Rabu, 12 Januari 2022 | 12:44pm

Surat terbuka kepada persona nan grata

Kalau tuan pandai menyukat,

Sukatkan saya nila yang biru;

Kalau tuan pandai menyurat,

Suratkan yang asli, usah meniru!

AKU tahu engkau meniru karyaku.

Setiap pengarang itu menyimpan dan membela ilham dalam dirinya seperti seorang ibu hamil yang membelai kandungannya. Sejak saat ilham itu Tuhan cetuskan daripada sesuatu yang mujarad, lalu disandarkan kepada sesuatu perkara berbentuk dengan pelbagai syarat dan isyarat.

Pancainderaku menyambut kiriman Tuhan dan aku pun menadahnya dengan dua tapak tangan terbuka yang kurapatkan. Ilham itu ialah setitik air dalam tapak tangan itu. Kurungkupkan kedua-dua tapak tanganku agar ilham yang setitis itu tidak mengalir ke tempat lain. Cepat-cepat pula kupindahkan ke dalam batil kecil supaya titisan ilham ini dapat bercambah menjadi sesuatu yang bermakna. Pada saat itu, duniaku menjadi amat benderang dengan cahaya ilham yang penuh gemilang.

Aku harus ceritakan perkara ini kerana sebagai peniru, engkau tidak mungkin merasainya.

Adakalanya, titis-titis ilham itu menjadi kupu-kupu yang sayapnya tidak berwarna. Ia berterbangan di sekeliling kepala, sesekali ia banyak dan membentuk tiara dan adakalanya menjadi mahkota di atas jemala. Lalu, aku warnakan setiap satu sayapnya itu dengan warna-warna yang terang lagi membahagiakan kerana ini ilhamku tentang kisah yang ceria. Adakalanya, aku gabungkan warna yang terang lalu kubancuh dan kugabung menjadi warna yang kusam kerana realiti itu bukan selalunya indah. Kalau aku ingin biarkan kupu-kupu ini bermain di dunia fantasi, memang sengaja aku oleskan warna-warna pelangi pada setiap jalur sayapnya. Itulah kelebihan kami sebagai pengarang yang tahu memilih warna dan setiap satunya punya asal usul dan kisah.

Pengarang itu namanya pengarang apabila karyanya dibaca orang. Perasaan apabila karya kita dibaca hatta oleh seorang pembaca pun, sudah memberi suatu kepuasan yang tidak dapat kugambarkan. Benarlah, pengarang itu bukan mencari nama, mencari pulangan, jauh sekali sanjungan. Pengarang menulis sesuatu yang resah di hatinya dan ekspresi itulah yang datang sendiri daripada jiwanya menggelintar. Pengarang kreatif seperti aku dan kawan-kawan, bukanlah sekadar menulis terus terang, perasaan kering kontang atau sekadar menuding kepada perkara yang meresahkan.

Kami bukan pelapor, kami pengarang. Setiap gerak rasa dan desah fikir tidak ditulis sekadar untuk dilepaskan tanpa arah. Mana yang langsung kata-katanya, kami balut dahulu supaya seimbang antara yang tersirat dengan yang tersurat. Ada simbol dan makna, ada falsafah dan cerita. Kami tahu mana yang harus dibalut dan diselindungkan, mana yang terang tak perlu lagi disuluh, yang tenggelam kita timbulkan.

Lalu, seperti orang mengarang bunga, walaupun ada seribu kuntum bunga di laman, kami pilih, getis dan saring bunga-bunga pilihan mengikut keperluan jambangan. Karangan bunga untuk melafazkan cinta haruslah aku susun dengan bunga-bunga mawar merah yang dicampurkan dengan sedikit mawar merah jambu, lengkap pula dengan daun yang menjadi latar serta beberapa tangkai baby's breath yang halus putih bagi menaikkan seri jambangan ini. Karangan bunga untuk perpisahan atau kematian tentulah lebih banyak warna putih kerana setelah kita pergi yang dinilai hanyalah jiwa dan hasrat yang bersih.

Susunan dan ekspresi begini yang engkau tidak boleh tiru. Kau boleh pilih dan guna bunga yang sama, malah dipetik dari taman yang sama. Cuma, susunan dan karangan itu perlulah mengikut kreativiti sendiri. Bukannya kau ambil bunga karanganku lalu kau buang baby's breath terus kau kata, ini bunga karanganmu.

Itulah peniruan!

