Khamis, 28 Julai 2022 | 10:33am
Polemik yang menyelubungi pemilihan SN didakwa menyerlahkan banyak dasar dan kegiatan DBP tidak sensitif terhadap perkembangan sastera semasa. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Polemik yang menyelubungi pemilihan SN didakwa menyerlahkan banyak dasar dan kegiatan DBP tidak sensitif terhadap perkembangan sastera semasa. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Polemik Sasterawan Negara, benarkah DBP tidak sensitif ?

KUALA LUMPUR: Kritikan terhadap kaedah pemilihan Sasterawan Negara (SN) bukanlah bermaksud untuk menidakkan kemampuan penerima. Ia sebaliknya bagi memantapkan kaedah pemilihan sedia ada supaya mereka yang benar-benar layak tidak tercicir.

Hal ini berdasarkan ramai pengarang yang unggul dari segi mutu karyanya tidak pun dinobatkan sebagai SN atau dicalonkan untuk menerima pengiktirafan lain seperti Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write).

Sedangkan seorang penerima SN seharusnya dipilih menerusi kekuatan karya yang tertinggi, konsisten, serta ikonik dalam perkembangan sastera negara.

Justeru bagi pengarang Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Fahd Razy), dalam pemilihan SN kualiti karya seharusnya menjadi keutamaan sementara pembabitan dalam sastera dan juga masyarakat adalah penting kerana itu adalah perkara yang membezakan seorang SN dan juga aktivis sastera.

"Dalam hal ini SN perlu dipilih secara kombinasi. Maksudnya, kertas pencalonan perlu disediakan sendiri sekretariat dilantik iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka serta perlu dibuat oleh pihak ketiga.

"Kaedah ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Penyediaan sendiri kertas pencalonan oleh sekretariat dapat memastikan calon yang berwibawa dapat tersenarai walaupun tidak bergiat aktif melalui persatuan.

"Sementara pencalonan pihak ketiga dapat mempercepatkan proses pengumpulan maklumat selain menyediakan calon tambahan yang mungkin tidak disenaraikan oleh sekretariat," katanya.

Kaedah sebegini tegas Fahd Razy dapat mengurangkan keciciran calon yang sepatutnya layak.

Namun apa yang berlaku pada ketika ini, semua pencalonan datang dari pihak ketiga. Hal ini yang dibangkitkan oleh pengarang, SM Zakir dalam BH 10 Julai lalu yang menanyakan di manakah wibawa DBP sebagai sekretariat Anugerah Sastera Negara dalam hal itu.

Tegas Fahd Razy, SN adalah anugerah yang besar, relevan dan terhormat kerana ia adalah penghargaan tertinggi terhadap ketekalan, konsistensi, dan khazanah karya yang diberikan oleh seseorang tokoh terhadap negara.

Apatah lagi, tidak banyak penghargaan diberikan terhadap golongan sasterawan di negara ini, justeru ia amat penting untuk diraikan. Malah, ia juga sebenarnya tanda aras dan rujukan masyarakat mengenai keberadaan sastera di Malaysia.

Fahd Razy berkata, polemik yang melingkari ASN dan SN hari ini memperlihatkan banyak dasar dan kegiatan DBP tidak sensitif terhadap perkembangan sastera dan perbukuan semasa.

"Mungkin sebagai badan yang diberi dana oleh kerajaan, tidak ada tuntutan yang mendesak untuk DBP menjadi lebih fleksibel dan dinamik dalam menjadikan sastera, kegiatan, dan produknya lebih berkesan dan mesra khalayak.

"Jadi kita terus dihadapkan dengan isu yang sama tetapi tidak ada pun banyak perubahan dibuat seolah-olah kritikan yang dilontarkan dalam pemilihan ASN yang lalu tidak dipedulikan," katanya.

Sedangkan kata beliau, pemilihan SN seharusnya dilaksanakan sebaik mungkin. Hal ini disebabkan SN adalah institusi yang sangat penting dalam perkembangan sastera. Keciciran calon yang kuat semata-mata kerana tiada pencalonan atau kertas pencalonan yang tidak lengkap adalah alasan yang terlalu dangkal dan sambil lewa.

"Dalam masa yang sama, ASN bukannya anugerah belakang tabir yang perlu dibuat secara gopoh, sebaliknya ia perlu dihebah dan diperkatakan secara meluas.

"Sekalipun yang penerima ASN adalah individu, impaknya biarlah dirasai oleh khalayak sastera dan masyarakat awam," katanya.

Sementara itu bagi pengarang dan aktivis perbukuan, Hafiz Latiff berkata merit terbesar penilaian SN harus dibuat berdasarkan karya-karyanya. Nilai bagaimana kekuatan karyanya dan bagaimana ia memberi impak ke dalam masyarakat sekurang-kurangnya sekitar 10 tahun terkini.

Justeru tegas Hafiz, hal aktif atau tidak individu itu dalam kegiatan sastera bolehlah dianggap markah tambahan.

"Jika karyanya pernah memberi impak pada tahun 80-an, tetapi sudah tidak relevan lagi pada tahun 2010 ke atas, dia tetap tidak layak diangkat menjadi SN sebab impak karyanya tidak merentas zaman dan tidak mewakili semangat zaman semasa.

"Sebagai contoh, ambil karya A Samad Said seperti Salina dan Hujan Pagi. Setelah puluhan tahun ditulis, ia masih dibicarakan. Itulah kualiti karya seorang SN yang kita mahukan," katanya.

Tegas Hafiz, proses penilaian itu memerlukan panel juri yang betul-betul

kritis dan teliti terhadap perkembangan kesusasteraan negara dari zaman dahulu hingga terkini.

Justeru, jika panel penilai itu sendiri tidak membaca karya-karya penulis 10 tahun kebelakangan dan sekadar bergantung kepada karya lama sahaja, bererti dia tidak layak menjadi panel penilai.

Polemik yang berlaku mengenai kaedah pemilihan SN ketika ini katanya bukan saja memperlihatkan hubungan tidak mesra antara DBP dengan penggiat sastera namun sebenarnya ia adalah hal yang tidak dipedulikan umum.

"Perbincangannya pun masih berlingkar dalam kalangan elitis sastera sahaja. Malah, entah berapa ramai yang tahu kita sudah pun mempunyai 15 orang SN sehingga kini.

"Standard DBP dalam menguruskan ASN ini harus berprestij seperti dahulu. Sekarang ASN sudah dilihat tidak berprestij lagi. Pengumuman ASN pun dibuat secara mudah dan asal ada.

"Sepatutnya pengumuman ASN harus dapat mencipta fenomena dan perbincangan dalam khalayak umum, apatah lagi dalam kalangan penggiat industri perbukuan dan bukan kelompok 'orang sastera' sahaja.

Hal itu bagaimanapun tidak berlaku dan memperlihatkan pendekatan DBP gagal untuk menjadikan ASN sebagai anugerah yang berprestij.

"Bukan sekadar kita tidak tahu siapa panel penilai, bahkan laporan penilaian pun kita tidak tahu atau dapat baca di mana-mana. Jika setiap kali penganugerahan dihambat kontroversi, bagaimana kita dapat menghormati status SN ini?,"

Berita Harian X