digunakan.

Kajian itu membawanya menjelajah hampir seluruh Asia Tenggara antaranya Aceh, Jawa juga Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Namun sepanjang melakukan kajian itu, saya mendapati manuskrip al-Quran terbaik di seluruh Asia Tenggara sebenarnya dihasilkan di Terengganu.

"Manuskrip al-Quran ini sangat berharga sehinggakan ia ditempah oleh kerabat diraja di seluruh Nusantara dan sehingga hari ini anda masih boleh melihat al-Quran Terengganu dalam koleksi diraja di Palembang, Jawa, Pontianak dan Bima,"katanya.

Hal ini kata Gallop sangat membanggakan apatah lagi koleksi terbesar manuskrip al-Quran Terengganu ini masih disimpan di Malaysia. Ia sangat unik dan tidak sama dengan koleksi yang ada dalam simpanan di Eropah dan Amerika.

Menyentuh mengenai Anugerah Merdeka yang dimenanginya, Gallop berkata ia sesuatu yang sangat bermakna dan indah apabila hasil usahanya mendapat perhatian pelbagai pihak.

"Pastinya kerjaya saya sebagai Ketua Kurator Koleksi Asia Tenggara di Perpustakaan British bukan sekadar mencari sejarah untuk dipamerkan.

"Sebaliknya, saya gembira mendapat tahu hasil penyelidikan ini penting untuk Malaysia," katanya.

Untuk rekod Gallop adalah penerima Anugerah Merdeka 2022 atas sumbangan cemerlang beliau terhadap pemuliharaan dan penyelidikan manuskrip serta dokumen Melayu.

"Apabila melihat dunia Melayu, sangat penting untuk tahu sempadan politik seperti hari ini adalah dunia baharu yang dipisah-pisahkan awalnya oleh penjajahan. Jika anda mengkaji dunia Melayu hal itu perlu difahami," katanya.

Berita Harian X