X
Isnin, 24 Januari 2022 | 1:18pm
KPM tidak akan memulangkan bayaran sewa reruai kepada pempamer Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berdasarkan syarat yang termaktub dalam borang tempahan. GAMBAR ARKIB NSTP
KPM tidak akan memulangkan bayaran sewa reruai kepada pempamer Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berdasarkan syarat yang termaktub dalam borang tempahan. GAMBAR ARKIB NSTP

Pesta buku tangguh, bayaran gerai tak dipulangkan

KUALA LUMPUR: Tiada pemulangan bayaran sewa reruai kepada pempamer akan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)

Unit Komunikasi Korporat KPM dalam kenyataannya kepada BH, berkata keputusan itu dilaksanakan berdasarkan terma dan syarat am yang termaktub melalui Borang Tempahan PBAKL.

"Penganjuran PBAKL yang tertangguh sejak dua tahun lalu adalah di luar kawalan KPM berikutan penularan wabak COVID-19 di seluruh negara.

"Penganjur akur dengan pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Memandangkan PBAKL tetap diteruskan, tiada pemulangan bayaran reruai akan dilakukan kepada pempamer seperti termaktub dalam Terma dan Syarat Am melalui Borang Tempahan PBAKL pada perenggan ketujuh dan kelapan di halaman tujuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut peruntukan khas pada perenggan ketujuh yang termaktub dalam terma dan syarat am itu, penganjur berhak meminda dan membuat perubahan apabila difikirkan perlu.

Perenggan kelapan pula menyatakan penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan pampasan sekiranya acara dibatalkan disebabkan banjir, kebakaran, kegagalan bekalan kuasa, rusuhan atau gangguan yang di luar kawalan penganjur.

Sebelum ini BH menyiarkan gesaan beberapa pempamer PBAKL supaya KPM sebagai penganjur acara buku terbesar negara itu, memberi pilihan kepada pempamer untuk menarik diri dengan sewa reruai dipulangkan.

Ia susulan PBAKL beberapa kali tertangguh sejak dua tahun lalu, manakala pengelolaan yang dijadualkan berlangsung 7 hingga 21 Februari ini, sekali lagi ditunda ke 3 hingga 12 Jun.

Pempamer menyifatkan tindakan KPM tidak membenarkan mereka menarik diri selepas PBAKL tertangguh berkali-kali adalah tidak adil terutamanya bagi pempamer yang terpaksa 'gulung tikar' selepas terkesan dengan pandemik.

Mengulas lanjut, KPM berkata penangguhan terbaru PBAKL daripada Februari kepada Jun itu, berlaku disebabkan lokasi acara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Penggalak.

"KPM akur dengan pindaan tarikh PBAKL berikutan ia akan digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai PPV Mega bermula 15 Januari hingga 15 Mac 2022," katanya.

Berita Harian X