Isnin, 27 Jun 2022 | 4:50pm
Rahman Shaari anak kelahiran Perlis yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-15 minggu lalu serba sederhana membina prestijnya sebagai guru puisi dan sarjana sastera.
Rahman Shaari anak kelahiran Perlis yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-15 minggu lalu serba sederhana membina prestijnya sebagai guru puisi dan sarjana sastera.

Apa kaedah memilih sasterawan negara

KUALA LUMPUR: Kualiti karya di tangan pengkritik, sarjana atau penilai hadiah sastera tentulah berbeza dengan pembaca. Sewaktu pengkritik atau penilai hadiah sastera mencari-cari unsur baik yang memandaikan bangsa atau elemen membina sebuah peradaban dalam sesebuah karya, seorang pembaca hanya mahu mencari nikmat sendiri.

Nikmat itu bagi pembaca berdasarkan acuannya sendiri ia tidak ada skema tertentu seperti kita memilih Sasterawan Negara atau penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write). Jadi, nilai-nilai yang dicari dalam sebuah karya tentu saja berbeza antara pengkritik, penilai dan pembaca. Mungkin bagi pembaca cukup sebuah karya mudah yang membuatnya tersenyum sepanjang hari.

Justeru sewaktu Anugerah Sastera Negara (ASN) kali ke-15 mengumumkan penerima terbaharunya, memang agak biasa mendengar soalan dan keluhan seperti, siapa itu? Apa karyanya? Kenapa dia? Kenapa bukan yang ini atau yang itu ? Hal ini disebabkan ukuran umum untuk menerima anugerah adalah tokoh itu popular dan dikenali ramai. Namun, dari satu segi populariti tanpa sebarang kualiti tentu saja tidak bermakna. Malah dalam masyarakat kita yang tidak ramai suka membaca, hal-hal ketokohan dan kehebatan seseorang pengarang itu bukanlah milik umum.

Dalam konteks penerima ASN terbaharu yang membawa gelaran Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari mungkin kurang popular dalam kalangan pembaca. Sukar untuk memetik karya-karyanya secara spontan disebabkan masyarakat kita tidak mengenalinya sebagai pemuisi berbanding nama besar yang lain misalnya A Latiff Mohidin atau T Alias Taib dan sebagainya.

Namun, hal itu tidak berarti beliau tidak ada karya yang popular atau baik. Sebaliknya, beliau dikenali sebagai guru dan pengkritik puisi yang unggul di Malaysia. Beliau mempunyai ratusan anak didik dan jika kita sebut namanya, sebahagian mereka adalah nama-nama yang unggul dalam bidang masing-masing.

Rahman yang lahir pada 1949 berasal dari Perlis dan penerima SEA Write 2007. Beliau dikenali sebagai sarjana yang pernah mencurah baktinya di Universiti Malaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Justeru, hasil penulisan beliau dalam bidang akademik tentu saja lebih banyak berbanding karya kreatif. Selain buku-buku berkaitan pengajaran dan pembelajaran mengenai sastera secara umum, beliau banyak menghasilkan naskhah berkaitan puisi merangkumi teknik dan kupasan mengenainya.

Rahman juga kerap menjadi juri pelbagai anugerah dan hadiah sastera selain beliau diketahui menulis cerpen dan novel selain puisi yang menjadi darah dagingnya. SN Prof Emeritus Muhammad Salleh dalam ulasannya mengenai karya Rahman dalam The Puppeteer's Wayang: A Selection of Modern Malay Poetry terbitan Brighton: In Print Publishing Ltd pada 1992 menyebut, " Rahman ialah seorang penyair idea – seorang yang mendapati bahawa dunia luar membantunya memperoleh pandangan dan idea baharu yang timbul daripada interaksi peribadi dengan dunia ini. Dalam sajak 'Perbandingan', beliau memerhatikan ironi tindakan juga pemikiran manusia, di mana kita sering dikalahkan oleh hujah sendiri dan menjadi penerima serta penyumbang dalam masa sama. Beliau membuat kesimpulan bahawa kita mesti mengakui kekalahan apabila dikalahkan dan menerima kemenangan apabila ditakdirkan demikian".

Begitulah Rahman, Sasterawan Negara ke-15 yang serba sederhana membina prestijnya sebagai guru puisi dan sarjana hinggakan jika kita mengungkap mengenai sejarah puisi di Malaysia, janggal rasanya untuk mengenepikan nama beliau.

Bagaimanapun dari satu segi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlulah membuka mata seluas-luasnya. Pertama sekali, kenal pasti juri anda. Pastikan ada campuran lama dan baharu. Seeloknya lantiklah mereka yang masih mengkaji serta mengikuti perkembangan semasa dan bukan kelompok sudah lama bersara.

Apa guna melantik juri jika pengetahuan mereka terhad kepada perkembangan sastera tahun 80-an? Sehinggakan pengarang besar masa kini seperti Zaen Kasturi yang sudah pun melepasi 50 tahun masih masuk kategori penulis muda?

Malah jika benar khabar angin yang kedengaran, terdapat tiga nama yang berada dalam senarai akhir SN namun jika terpilih hanya akan menimbulkan kontroversi, menunjukkan betapa tidak kuatnya mereka sebagai pengarang.

DBP kerap kali ditegur dalam soal pemilihan SN. Namun kerap kali juga DBP tidak ambil peduli mungkin disebabkan mereka memilih atas dasar calon akhir sahaja, walau siapa pun itu. Justeru nama-nama yang tersingkir pada peringkat saringan tidak langsung dipandang walaupun antaranya termasuklah nama besar seperti Zaen dan Mana Sikana.

Syarat pemilihan lebih mesra ko-kurikulum misalnya pembabitan dalam persatuan penulis, membimbing bakat muda manakala hal-hal berkaitan kualiti karya itu sendiri kurang diberi perhatian. Penerima SN atau SEA Write selalunya penulis yang aktif berpersatuan menyebabkan mereka yang bergerak sendiri walaupun karyanya kuat dan punyai merit sayembara tidak ada peluang dinobatkan.

DBP juga kurang mesra masyarakat dalam soal memartabatkan ASN. Bukankah molek umumkan saja nama mereka yang berada dalam saringan awal seterusnya lima terakhir sebelum dua terakhir seperti yang dibuat oleh sekretariat sastera luar negara.

Hal ini boleh dijadikan kaedah pemasaran. Apabila nama mereka diumumkan keluarkan juga karya mereka dan inilah masa terbaik untuk menjual karya. Lihat bagaimana syarikat penerbitan swasta seperti Buku Fixi, Iman Publication atau The Patriot mengungguli pemasaran mereka dan meraih ratusan ribu ringgit ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru lalu. DBP di mana dalam hal ini?

Berita Harian X