Ahad, 6 March 2022 | 10:11am
Nazri (kanan) dan anaknya, Husna Syafiqa memegang replika cek selepas memenangi lapan hadiah termasuk dua anugerah utama pada majlis Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI V) malam tadi. - NSTP/Baharom Bakar
Nazri (kanan) dan anaknya, Husna Syafiqa memegang replika cek selepas memenangi lapan hadiah termasuk dua anugerah utama pada majlis Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI V) malam tadi. - NSTP/Baharom Bakar

Guru gondol 8 hadiah sastera Terengganu

KUALA NERUS: Guru Sekolah Kebangsaan Chukai menggondol lapan hadiah termasuk dua anugerah utama pada Hadiah Sastera Darul Iman kali kelima (HASDI V) malam tadi.

Nazri Hussein atau nama penanya Husna Nazri, 55, memenangi dua anugerah utama masing-masing dalam kategori hadiah karya sastera kumpulan puisi kanak-kanak serta kategori novel remaja dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,800.

Puisi remaja bertajuk, 'Puisi Panjang Daripada Anakanda di Baris Hadapan' tulisan beliau disiarkan Berita Harian, pada 5 April 2020.

Nazri yang ditemani anaknya, Husna Syafiqa, 25, turut memenangi hadiah utama kategori novel remaja bertajuk 'Si Penenun Cinta' dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil.

Penyelenggaraan HASDI V itu dikendalikan Persatuan Sasterawan negeri (PELITA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim.

Nazri yang hanya mengambil masa antara tiga dan empat jam untuk menyiapkan puisi remaja turut memenangi enam hadiah penghargaan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,600.

Nazri ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata beliau akan terus berkarya dan menghasilkan puisi serta cerpen terbaik.

Mengulas tempoh untuk menyiapkan cerpen, Nazri mengakui hanya mengambil masa antara tiga dan empat hari.

"Biasanya saya menulis cerpen atau puisi sementara menunggu masuknya waktu untuk menunaikan solat subuh," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Abdul Rashid Ngah, 85, dinobatkan pemenang pertama Hadiah Bitara Sastera dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

Mat Rawi Mamat, 73, atau lebih dikenali dengan nama penanya Nawawee Mohammad pula dianugerahkan Sastera Harapan Negeri Terengganu dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil.

Berita Harian X