Rabu, 19 Januari 2022 | 1:12pm
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang dijadualkan berlangsung mulai 7 Februari, akan dianjak kepada 3 hingga 12 Jun ini. GAMBAR ARKIB NSTP
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang dijadualkan berlangsung mulai 7 Februari, akan dianjak kepada 3 hingga 12 Jun ini. GAMBAR ARKIB NSTP

Pempamer pesta buku desak KPM pulangkan duit

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) digesa memberi pilihan kepada pempamer untuk menarik diri daripada pameran itu dengan sewa reruai dipulangkan.

Ia susulan pesta buku terbesar negara itu tertangguh sejak dua tahun lalu, manakala pengelolaan yang dijadualkan berlangsung 7 hingga 21 Februari depan ditunda lagi ke 3 hingga 12 Jun.

Pempamer, Ishak Hamzah, menyifatkan tindakan KPM tidak membenarkan mereka menarik diri selepas pesta buku terbesar negara itu tertangguh berkali-kali adalah sesuatu yang tidak adil.

Ishak berkata, beliau sudah menulis kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sebagai agensi di bawah KPM dan juga urusetia PBAKL berhubung hal itu penghujung tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, MBKM memaklumkan, tiada sebarang pemulangan bayaran akan dilakukan kerana penerbit buku atau pempamer tertakluk kepada syarat apabila membuat tempahan sewa reruai berkenaan.

"KPM sudah 'memegang' duit pempamer lebih dua tahun dan kami mohon mereka untuk memahami bagaimana situasi pempamer dan penerbit sudah sangat berbeza sejak dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.

"Industri buku terjejas. Banyak penerbitan terpaksa gulung tikar serta tidak lagi menerbitkan buku malah ada yang mula fokus untuk melakukan benda lain.

"Tiada halangan jika PBAKL ingin diadakan Jun ini tetapi secara prinsipnya, pempamer mesti diberi pilihan sama ada ingin mengambil bahagian atau menarik diri dan dipulangkan bayaran sewa reruai 100 peratus," katanya kepada BH.

PBAKL 2020 yang sepatutnya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mac hingga 5 April pada tahun yang sama, terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Penundaan penganjuran terbaharu dari Februari ke Jun pula dibuat bagi memberi laluan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggunakan WTCKL sebagai Pusat Pemberian Vaksin Mega bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Penggalak bermula 15 Januari hingga pertengahan Mac ini.

Ishak berkata, pada penghujung 2020, penganjur menawarkan pemulangan 50 peratus bayaran tempahan sewa reruai kepada pempamer selepas dua kali ia ditunda dengan janji acara itu akan diadakan pada 2021.

Bagaimanapun selepas PBAKL ditunda lagi kepada Jun tahun ini, ada kalangan pempamer enggan menunggu lagi dan mahu KPM sebagai penganjur memberi mereka pilihan menarik diri daripada acara itu.

Sementara itu, pengasas rumah penerbitan Kasi Terbit, Rohaniah Noor, berkata beliau antara pempamer yang bersetuju menerima pemulangan 50 peratus bayaran sewa bagi tempahan tiga reruai yang dikongsi dengan penerbitan lain.

Bagaimanapun katanya, pada Disember tahun lalu, pempamer diminta membuat pengesahan jumlah reruai yang akan ditempah berikutan acara itu dikatakan akan diadakan pada Februari tahun ini.

"Tetapi selepas bayaran penuh sewa reruai diselesaikan semula, baru minggu lalu kami tahu yang rupanya PBAKL sekali lagi ditunda.

"Jadi saya mahu penganjur memulangkan semula bayaran bagi sewa tiga reruai yang sudah saya selesaikan hujung tahun lalu.

"Lagipun tiada jaminan PBAKL benar-benar akan diadakan pada Jun ini," katanya yang menyertai pesta buku itu sejak 2016 lagi.

Cubaan BH mendapatkan maklum balas daripada KPM masih belum mendapat balasan.

Berita Harian X