Apabila kau buat begini, selama-lamanya kau akan dikenali sebagai 'penulis tiruan'. Tiada siapa yang akan suka kepada benda tiruan. Barang tiruan memang mendapat cemuhan dari zaman sebelum ada media sosial sampailah hal ini dengan mudahnya dapat ditularkan dengan satu jari. Lalu, engkau mahu bersembunyi di mana lagi?

Spesis seperti engkau ini memang sudah banyak kali aku terserempak. Kalau aku jumpa dalam kalangan yang muda-muda, memang aku sudah bunuh cita-citanya awal-awal. Dunia tidak perlukan lebih ramai penulis tiruan. Kita perlukan lebih ramai pemikir yang mampu menulis dengan jitu, jimat dan jelas.

Karya yang jitu, ertinya kau telah memilih kata-kata yang tepat bagi menyampaikan maksud yang telah kauhamilkan. Tidak akan sampai sebarang maksud yang dihajati, jika pilihan katamu tidak jitu. Lain yang difikir, lain yang ditulis, maka terpesonglah makna yang ditangkap pembaca. Kerja pengarang mestilah bijak memilih kata-kata, bukan setakat menghafal kamus, menggunakan kata-kata yang jarang didengar orang untuk memukau entah siapa. Penulis yang baik itu menggunakan kata-kata yang tepat seperti anak-anak panah yang menenang sasaran.

Dan, seperti anak-anak panah yang terhad bilangannya, dia mestilah pandai berjimat dalam kata-katanya. Kalau sekadar melepas anak-anak panah tanpa sampai kepada sasaran, bukankah itu suatu pembaziran sedangkan ada ramai yang tidak mempunyai kata-kata untuk dirangkaikan apatah lagi untuk dilontarkan. Mereka ini terkepung dalam penjara perasaan yang menekan jiwa dan tidak mampu pula keluar daripada jeriji itu tanpa kata-kata. Lalu, engkau tidak harus kufur nikmat dengan kelebihan kata-kata ini.

Pengarang yang baik, bukan sekadar memilih kata-kata yang jitu dan tahu menjimatkan kata-katanya. Dia juga mempunyai pemikiran yang jernih ibarat kolam jernih lagi tenang, dapat kau lihat dasarnya, ikan-ikan kecil yang berenang-renang di dalamnya. Air menitis juga tidak mampu mengeruhkan dasarnya yang matang. Dari kolam mata air yang jernih inilah datangnya pemikiran yang jelas dan ungkapan yang bernas. Barulah setiap karya yang terhasil itu bukan sekadar mengulang hal yang sama berkali-kali menggunakan kaedah dan cara yang sama. Satu karya yang baik hasil tangan penulis yang jernih pemikirannya tentu sahaja malar segar sampai ke akhir waktu!

Aku tahu, itulah yang kaudambakan.

Di situlah kesilapanmu, wahai sang peniru! Mengarang itu derita yang nikmat. Kau hanya mahu nikmatnya, tanpa mahu merasai deritanya.

Nikmat ketika karyamu dibaca.

Nikmat mendapat pulangan.

Nikmat ketika namamu dipetik.

Nikmat kemasyhuran.

Oleh sebab kau mahukan kemasyhuran, lalu itulah yang kau dapat kini: kemasyhuran di jalan yang gelap. Sudah menjadi seperti hantu raya yang boleh menyerupai tetapi engkau tetap tidak ada bentuk dan rupa yang boleh diperakukan. Hantu raya memang terkenal tetapi kau perlu ingat, hantu belaan begini harus diberi makan jika tidak, ia akan memakan tuan.

Tidak cukup dengan sepinggan hidangan, kau harus memberinya makan dengan pelbagai hidangan yang engkau sendiri tidak mampu sediakan. Itulah harga jika menyimpan belaan. Nikmat yang kau cari itu cuma seketika, menjadi penulis jadi-jadian tetapi selama-lamanya kau tidak akan dapat duduk di dalam cahaya keberkatan kerana membela hantu raya ertinya engkau mestilah duduk dalam kegelapan. Sekali hantu rayamu terlepas, sampai bila-bila pun tiada siapa yang akan mempercayaimu lagi.

Ya, kau tetap mendapat kemasyhuran.

Aku tahu engkau meniru karyaku kerana aku kenal hantu raya walau apa pun bentuk yang ingin diserupainya. Ini jalan kelam yang kaupilih demi kemasyhuran sedangkan bagi pengarang asli bukan itu yang dikejarnya. Pengarang sebenar akan terus menulis, tahu bila dia perlu berhenti dan sama sekali tidak akan menyerupai karangan sesiapa sekalipun.

