Selasa, 15 March 2022 | 4:21pm
Penyair Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari diumumkan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2021, hari ini. GAMBAR EHSAN DBP
Penyair Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari diumumkan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2021, hari ini. GAMBAR EHSAN DBP

Rosli K Matari diumum penerima SEA Write 2021

KUALA LUMPUR: Penyair mapan tanah air, Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari diumumkan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2021, hari ini.

Penyair kelahiran Kelantan berusia 61 tahun itu adalah antara penyair terpenting angkatan 80-an dan menjadi penerima ke-43 SEA Write Award dari Malaysia.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran pada Majlis Sidang Media Pengumuman Rasmi Penerima SEA Write Award (Malaysia), berkata panel penilai memilih penyair kelahiran Kelantan itu sebagai penerima SEA Write Award 2021 dan namanya dikemukakan kepada Sekretariat Tetap di Bangkok pada 17 Disember yang lalu.

"SEA Write Award diwujudkan sejak tahun 1979 oleh kerajaan Thailand bagi mengiktiraf tokoh penulis dari negara rantau ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

"Anugerah ini mempunyai kedudukan penting dan dihormati dalam dunia penulisan di rantau ASEAN.

"Ini kerana ia dapat membina sinergi dan jalinan kerjasama yang erat ke arah memperkasakan sastera dan sasterawan di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Tambahnya, sejak anugerah ini diwujudkan, seramai 40 orang tokoh penulis di Malaysia sudah menerima pengiktirafan ini.

Rosli K Matari muncul dengan kumpulan puisi pertamanya, Nun Bulan pada 2011 dan karya itu yang dihasilkan selepas 33 tahun berada dalam ranah sastera diakui pengkritik sebagai himpunan puisi yang mantap merentas dekad.

Karyanya yang lain termasuk Anak Dusun yang diterbitkan pada 2012; Tidakkah Kita Berada di Sana (2013), Hanya Langit Meratap (2014) serta Matahari Itu Jauh (2015) yang memenangi tempat kedua Sayembara Penulisan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-PENA-BH 2.

Turut diumumkan secara rasmi ialah pemenang SEA Write 2019 dan 2020, Dr Shamsudin Othman dan Aminah Mokhtar.

Berita Harian X