Aku masih ingat ketika kau singgah di teratak karyaku lama dahulu. Engkau lihat sendiri bagaimana aku mengatur kupu-kupu ilham yang telah kutangkap dan kuwarnakan sayap-sayapnya. Engkau meneliti bagaimana aku bingkaikan setiap satunya agar menjadi cerita-cerita yang berbeza. Ada yang kuberikan kisah bahagia, ada kisah yang meruntun rasa dan ada yang kaubaurkan semuanya. Yang penting, aku tahu mengapa aku atur demikian.

Katamu, kau kagumi kebijaksanaanku menyusun semua itu dan menyambungkannya sehingga tidak dapat kau bezakan yang mana satu kupu-kupu sebenar dan kupu-kupu ciptaanku.

"Pengarang yang baik perlukan usia dan pengalaman. Membaca itu ibarat membina sebuah taman. Lebih rencam dan baik benih-benih bacaan, ertinya bakal tumbuh pelbagai bunga-bunga indah di sana. Nanti, banyaklah kupu-kupu yang terbang datang. Kalau yang kau tanam hanya sejenis pokok bunga, mana mungkin seribu jenis kupu-kupu datang ke bunga yang sama. Itulah namanya pemerhatian. Kupu-kupu datang mencari bunga yang tertentu. Jadi, kau perlu menanam pokok bunga yang pelbagai."

Nasihat itu kau rasakan seperti aku sengaja menyukarkan perjalananmu. Aku biarkan kau menikmati pameran kupu-kupu pada dinding rumah pemikiranku ini. Kau boleh ulang masuk dan keluar selama mana yang kau mahu. Kau boleh mengambil inspirasi daripadanya sehingga kau dapat memilih benih dan akhirnya membina tamanmu sendiri. Nanti, kupu-kupu yang tiba di tamanmu akan hadir sendiri. Jangan biarkan ia terbang, tangkaplah, warnakan dan susun mengikut gaya persembahan yang kau sukai. Apabila sudah banyak nanti, tentu kau sendiri dikerumuni tetamu yang mahu singgah dan masuk ke dalam rumah permikiranmu sendiri.

Aku tidak tahu pukul berapa kau tinggalkan tempat itu. Pada esok paginya, aku mendapat khabar yang pintu rumah pemikiranku terbuka kerana engkau terlupa menutupnya malam tadi. Kata mereka, bukan itu sahaja, ada beberapa bingkai kupu-kupu yang kupamerkan telah diambil orang. Ada yang tidak sempat dilarikan, lalu bingkainya jatuh ke lantai, kacanya pecah berserakan.

Memang tidak ada saksi, memang tidak ada bukti. Tapi, dalam undang-undang keterangan, ada sesuatu yang dinamakan 'circumstantial evidence'.

Kau boleh bertaubat dan berjanji kepada dirimu agar tidak mengulangi perbuatan keji ini. Namun, bukan mudah membuang hantu raya yang mahu bertuankan dirimu dan menjadi saka dalam keturunanmu. Orang di luar sana sudah menjerit-jerit memanggilmu 'hantu raya' dan aku biarkan sahaja. Balasan untukmu mungkin sudah tersedia di dunia yang satu lagi, sementara itu di sini, aku sudah pun turunkan tandatangan pada laporan yang kulengkapkan di balai polis.

Aku tuntut supaya bingkai-bingkai yang kau ambil itu dipulangkan dan digantung semula di rumah pemikiranku seperti sediakala. Aku mahu kau dinafikan sebarang gelar sama ada sebagai pengarang atau penulis kerana engkau peniru yang merompak hasil karyaku. Jika dibiarkan, kau akan merompak di rumah pemikiran orang lain.

Ketahuilah perbuatanmu menjadikan kau bukan sahaja hantu raya bagiku, tetapi persona non grata! Langsung tidak diterima sesiapa, walau di mana-mana sekali pun. Pengarang itu ibarat perwakilan dalam masyarakatnya, dialah suara, nada dan pemikiran bangsanya. Tidak ada negara di dunia yang menerima seseorang yang diisytiharkan sebagai persona non grata. Engkaulah orang itu yang selama-lamanya terbuang, terasing dan aku hanya mampu mendoakan agar kau diberikan peluang untuk kembali kerana sekali kau memilih jalan ini, sukar sekali kau dapat temui pintu keluarnya.

Aku tahu engkau meniru karyaku. Ibarat kata pantun lama:

Bintang tujuh tinggal enam,

Jatuh sebiji di Majapahit;

Hilang sepuh tinggal senam,

Baharu kutahu emas tak baik.

- Penerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2017 yang banyak membimbing calon penulis secara dalam talian, khususnya melalui FB live Secangkir Kopi Jam 1

Berita Harian X